Skip to main content

Singapura

Grab perluas armada kenderaan autonomi daripada 10 kepada 50, sasar khidmat di luar Punggol

Grab akan menambah jumlah kenderaan autonomi (AV) dalam armadanya daripada 10 kepada 50 dalam tempoh enam bulan akan datang, sedang ia merancang untuk meluaskan khidmatnya ke kawasan lain di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Grab perluas armada kenderaan autonomi daripada 10 kepada 50, sasar khidmat di luar Punggol

Sebuah kenderaan ulang-alik autonomi di Punggol. (Gambar fail: Grab)

Diterbitkan : 14 Sep 2026 09:31PM
  • Grab akan menambah jumlah kenderaan autonomi dalam armadanya dari 10 ke 50 dalam tempoh enam bulan, dengan peluasan perkhidmatan tertakluk kelulusan pihak berkuasa.
  • Perkhidmatan AV Grab kini beroperasi di Punggol dan akan diperluas ke kawasan lain di Singapura, termasuk pelancaran khidmat atas permintaan di beberapa lokasi terpilih.
  • Grab bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, LTA dan WeRide untuk pembangunan prasarana, latihan, serta penilaian prestasi perkhidmatan AV.
  • Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan, membuka ratusan peluang pekerjaan baharu untuk tenaga kerja tempatan, dan menjadikan Singapura pusat kecemerlangan AV serantau.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Grab akan menambah jumlah kenderaan autonomi (AV) dalam armadanya daripada 10 kepada 50 dalam tempoh enam bulan akan datang, sedang ia merancang untuk meluaskan khidmatnya ke kawasan lain di Singapura.

Sebarang peluasan di luar Punggol tertakluk kepada kelulusan kawal selia, menurut Grab pada Isnin (14 Sep).

Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk meluaskan liputan khidmat AV di Punggol.

Armada AV Grab sejauh ini sudah bergerak secara autonomi meliputi jarak lebih 110,000 kilometer di jalan raya Singapura dan memberi khidmat kepada lebih 12,000 penumpang.

Lebih 1,000 orang pula berada dalam senarai menunggu bagi khidmat AV baharu Grab, meningkat daripada lebih 500 pada Julai.

LTA pada Januari meluluskan Grab dan syarikat teknologi pemanduan autonomi WeRide untuk menawarkan khidmat ulang-alik AV kepada masyarakat di Punggol, sebelum perjalanan bagi orang ramai bermula pada April.

KHIDMAT ATAS PERMINTAAN BAKAL DILANCARKAN

Grab kini sedang membuat persiapan untuk melancarkan khidmat atas permintaan dari satu lokasi ke lokasi lain di beberapa kawasan terpilih di Punggol.

Lebih banyak lokasi perkhidmatan akan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang.

Berbeza dengan khidmat ulang-alik sedia ada yang menggunakan laluan tetap, khidmat baharu itu membolehkan penumpang bergerak secara langsung antara lokasi mengambil dan menurunkan penumpang yang terpilih.

Seorang jurucakap Grab memberitahu Mediacorp bahawa khidmat itu akan dibuka kepada penumpang percubaan dalam beberapa bulan akan datang.

Ia kemudian akan diperluaskan secara berperingkat kepada orang ramai pada suku keempat 2026, apabila tambang komersial mula dikenakan.

Khidmat ulang-alik AV sedia ada akan terus ditawarkan secara percuma sementara Grab menguji dan mempertingkat khidmat atas permintaan itu.

Grab dan LTA akan menilai respons penumpang serta prestasi operasi khidmat ulang-alik itu sebelum memutuskan sama ada sebarang perubahan perlu dibuat.

Grab juga sedang melabur dalam prasarana khusus bagi AV dan bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk membangunkan sebuah depoh di Punggol.

RATUSAN PEKERJAAN BAHARU AV

Presiden Grab, yang juga Ketua Pegawai Operasinya, Alex Hungate berkata syarikat itu akan memperkenalkan AV dengan cara yang melengkapi rangkaian pemandunya, selain membuka laluan kerjaya baharu kepada tenaga kerja tempatan.

Grab sedang membangunkan bakat tempatan bagi industri AV dalam bidang seperti reka bentuk, kejuruteraan dan operasi.

Syarikat itu turut meneroka peluang untuk menjadikan Singapura sebagai "pusat kecemerlangan" serantaunya bagi penyesuaian dan penggunaan AV.

Menurut Grab, ratusan pekerjaan baharu berkaitan AV akan diwujudkan bagi tenaga kerja tempatan.

GrabAcademy dan WeRide juga sudah membangunkan laluan latihan bagi mereka yang berminat dengan pekerjaan berkaitan AV.

Sejauh ini, 30 pengendali keselamatan sudah menerima pensijilan, termasuk enam yang turut diperakui sebagai pengendali jarak jauh.

Grab menyatakan wadahnya kelak dapat mengendalikan perjalanan menggunakan kedua-dua kenderaan autonomi dan kenderaan yang dipandu manusia bagi meningkatkan kecekapan pengagihan tempahan perjalanan serta mengurangkan masa menunggu.

Syarikat itu sebelum ini menyasarkan untuk menggunakan ribuan AV di seluruh Asia Tenggara menjelang 2030.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita