Grab SG tangguh perubahan insentif, pemandu gesa tambang asas dinaikkan
Perubahan insentif yang pada asalnya dirancang untuk membantu pemandu Grab meningkatkan pendapatan mereka dengan memandu di zon-zon tertentu dalam tempoh yang ditetapkan ditangguhkan, menurut kenyataan bersama oleh Persatuan Kenderaan Sewa Privet Kebangsaan (NPHVA) dan Grab pada Rabu (25 Jun).
Logo Grab yang dipetik di sebuah pameran di Singapura pada 21 Mac 2019. (Gambar: REUTERS/Anshuman Daga)
This audio is generated by an AI tool.
“Menerusi perbincangan bersama NPHVA dan sebagai respons terhadap maklum balas daripada rakan-pemandu kami, Grab memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan perubahan insentif yang dirancang bagi memastikan kebimbangan mereka ditangani sepenuhnya sebelum sebarang perubahan lanjut diperkenalkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa NPHVA berkongsi maklum balas bahawa sesetengah pemandu bergantung kepada insentif tersebut sebagai tambahan kepada tambang asas, dan terdapat kebimbangan bahawa struktur baharu itu mungkin menyukarkan sebilangan pemandu untuk mencapai sasaran pendapatan mereka.
“Walaupun niat Grab adalah untuk membantu rakan-pemandu mengurangkan masa pemanduan dan mencapai sasaran pendapatan mereka dengan lebih cepat, Grab mengakui bahawa pelaksanaan perubahan tersebut boleh dilakukan dengan lebih baik,” menurut kenyataan itu lagi.
Mesej dalam aplikasi yang dihantar kepada para pemandu menyatakan bahawa perubahan kepada 'Grab Streak Bonus' dan insentif 'Streak Zones' “menimbulkan persoalan dan ketidakpastian”.
Perubahan yang dirancang itu akan ditangguhkan dengan serta-merta bagi semakan lanjut, menurut mesej berkenaan.
“Ini bermakna tiada perubahan akan dilakukan terhadap program 'Grab Streak Bonus' dan 'Streak Zones' yang sedia ada.”
Minggu lalu, Grab mengumumkan kemas kini kepada skim 'Streak Zones' yang dijadualkan bermula pada 1 Julai. Ia akan membolehkan para pemandu menempah slot masa selama dua jam di mana mereka akan memandu, kebanyakannya pada waktu puncak.
Skim itu sepatutnya memberi pulangan tunai sebanyak lima peratus bagi setiap perjalanan yang diselesaikan, bersama bonus tunai tambahan bagi mencapai sasaran tertentu. Semua perjalanan di bawah 'Streak Zones' juga akan dikira masuk ke dalam pencapaian bulanan bagi bonus Grab.
Sebelum ia ditangguhkan, Grab memberitahu Mediacorp bahawa skim tersebut direka untuk membolehkan rakan-pemandu meraih manfaat daripada kedua-dua program secara serentak dan mencapai matlamat pendapatan mereka dengan lebih cepat.
Namun begitu, NPHVA menyuarakan kebimbangan berhubung perubahan insentif tersebut.
Dalam satu catatan Facebook pada Selasa, penasihat NPHVA, Cik Yeo Wan Ling, berkata skim itu akan menjejas pendapatan pemandu.
“Memindahkan insentif daripada 'Streak Bonus' yang lebih dikenali dan boleh diharapkan pemandu, boleh menyebabkan pengurangan pendapatan bagi kebanyakan pemandu biasa kami,” katanya.
“Tiada jaminan bahawa slot yang mencukupi akan disediakan dan dalam susunan apa untuk semua pemandu yang layak yang berminat untuk mengambil bahagian dalam 'Streak Zones' ini,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa perubahan-perubahan tersebut “menjadikan pendapatan kurang stabil”.
Para pemandu yang ditemu bual Mediacorp turut menyuarakan pandangan yang sama.
Seorang pemandu sepenuh masa, Encik Yeo, berkata perubahan yang dicadangkan adalah “lebih merugikan” berbanding insentif semasa kerana sukar untuk menempah slot dalam zon 'streak', sekali gus menyebabkan pendapatan pemandu berkurangan.
Seorang lagi pemandu sepenuh masa, Encik Dan Lim, berkata insentif yang dicadangkan itu tidak adil bagi pemandu sepertinya yang bekerja dari pukul 7.00 malam hingga pukul 6.00 pagi, iaitu di luar waktu puncak.
Pemandu syif malam perlu dilayan dengan adil, terutamanya apabila mereka berdepan situasi yang memerlukan mereka untuk “menjemput penumpang dari jarak yang jauh tetapi menurunkan di jarak dekat”, katanya, sambil menambah bahawa beliau hanya memperoleh keuntungan sekitar S$50.
“Kebanyakan insentif diberikan kepada pemandu pada waktu siang, bukan tengah malam,” katanya.
Beberapa pemandu lain pula berkata syarikat 'e-hailing' itu sepatutnya mengurangkan tumpuan terhadap skim insentif sedemikian, dan sebaliknya menaikkan tambang asas bagi setiap perjalanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.