Skip to main content

Singapura

Grab lancar bas ulang-alik tanpa pemandu bagi kakitangan antara pejabat dan stesen MRT one-north

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jul 2025 03:27PM Dikemas Kini : 08 Jul 2025 10:33PM
SINGAPURA: Grab akan menyediakan khidmat ulang-alik antara pejabatnya di one-north dan stesen MRT, menggunakan kenderaan tanpa pemandu (AV) bermula Rabu (9 Jul).

Bas ulang-alik elektrik dengan 22 tempat duduk itu akan beroperasi setiap hari semasa tempoh di luar waktu sibuk dari jam 2.00 petang hingga jam 4.00 petang, umum syarikat teknologi tempatan itu pada Selasa (8 Jul).

Ia menambah bahawa kakitangannya juga boleh menjejak lokasi kenderaan menggunakan aplikasi Grab.

Seorang pemandu keselamatan terlatih akan berada di sana pada setiap masa bagi "memastikan keselamatan penumpang dan operasi yang lancar", menurut Grab dalam kenyataannya.

Perkhidmatan ulang-alik ini hanya akan disediakan untuk pekerja Grab dan dikendalikan dengan kerjasama Autonomous A2Z, sebuah pengeluar AV dari Korea.

Pengarah urusan perniagaan dan antarabangsa A2Z, Ryan Kim berkata bahawa A2Z bekerjasama rapat dengan Grab, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pemandu keselamatan tempatan untuk bersiap sedia bagi operasi AV di Singapura.

"Program rintis ini akan membolehkan kami menilai dengan lebih baik daya maju tanpa pemandu dalam menangani cabaran perjalanan pertama dan terakhir, sambil meneroka potensinya bagi mengurangkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pengangkutan awam," katanya.

Beliau menambah bahawa A2Z dan Grab akan berkongsi pandangan daripada inisiatif ini dengan pemerintah untuk "menyokong aspirasi lebih luas AV bagi Singapura".
Related article image
Ketua Operasi Serantau Grab, Yee Wee Tang (kiri) dan Pengarah Urusan Perniagaan dan Antarabangsa A2Z, Ryan Kim, di sebelah bas ulang-alik tanpa pemandu milik Grab untuk pekerjanya pada 8 Jul 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Inisiatif Grab muncul beberapa hari selepas pengumuman dibuat bahawa Singapura akan menjalankan percubaan AV di Punggol bermula suku keempat tahun ini.

Menteri Pengangkutan Pemangku Jeffrey Siow berkata bulan lalu bahawa AV akan beroperasi di laluan tetap di Punggol.

Sebelum pelancarannya, bas ulang-alik tanpa pemandu akan melalui lebih 100 jam "latihan" di laluan tetap sepanjang 3.9 kilometer (km) yang menghubungkan pejabat Grab ke stesen one-north.

Maklumat mengenai tanda laluan, lampu isyarat dan halangan turut dikumpulkan.

Bas ulang-alik juga dilatih untuk bertindak balas terhadap senario dunia sebenar seperti berhenti di lintasan zebra, lampu isyarat dan senario tidak dirancang seperti halangan lalu lintas.

AV dilengkapi dengan 11 sensor dan mempunyai pemandangan 360 darjah.

"Jika isu sensor atau sistem dikesan, algoritma keselamatan yang dilengkapi akan memastikan bas benar-benar berhenti dengan selamat," menurut Grab.

Selain dua jam operasi harian, akan ada tempoh tambahan untuk latihan lanjut kenderaan tersebut.

Kedua-dua Grab dan A2Z akan memantau prestasi perjalanan dan hasil keselamatan sebelum membuka lebih banyak slot masa.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita