Skip to main content

Singapura

GovTech perjelas dakwaan online tentang 60 bekas kakitangan Indeed diambil bekerja selepas pejabatnya ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
GovTech perjelas dakwaan online tentang 60 bekas kakitangan Indeed diambil bekerja selepas pejabatnya ditutup

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 25 Sep 2023 07:59PM Dikemas Kini : 25 Sep 2023 08:02PM

SINGAPURA: Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pada Isnin (25 Sep) mengesahkan bahawa ia menggajikan kira-kira 60 bekas pekerja Indeed selepas portal pekerjaan itu menutup pejabatnya di sini pada awal tahun ini.


Dengan persaingan untuk mendapatkan bakat dalam bidang teknologi, GovTech menyatakan ia mengambil "pendekatan pengambilan pekerja yang lebih tangkas bagi mengimbangi kepantasan dengan pengambilan pekerja yang bertanggungjawab", apabila melibatkan para pekerja tersebut.

"Setiap calon ditemu duga sebagai sebahagian daripada proses kami. Calon yang berjaya diletakkan pada gred yang setanding dalam GovTech dengan mengambil kira gred setara mereka dalam Indeed dan diberikan gaji yang sewajarnya," dedah lembaga berkanun itu.

GovTech menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai dakwaan terhadap amalan-amalan pengambilan pekerja yang dilaksanakannya.

Lebih 200 kakitangan yang berpangkalan di Singapura kehilangan pekerjaan apabila Indeed menutup pejabatnya di Singapura pada Mac, lapor Business Times.

Dalam catatan Reddit pada 17 Sep, seorang pengguna yang memperkenalkan diri mereka sebagai bekas pekerja Indeed di Singapura mendakwa bahawa GovTech menawarkan sekitar 60 jawatan kepada bekas kakitangan Indeed pada Mei, dengan gaji mereka "dinaikkan".

Ini mencetuskan keprihatinan sebilangan orang awam, dengan lebih 60 komen diterima terhadap catatan asal.

GovTech memberitahu Mediacorp bahawa ia sedia maklum tentang perbincangan online itu dan ia sentiasa aktif mendampingi bakat teknologi untuk memenuhi keperluan pengambilan pekerjanya.

Ia merujuk kepada inisiatif Teknologi bagi Kebajikan Awam yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pemerintah.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) pada 2022 setelah berlaku pemberhentian pekerja secara besar-besaran ketika itu.

Mereka yang diambil bekerja di bawah inisiatif tersebut menyumbang kepada usaha untuk mempercepatkan transformasi digital agensi-agensi pemerintah dan mempertingkatkan keupayaan pusat-pusat GovTech, menurut agensi itu.

GovTech mempunyai lima daripada pusat-pusat ini dalam bidang-bidang seperti pembangunan aplikasi, keselamatan siber, dan sains data serta kecerdasan buatan (AI).

"Dengan penutupan pejabat Indeed di Singapura, kami melihat peluang yang unik untuk menggajikan beberapa pasukan kejuruteraan Indeed untuk mengusahakan dua keutamaan kami," dedah GovTech.

Bekas kakitangan Indeed yang diambil bekerja termasuk jurutera perisian dan kualiti, pengurus produk, pereka pengalaman pengguna (UX) dan saintis data.

Indeed telah diasaskan di Amerika Syarikat pada tahun 2004, dan kini dimiliki oleh syarikat sumber manusia Jepun, Recruit Holdings.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita