Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grab pertingkat aplikasi agar ketibaan pemandu dimaklumkan dengan lebih tepat

Anggaran Waktu Membaca:
Grab pertingkat aplikasi agar ketibaan pemandu dimaklumkan dengan lebih tepat

Gambar fail kereta Grab. (Gambar: Facebook/Grab)

Diterbitkan : 12 Jul 2022 07:59PM Dikemas Kini : 12 Jul 2022 08:00PM
SINGAPURA: Grab mengumumkan pada Selasa (12 Jul) bahawa pihaknya sedang menambah baik kawalan di dalam aplikasi supaya pemandu hanya boleh menandakan ketibaan mereka jika mereka sudah sampai di lokasi atau "sangat hampir" dengan lokasi.

Langkah tersebut diambil selepas Grab mengumumkan pada Isnin (11 Jul) bahawa ia akan mengurangkan tempoh menunggu penumpang daripada lima ke tiga minit mulai 18 Julai.

Semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Mediacorp pada Selasa (12 Jul) Grab menyatakan keputusan untuk mengurangkan tempoh menunggu itu dilakukan selepas "penilaian yang sangat teliti".

"Hari ini, 94 peratus khidmat kereta sewa privet kami menyaksikan penumpang tiba di lokasi mereka dalam masa tiga minit selepas pemandu mereka tiba," menurut Grab.

"Sedang negara ini dibuka semula, lebih ramai penumpang yang menempah khidmat kereta sewa privet. Kami ingin membantu rakan-rakan pemandu untuk memenuhi permintaan baru tersebut dengan menghabiskan masa di atas jalan raya dengan lebih produktif."

Grab menambah bahawa langkah itu juga akan mengurangkan pembaziran bahan api yang disebabkan oleh enjin yang tidak bergerak.
"Untuk melengkapkan perubahan ini, kami sedang menambah baik aplikasi supaya pemandu hanya boleh menandakan bahawa mereka sudah sampai ke lokasi jika mereka berada di lokasi ataupun berhampiran dengan lokasi," kata seorang jurucakap Grab.

Penumpang yang ingin membuat rayuan terhadap caj tambahan boleh berbuat demikian dengan mengisi borang permintaan laporan melalui Help Centre dalam aplikasi, menurut Grab.

"Pasukan kami akan melakukan siasatan untuk memastikan bahawa permintaan ditangani dengan adil untuk pemandu dan juga penumpang.

"Kami akan memastikan bahawa pengalaman perjalanan anda sentiasa adil dan menyenangkan buat penumpang dan juga rakan-rakan pemandu".
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan