Skip to main content

Singapura

Grab akan hentikan pelan langganan; lancar skim baru jelang Dis 2019

 Grab akan menghentikan skim langganan berbayar "commute" dan "all-access" yang menawarkan potongan harga untuk khidmat kereta sewanya serta diskaun-diskaun lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Grab akan hentikan pelan langganan; lancar skim baru jelang Dis 2019

Gambar fail logo Grab. (Gambar: Kham/Reuters)

Diterbitkan : 25 Oct 2019 09:41AM Dikemas Kini : 25 Oct 2019 09:45AM

SINGAPURA: Grab akan menghentikan skim langganan berbayar "commute" dan "all-access" yang menawarkan potongan harga untuk khidmat kereta sewanya serta diskaun-diskaun lain.

Meskipun skim langganan itu akan dihentikan pada Disember, syarikat teknologi tersebut menyatakan ia sedang menguji beberapa pelan langganan dengan "sekumpulan pengguna terpilih".

Pelan-pelan tersebut menawarkan pelbagai gabungan baucar pengangkutan dan makanan, kata jurucakap Grab sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Khamis (24 Okt).

Syarikat yang berpangkalan di Singapura itu berharap untuk melancarkan satu set pelan baru untuk semua pengguna di sini menjelang Disember kelak.

Ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat tersebut untuk menawarkan pilihan yang "lebih khusus" bagi para pengguna di samping menawarkan penjimatan bagi lebih banyak produk dan perkhidmatan, kata jurucakap Grab. Pelan langganan baru itu akan dilakar berdasarkan corak penggunaan dan maklum balas yang diterima melalui wadah Grab.

Bagi pelan-pelan sedia ada, Grab sudah memaklumkan para pelanggan Rabu lalu (23 Okt) bahawa pelan langganan "commute" dan "all-access" tidak akan diperbarui mulai 16 Dis.

Pelan "commute" menawarkan baucar diskaun khidmat kereta sewa kepada pengguna yang membayar yuran sementara skim "all-access" pula menawarkan baucar untuk kereta sewa dan khidmat penghantaran makanan.

Selain perubahan tersebut, pelan "food" yang menawarkan baucar penghantaran makanan akan diteruskan.

Grab memperkenalkan pelan langganan tersebut pada lewat tahun lalu dalam usaha untuk "mewujudkan nilai jangka panjang" bagi para pelanggannya. Pelan-pelan sejauh ini sudah berhasil memikat beratus-ratus ribu pelanggan, menurut Grab.

Apabila ditanya mengapa pelan langganan tersebut dihentikan, Grab mendedahkan pihaknya menyaksikan permintaan yang semakin meningkat untuk "didampingi dengan lebih baik" melalui aplikasinya. Para pengguna kini lebih kerap menggunakan aplikasi Grab, misalnya untuk khidmat pengangkutan, penghantaran makanan dan pembayaran.

Para pelanggan Grab yang ditemui Mediacorp berharap syarikat itu akan menawarkan lebih banyak baucar khidmat kereta sewa dan mengurangkan tawaran bagi khidmat penghantaran makanan yang tidak digunakan dengan kerap berbanding khidmat kereta sewa.

Menurut Grab, ia sedang mengkaji bagaimana untuk terus memanfaatkan para pengguna dalam jangka lebih panjang menerusi skim langganan dan program GrabRewards, sedang ia mengurangkan promosi tanpa perancangan awal.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita