Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grab perjelas poster 'guna tangga' di kondo River Valley; gesa orang ramai jangan tuduh melulu

Syarikat teknologi Grab dan firma yang menguruskan sebuah kondominium di River Valley menjelaskan bahawa poster yang meminta kakitangan penghantaran GrabFood supaya jangan menggunakan lif di hartanah itu dan sebaliknya menaiki tangga sebenarnya sudah ditampal sejak Mac tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Grab perjelas poster 'guna tangga' di kondo River Valley; gesa orang ramai jangan tuduh melulu

(Gambar: Media sosial, Google Maps)

Diterbitkan : 29 May 2020 08:25AM Dikemas Kini : 29 May 2020 08:28AM

SINGAPURA: Syarikat teknologi Grab dan firma yang menguruskan sebuah kondominium di River Valley menjelaskan bahawa poster yang meminta kakitangan penghantaran GrabFood supaya jangan menggunakan lif di hartanah itu dan sebaliknya menaiki tangga sebenarnya sudah ditampal sejak Mac tahun lalu.

Poster itu, yang tular di media sosial pada Khamis (28 Mei), bertujuan untuk memaklumkan para penghantar makanan yang menerima pesanan daripada Hab GrabFood, yang terletak di tingkat bawah tanah bangunan tersebut, jelas Grab.

Poster itu dikongsi sekurang-kurangnya 1,800 kali pada Khamis. Ia menyatakan bahawa jawatankuasa pengurusan dan penghuni kondominium RV Point “meminta penghantar makanan GrabFood mengelakkan daripada menggunakan lif” kerana ia untuk kegunaan para penghuni saja dan mereka seharusnya menggunakan tangga.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Grab menjelaskan bahawa ia menampal poster itu pada Mac tahun lalu atas permintaan jawatankuasa pengurusan kondominium.

Ia bertujuan untuk menunjukkan arah kepada para penghantar makanan GrabFood yang mengambil pesanan daripada habnya dan mereka diminta menggunakan tangga dari Besmen 1 ke Tingkat 1.

"Ini untuk mengelakkan berlaku kesesakan dalam lif antara dua tingkat berkenaan, yang boleh menyulitkan para penghuni kondominium," menurut Grab.

Firma itu turut menyatakan bahawa para penghantar makanan maklum akan poster tersebut dan "tahu bahawa ia merujuk kepada Hab GrabFood".

Grab juga menjelaskan bahawa pihaknya akan memastikan poster sedemikian lebih jelas pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Ia menambah bahawa para penghantar makanan yang menghantar pesanan kepada penghuni di kondominium itu boleh menggunakan lif untuk membuat penghantaran.

PEKERJA BOLEH GUNAKAN LIF

Dalam catatan di laman Facebooknya, Ocean IFM - yang menguruskan RV Point - juga menyatakan bahawa para penghantar makanan masih boleh menggunakan lif untuk menghantar makanan kepada penghuni di tingkat atas setelah penghuni mengesahkan identiti dan tujuan mereka berkunjung melalui sistem interkom.

Syarikat itu menambah bahawa ia sudah meminta Grab supaya menanggalkan poster berkenaan dan memperbaikinya untuk mengelakkan salah faham atau kekeliruan.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua pihak supaya jangan terburu-buru membuat kesimpulan sebelum mengesahkan fakta, terutama dalam masa-masa ini sedang semua pihak, termasuk anggota pasukan kami, yang sedang melakukan yang terbaik di 'barisan hadapan' untuk memastikan semua bangunan yang dikendalikan oleh pasukan kami selamat dan beroperasi untuk semua penghuni dan penyewa kami,” tambah Ocean IFM.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan