Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grab naikkan yuran platform kepada S$0.70 mulai 5 Mei

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa Grab akan menaikkan yuran platformnya kepada S$0.70 daripada S$0.30 sekarang, bagi setiap perjalanan mulai 5 Mei.

Demikian diumumkan syarikat tersebut pada Jumaat (14 Apr). 

Semakan itu selaras dengan bayaran platform yang dikenakan oleh wadah-wadah khidmat kereta sewa lain di Singapura dan perubahan berkenaan akan dikenakan pada semua jenis perkhidmatan pengangkutan Grab, menurut syarikat itu dalam kiriman emel kepada para pelanggannya. 

"Ini akan menyokong penambahbaikan yang berterusan ke atas aplikasi seperti ciri-ciri keselamatan, meningkatkan keandalan dan faedah-faedah berkaitan pemandu," menurut Grab lagi. 

Syarikat itu memperkenalkan yuran platform sebanyak S$0.30 pada tahun 2020. 

Syarikat pesaingnya, Gojek, mengenakan yuran platform S$0.70 bagi setiap perjalanan. 

Sebuah lagi syarikat khidmat kereta sewa, TADA, mengenakan yuran platform sebanyak S$0.55 sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi tambang bawah S$18. Bagi tambang melebihi S$18, yuran platform adalah S$0.75 sebelum GST.

Grab pada Jumaat menyatakan industri khidmat kereta sewa sedang menghadapi kekurangan pemandu, dengan jumlah tempahan yang dibuat para penumpang melebihi jumlah pemandu yang mencukupi untuk memenuhi permintaan yang meningkat. 

"Ini menyebabkan tempoh menunggu yang lebih lama dan menyebabkan tambang penumpang kerap naik turun. Itu sebabnya mengapa kami memperkenalkan huraian baru untuk membantu memperbaiki keadaan," jelas Grab. 

Bagi menangani isu kekurangan pemandu, Grab menyatakan ia melancarkan semula khidmat GrabShare, di mana dua penumpang yang menuju ke arah sehala boleh berkongsi perjalanan pada tambang yang lebih rendah. Ia juga sedang mengambil lebih ramai pemandu menerusi skim-skim barunya. 

Ciri-ciri baru yang didayakan teknologi juga bertujuan membantu pemandu Grab "bekerja dengan lebih produktif untuk menyediakan khidmat kepada lebih ramai penumpang". Ini termasuk alat yang menunjukkan kepada para pemandu kawasan-kawasan dengan permintaan penumpang yang tinggi.

Sumber : CNA/LL/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan