Skip to main content

Singapura

Grab, Gojek, CDG Zig dan Tada lanjutkan surcaj bahan api hingga 30 September

Anggaran Waktu Membaca:
Grab, Gojek, CDG Zig dan Tada lanjutkan surcaj bahan api hingga 30 September

Pelbagai khidmat kereta sewa privet di Singapura telah melanjutkan langkah-langkah sokongan untuk pemandu masing-masing sehingga 30 September. (Gambar fail: TODAY/Jason Quah)

Diterbitkan : 23 Jul 2026 05:14PM
  • Grab, Gojek, CDG Zig dan Tada melanjutkan surcaj bahan api sehingga 30 September di Singapura kerana harga bahan api masih tinggi.
  • Langkah ini diumumkan selepas rundingan berterusan antara NPHVA dan pengendali platform untuk menyokong pemandu.
  • Setiap syarikat mengenakan kadar surcaj berbeza, namun semua caj disalurkan sepenuhnya kepada pemandu tanpa potongan komisen.
  • Kenaikan harga bahan api berpunca daripada konflik di Timur Tengah dan serangan di Laut Merah, menyebabkan kos operasi meningkat.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Grab, Gojek, CDG Zig milik ComfortDelGro dan Tada akan melanjutkan tempoh pelaksanaan surcaj sementara bahan api sehingga 30 September di tengah-tengah harga bahan api yang masih tinggi.

Dalam catatan Facebook pada Rabu (22 Jul), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) memaklumkan bahawa keempat-empat khidmat kereta sewa privet tersebut akan mengekalkan langkah menyokong pemandu masing-masing selepas persatuan itu mendampingi para pengendali platform secara berterusan.

Harga bahan api di Singapura kekal tinggi sejak perang Iran meletus pada hujung Februari lalu.

Menurut laman pasaran kereta online Motorist Singapore, harga petrol 95-oktana di Singapura pada Khamis (23 Jul) adalah antara S$3.36 hingga S$3.37 seliter, berbanding S$2.87 hingga S$2.88 seliter pada 23 Februari, sebelum konflik di Timur Tengah tercetus.

Di bawah pelanjutan itu, surcaj bahan api sebanyak S$0.90 akan terus dikenakan ke atas semua tempahan pengangkutan Grab, kecuali bagi perjalanan teksi standard dan teksi bermeter. Grab mula menaikkan surcaj bahan api pada 7 April sebelum melanjutkannya sehingga 31 Julai.

Gojek mula-mula mengumumkan pada April bahawa ia menyelaraskan caj sementara untuk pemandu kepada 90 sen bagi semua jarak perjalanan bagi membantu mereka menampung peningkatan kos operasi.

ComfortDelGro buat masa ini mengenakan caj sementara ke atas pemandu sebanyak S$0.50 bagi tambang bawah S$15, dan S$0.80 bagi tambang S$15 ke atas untuk tempahan menerusi aplikasi CDG Zig.

Syarikat itu menyatakan pada Mac bahawa langkah tersebut bertujuan untuk meringankan beban kewangan pemandu akibat kenaikan harga bahan api.

Bagi pengguna Tada pula, surcaj sebanyak 90 sen dikenakan untuk perjalanan dengan tambang sehingga S$18, manakala surcaj S$1.20 dikenakan bagi perjalanan berharga S$18.10 atau lebih. Tada turut memperkenalkan penyesuaian sementara caj pemandu, yang kini dinamakan sebagai sokongan bahan api, pada April lalu.

"Yang penting, semua caj ini disalurkan sepenuhnya kepada pemandu dan tidak tertakluk kepada komisen platform," menurut NPHVA.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa ia sentiasa berunding dengan para pengendali platform bagi menyokong langkah-langkah praktikal yang dapat membantu pemandu di lapangan.

Sementara itu, harga minyak dunia meningkat lebih 1.5 peratus pada Khamis (23 Jul), mencapai paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu selepas Amerika Syarikat melancarkan satu lagi siri serangan ke atas Iran dan kumpulan Houthi di Yaman yang menyasarkan kapal tangki minyak di Laut Merah.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita