Skip to main content

Singapura

Grab SG perkenal 'AudioProtect' untuk tingkatkan keselamatan pemandu dan penumpang

Anggaran Waktu Membaca:
Grab SG perkenal 'AudioProtect' untuk tingkatkan keselamatan pemandu dan penumpang

Gambar fail sebuah kereta sewa Grab. (Gambar: Grab/Facebook)

SINGAPURA: Satu ciri keselamatan baru yang dikenali sebagai 'AudioProtect' membolehkan pemandu Grab dan penumpang untuk merakamkan audio semasa perjalanan dan akan dilancarkan secara bertahap-tahap bagi pengguna di Singapura sebagai sebahagian daripada uji cuba mulai 21 Mac.

Demikian umum syarikat khidmat kereta sewa itu pada Selasa (14 Mac).

Menerusi 'AudioProtect', kedua-dua penumpang dan pemandu boleh merakamkan audio pada peranti mereka menerusi aplikasi Grab ketika mereka sedang dalam perjalanan, selagi kedua-dua pihak memberi keizinan untuk berbuat demikian, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan media.

Ini bermakna kedua-dua penumpang dan pemandu perlu menghidupkan ciri itu di bawah setting Keselamatan Akaun ('Account Safety Settings') pada aplikasi Grab.

Ciri tersebut akan disediakan bagi semua perjalanan Grab kecuali untuk GraShare dan GrabHitch.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Selepas kedua-dua pihak menghidupkan 'AudioProtect', penumpang akan melihat "AudioProtect: On" pada app mereka yang menyatakan bahawa rakaman audio bermula sebaik sahaja perjalanan dimulakan.

Jika penumpang mengangkat penggilan telefon, rakaman akan dihentikan seketika. Rakaman akan disambung semula secara automatik selepas panggilan tamat dibuat. Bagaimanapun, rakaman mungkin akan terus berjalan pada peranti pemandu.
Bagaimana untuk menghidup ciri keselamatan 'AudioProtect'. (Gambar: Grab Singapore)
Apabila 'AudioProtect' diaktifkan, semua perjalanan yang dibuat seterusnya akan dirakam jika penumpang atau pemandu juga menghidupkan ciri tersebut. Ciri itu boleh dimatikan, dengan melakukan langkah-langkah yang sama, pada bila-bila masa sebelum perjalanan dimulakan.

Jika 'AudioProtect' dimatikan selepas perjalanan sudah dimulakan, perjalanan tersebut akan tetap dirakamkan atas sebab keselamatan. Ciri itu kemudian boleh dimatikan bagi perjalanan yang dilakukan pada lain masa.

PENUMPANG, PEMANDU TIADA AKSES KEPADA RAKAMAN

Bagi memastikan privasi pengguna, fail rakaman audio itu disimpan pada peranti mereka bagi tempoh masa paling lama lima hari sebelum ia dipadamkan secara automatik jika tiada insiden berkaitan keselamatan dilaporkan, menurut Grab.

"Fail tersebut tidak boleh diakses baik oleh penumpang mahu pun penumpang dan akan hanya diakses oleh pasukan keselamatan Grab jika insiden berkaitan keselamatan berlaku."

Sekiranya insiden dilaporkan dalam tempoh lima hari itu, rakaman akan dimuat naik ke server yang selamat bagi siasatan, tambah syarikat itu.

Fai berkenaan akan "disimpan dengan selamat" selama enam belan dan kemudian dipadamkan buat selama-lamanya daripada server Grab. Tempoh enam bulan itu boleh dilanjutkan sekiranya siasatan berlarutan.

Semakan ke atas rakaman akan dijalankan oleh anggota terlatih dan yang dibenarkan daripada pasukan keselamatan, tambah Grab.

"Insiden keselamatan yang akan disiasat termasuk kemalangan, gangguan dan/atau penganiayaan scera lisan, fizikal serta seksual."

CIRI KESELAMATAN LAIN

Pengumuman mengenai ciri 'AudioProtect' dibuat selang beberapa hari selepas Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, di mana Grab menarik perhatian dalam sebuah kempen online bahawa lebih 99.99 peratus perjalanan yang dilakukannya tidak mengalami sebarang insiden. Ini berdasarkan Laporan ESG 2021 syarikat tersebut.

Grab juga menawarkan ciri-ciri keselamatan lain yang disediakan sebelum, sewaktu dan selepas penumpang atau pemandu melakukan perjalanan.

Misalnya, sebelum setiap perjalanan, pengesahan swafoto (selfie) masa nyata dikehendaki bagi pemandu untuk log masuk ke akaun mereka bagi memastikan hanya pemandu yang berdaftar sahaja boleh menerima tempahan melalui app Grab. Ia juga membolehkan Grab untuk mengenal pasti pengguna yang mungkin berkongsi atau menyewa akaun.

Demi melindungi pemandu daripada jenayah yang dicetuskan oleh penumpang, seperti penganiayaan lisan atau fizikal, identiti penumpang disahkan menerusi kad bank atau pengesahan swafoto, tambah Grab.

Selain itu, semua perjalanan dilengkapi dengan butang 'Safety Centre' yang dipaparkan di tengah skrin. Ciri-ciri di bawah butang itu termasuk 'Share My Ride' dan butang 'SOS' untuk kecemasan.

Walaupun ciri 'Share My Ride' membolehkan pengguna mengongsikan butiran perjalanan dengan orang lain agar mereka tahu tentang keberadaannya, butang 'SOS' adalah talian panggilan kecemasan untuk menghubungi polis atau ambulans.

Butang itu juga "mengeluarkan pesanan mesej kepada kontak kecemasan penumpang yang sudah disimpan sebelumnya", menurut Grab.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita