Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grab lancarkan program biasiswa, dermasiswa bernilai AS$1 juta setiap tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Grab melancarkan program GrabScholar untuk memberikan biasiswa dan dermasiswa bernilai AS$1 juta (S$1.3 juta) setiap tahun.

Demikian diumumkan oleh gergasi teknologi itu hari ini (11 Ogos) semasa acara pembukaan rasmi ibu pejabatnya di Singapura.

Program GrabScholar tersebut di bawah dana GrabForGood yang menyokong inisiatif-inisiatif yang menyasarkan untuk menambah baik kehidupan para pemandu, penghantar makanan dan perniagaan serta masyarakat lain di Asia Tenggara.

Program tersebut merancang untuk menganugerahkan lebih 2,000 biasiswa universiti dan dermasiswa pendidikan setiap tahun di seluruh Asia Tenggara, di mana Grab beroperasi.

Ini akan merangkumi perbelanjaan berkaitan tuisyen dan pengajian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik menghadiri sekolah rendah, menengah atau vokasional serta universiti, menurut Grab dalam satu kenyataan media.

"Latihan amali juga akan ditawarkan kepada pelajar pengajian tinggi untuk memupuk bakat profesional mereka dan mempersiap mereka bagi peranan sepenuh masa apabila mereka tamat pengajian."

GrabScholar dilancarkan di Indonesia bulan lalu.

Grab menyatakan program seluruh rantau itu adalah usaha yang diperluas untuk menyokong masyarakat di seluruh Asia Tenggara.

Program GrabScholar adalah tambahan kepada inisiatif biasiswa dan dermasiswa sedia ada yang ditawarkan kepada anak-anak rakan-rakan pemandu, penghantar makanan dan peniaga Grab di Singapura dan Thailand, tambah Grab.

SOKONGAN YANG DIPERLUAS BUAT PENIAGA

Semasa pembukaan rasmi ibu pejabat Grab di Taman Perniagaan One-North, syarikat itu juga mengumumkan insiatif baru, GrabMerchant Centre, untuk membantu perniagaan-perniagaan kecil berkembang maju secara online.

"Grab sudah membantu perniagaan-perniagaan kecil until beralih ke platform online sejak dua tahun lalu. Sedang Asia Tenggara meninggalkan sekatan pergerakan besar-besaran dek COVID-19 dan beralih kepada usaha pemulihan, SME tersebut juga sudah menstabilkan operasi perniagaan penghantaran mereka dan kini bersedia untuk berkembang, menurut Grab dalam kenyataan medianya.

Apabila dilancarkan, GrabMerchant Centre akan berpangkalan di ibu pejabat Grab Singapore.

Ia akan menyediakan khidmat perundingan perniagaan satu dengan satu untuk rakan-rakan kongsi peniagaan SME.

Ini akan membantu mereka memperkukuhkan kehadiran secara online dan memanfaatkan sepenuhnya khidmat Grab untuk perniagaan mereka dan menggunakan wadah digital untuk terus berkembang, menurut Grab.

Perundingan perniagaan satu dengan satu itu diuji awal tahun ini.

IBU PEJABAT BARU

Perasmian ibu pejabat Grab Singapore itu diadakan bersamaan sambutan ulang tahun ke sepuluh Grab.

Ibu pejabat Grab Singapore menempatkan kira-kira 3,000 pekerja dan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan. Ia juga di mana pasukan digibank bertugas.

"Perjalanan Grab dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu memberi inspirasi kepada kita semua, tetapi bagi rakyat Singapura terutamanya, ia ada kisah yang biasa kepada kita. Ini kerana ia adalah kisah 'underdog' yang berjaya mengharungi cabaran dan menjadikan apa yang mustahil menjadi nyata," kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa acara perasmian itu.

Untuk bersedia bagi masa hadapan, Encik Wong berkata ia penting untuk "mengejar pertumbuhan inklusif" di mana setiap rakyat dan pekerja adalah sangat penting.

"Untuk sektor teknologi kita, ia bermana pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri seperti Grab untuk menambahbaik ekosistem teknologi dengan mengembangkan bakat, menajamkan kemahiran dan menyokong inovasi.

"Ia juga bermakna kita mewujudkan peluang untuk setiap rakyat terlibat sepenuhnya dalam ekonomi digital," kata beliau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan