Skip to main content

Singapura

GPC akan bentang usul kurangkan sisa makanan, perkukuh daya tahan makanan SG

Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran akan membentangkan usul bagi menggesa pemerintah memperkukuh daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan sisa makanan menerusi "kerjasama seluruh masyarakat".

Anggaran Waktu Membaca:
GPC akan bentang usul kurangkan sisa makanan, perkukuh daya tahan makanan SG

Anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) PAP bagi Kemampanan dan Sekitaran serta Anggota Parlimen PAP lain semasa lawatan ke ladang Green Harvest. (Gambar: PAP)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 07:26PM
SINGAPURA: Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran akan membentangkan usul bagi menggesa pemerintah memperkukuh daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan sisa makanan menerusi "kerjasama seluruh masyarakat".

Langkah itu bertujuan memastikan penduduk Singapura terus mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim.

Usul Anggota Persendirian itu akan dibentangkan empat Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menganggotai GPC tersebut – pengerusinya Poh Li San, timbalan pengerusi Nadia Ahmad Samdin serta anggotanya Valerie Lee dan Ng Shi Xuan.

Ia akan dibahaskan pada sidang Parlimen seterusnya yang bermula pada 8 September 2026.

Cik Poh berkata dalam satu taklimat pada Rabu (2 Sep) bahawa usul tersebut dikemukakan sedang harga makanan meningkat akibat faktor luaran.

Ini termasuk gangguan perkapalan di Selat Hormuz dan fenomena iklim El Nino yang menjejas hasil tanaman.

Singapura melancarkan strategi daya tahan makanan nasional yang diperbaharui, Singapore Food Story 2, pada akhir 2025.

Pemerintah juga akan menyemak Pelan Induk Sifar Sisa di tengah-tengah kemerosotan kadar kitar semula secara keseluruhan.

HAMPIR 800,000 TAN SISA MAKANAN PADA 2025

Cik Poh, yang akan berucap mengenai usaha mengurangkan sisa makanan, berkata Singapura menghasilkan hampir 800,000 tan sisa makanan pada 2025.

Jumlah itu bersamaan purata 128 kilogram bagi setiap penduduk setahun.

Dalam keadaan itu, GPC akan meminta pemerintah mempertimbangkan lebih banyak cara untuk memastikan daya tahan makanan Singapura dengan memperkukuh keupayaan dan daya maju pengeluaran makanan tempatan.

GPC juga mahu pemerintah meneliti semula bagaimana dasar import makanan Singapura dan ekosistem pengagihan semula makanan boleh diselaraskan dengan lebih baik bagi mengurangkan sisa makanan secara sistematik.

Menurut Cik Poh, pemahaman yang baik mengenai permintaan pasaran dapat membantu pembekal merancang import makanan tanpa menghasilkan sisa berlebihan.

Ekosistem penyelamatan makanan pula boleh memastikan makanan yang tidak terjual disalurkan kepada mereka yang memerlukannya dan bukannya dibiarkan rosak.

Beliau berkata meskipun peningkatan perbelanjaan makanan harian menjadi keprihatinan ramai, penambahbaikan di peringkat awal rantaian bekalan juga perlu dibincangkan supaya Singapura mempunyai prasarana kukuh bagi memenuhi keperluan makanan dalam jangka panjang.

Cik Nadia, yang akan berucap mengenai usaha meningkatkan daya tahan pengeluaran makanan tempatan, berkata usul itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan masyarakat memikirkan hubungan mereka dengan makanan.

"Jika anda tidak mempunyai hubungan itu dengan makanan, jika anda tidak sedar apa yang diperlukan untuk menyediakan sesuatu di atas pinggan kita – daripada R&D, pengeluaran, pengangkutan hingga memasak – saya fikir pembaziran mungkin akan terus meningkat," katanya.

SOKONG BADAN AMAL MAKANAN DENGAN GERAN

Antara cadangan yang akan diketengahkan ialah bagaimana daya tahan makanan boleh dijadikan keutamaan apabila Singapura mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2027.

Cik Nadia juga mencadangkan supaya pendekatan terhadap tanah pertanian dinilai semula dan konsep "portfolio" ladang digunakan bagi mewujudkan kepelbagaian dalam pengeluaran makanan tempatan.

Cik Poh pula akan menggesa pemerintah menyediakan geran kepada badan amal makanan untuk membantu mereka memperluaskan operasi.

Beliau merujuk kepada tiga kumpulan penyelamat makanan – Food Bank, Food Rescue Sengkang dan Fridge Restock Community – yang secara keseluruhan menyelamatkan sekitar 2,400 tan makanan setiap tahun.

Namun, jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan sisa makanan yang dihasilkan di Singapura setiap tahun.

Menurut Cik Poh, jumlah sisa yang merupakan kehilangan makanan – iaitu makanan yang rosak sebelum sempat dimakan – dan sisa makanan yang dibuang terlalu awal atau tanpa keperluan, masih belum diketahui.

Beliau akan meminta pemerintah menjejak kedua-dua aliran itu secara berasingan supaya penyelesaian yang lebih sesuai dapat dikenal pasti.

Cik Lee pula akan berucap mengenai usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan dan mengurangkan sisa menerusi rantaian tersebut, manakala Encik Ng akan memberi tumpuan kepada protein alternatif.

GALAK LEBIH BANYAK USAHA MASYARAKAT

Cik Poh berkata GPC mengadakan dua sesi pelibatan awam yang melibatkan sekitar 130 orang pada Mei dan Julai sebagai persiapan bagi usul tersebut.

AP Sembawang West itu turut mengetengahkan Happy Lunch, satu inisiatif jamuan masyarakat yang dimulakannya di kawasan undinya.

Menerusi inisiatif tersebut, makanan yang diselamatkan dimasak dan diagihkan kepada lebih ramai penduduk yang memerlukan.

"Saya berharap lebih banyak inisiatif masyarakat dari akar umbi akan muncul dan orang ramai akan lebih terdorong untuk mencari cara lain bagi memanfaatkan sisa makanan," katanya.

Ini merupakan Usul Anggota Persendirian kedua yang akan dibentangkan sebuah GPC dalam penggal Parlimen sekarang.

GPC merupakan sebahagian daripada struktur organisasi PAP dan dianggotai AP barisan belakang daripada parti pemerintah.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita