Skip to main content

Singapura

Grab rintis khidmat AV atas permintaan di Punggol

Anggaran Waktu Membaca:
Grab rintis khidmat AV atas permintaan di Punggol

Kenderaan tanpa pemandu Ai.R Grab dan teksi GrabCab. (Gambar: Grab)

Diterbitkan : 29 Jul 2026 08:08PM
  • Grab dan LTA akan melancarkan ujian perkhidmatan kenderaan tanpa pemandu atas permintaan di Punggol dalam beberapa bulan akan datang, melibatkan sebilangan penumpang sebelum pelancaran penuh pada suku keempat 2026.
  • Perkhidmatan baharu ini membolehkan penumpang memilih lokasi menaiki dan menurunkan kenderaan, berbeza dengan laluan tetap sedia ada, sebagai respons kepada maklum balas penduduk.
  • Khidmat ulang-alik laluan tetap akan terus beroperasi secara percuma, manakala tambang komersil akan dikenakan untuk perkhidmatan atas permintaan apabila dilancarkan kepada umum.
  • LTA, Grab dan ComfortDelGro akan bekerjasama menambah lokasi, memperkukuh prasarana, serta mendidik masyarakat untuk meningkatkan kemudahan dan penerimaan perkhidmatan AV di Punggol.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Grab akan menguji cuba khidmat kenderaan tanpa pemandu (AV) atas permintaan di Punggol dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus membolehkan penumpang menempah AV untuk terus melakukan perjalanan antara lokasi mengambil dan menurunkan penumpang di laluan ulang-alik sedia ada.

Buat masa ini, Grab mengendalikan khidmat pengangkutan ulang-alik tanpa pemandu di Punggol yang menggunakan laluan tetap dengan lokasi mengambil dan menurunkan penumpang yang ditetapkan.

Di bawah projek rintis itu, AV akan menggunakan laluan paling singkat berdasarkan lokasi yang dipilih penumpang, dan bukan lagi mengikut laluan tetap, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (29 Jul).

Perkhidmatan baharu itu akan dibuka kepada sebilangan penumpang sebagai percubaan dalam beberapa bulan akan datang, sebelum diperkenalkan secara berperingkat kepada orang ramai pada suku keempat 2026.

Grab menambah, tambang komersil akan dikenakan apabila khidmat itu dilancarkan kepada umum.

Perkhidmatan itu dijangka meningkatkan pilihan pengangkutan antara kawasan perumahan dengan kemudahan utama seperti klinik, pasar, sekolah dan hab pengangkutan termasuk stesen MRT Punggol Coast.

LTA mengumumkan projek rintis itu sebagai peningkatan kepada khidmat bas ulang-alik tanpa pemandu sedia ada di Punggol selepas mengambil kira maklum balas penumpang.

Hampir 60 peratus responden, termasuk sekitar 270 penduduk Punggol, mahu memilih sendiri lokasi mereka menaiki dan turun kenderaan, manakala sekitar 40 peratus mahukan laluan yang lebih singkat ke destinasi.

Setakat sehingga 12 Julai, lebih 11,500 penumpang telah menggunakan khidmat bas ulang-alik tanpa pemandu itu.

LTA menjelaskan, 99 peratus daripada sekitar 900 responden berasa selamat menggunakan perkhidmatan tersebut dan akan mengesyorkannya kepada orang lain.

Sementara itu, lebih 500 orang sudah menyertai senarai menunggu untuk menjadi antara yang pertama mencuba pengalaman baharu AV, kata Grab.

Menurut LTA, projek rintis itu adalah satu langkah ke arah perkhidmatan atas permintaan yang menggunakan laluan langsung merentasi lebih banyak lokasi mengambil dan menurunkan penumpang di Punggol.

Khidmat bas ulang-alik laluan tetap Grab akan terus beroperasi bersama khidmat baharu itu.

Perjalanan menggunakan laluan tetap akan terus disediakan secara percuma bagi membolehkan lebih ramai orang mencuba khidmat AV, tambah LTA.

Lebih banyak lokasi mengambil dan menurunkan penumpang akan ditambah secara berperingkat berdasarkan maklum balas penduduk.

LTA menyatakan, ia akan terus bekerjasama dengan Grab dan ComfortDelGro, yang turut menyediakan khidmat AV di Punggol, bagi meningkatkan kemudahan dan akses kepada khidmat tersebut.

Menurut Grab, pihaknya akan meneruskan usaha mendidik dan mendampingi orang ramai bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan pengalaman baharu menggunakan AV.

Syarikat itu juga sedang memperkukuh prasarana operasinya, termasuk menubuhkan depoh AV di Punggol, selain menambah lebih banyak AV ke dalam armadanya tahun ini.

"Kami amat berterima kasih kepada masyarakat Punggol atas sokongan mereka terhadap percubaan khidmat bas ulang-alik tanpa pemandu kami," kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Grab, Alex Hungate.

"Sebagai respons kepada maklum balas mereka, fasa seterusnya ini menawarkan lebih banyak fleksibiliti menerusi perkhidmatan atas permintaan dengan laluan terus."

Khidmat bas ulang-alik pandu sendiri mula diuji di Punggol sejak September 2025 sebelum dibuka kepada orang ramai pada 1 April 2026.

Grab mengendalikan dua daripada tiga laluan, manakala ComfortDelGro mengendalikan satu lagi laluan.

Semasa membentangkan rancangan belanjawan Kementerian Pengangkutan (MOT) di Parlimen pada April, Pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Jeffrey Siow, berkata ujian AV akan diperluas ke kawasan lain di Singapura jika ia berjaya dilaksanakan di Punggol.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita