Skip to main content

Singapura

GovCash permudah rakyat S'pura keluarkan agihan tunai Pemerintah

Rakyat Singapura yang tidak dapat menggunakan khidmat kredit langsung untuk menerima bayaran Pemerintah kini boleh mengeluarkan wang dengan lebih pantas dan mudah" menggunakan mesin ATM OCBC di seluruh negara.

Anggaran Waktu Membaca:
GovCash permudah rakyat S'pura keluarkan agihan tunai Pemerintah

Gambar fail sebuah cawangan OCBC Bank. (Gambar: OCBC/Facebook)

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang tidak dapat menggunakan khidmat kredit langsung untuk menerima bayaran Pemerintah kini boleh mengeluarkan wang dengan lebih pantas dan mudah" menggunakan mesin ATM OCBC di seluruh negara.

GovCash, dilancarkan oleh Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dengan kerjasama OCBC Bank dan GovTech, sudah secara bertahap-tahap menggantikan cek sejak November tahun lalu.

Ia akan memanfaatkan sehingga 40,000 rakyat Singapura yang kini tidak perlu lagi beratur panjang di cawangan bank untuk menukarkan sekitar 500,000 cek dengan wang tunai setiap tahun.

GovCash "tidak kurang selamat berbanding menerima bayaran dalam bentuk cek," menurut Lembaga CPF dalam kenyataan medianya pada Isnin (21 Feb).

“Ia menggunakan teknologi pengecaman wajah Singpass untuk mengesahkan pengguna termasuk keupayaan pengecaman secara langsung yang menyekat penggunaan gambar, video atau pelitup semasa proses pengesahan."

Mereka yang layak boleh mengeluarkan bayaran Pemerintah dalam bentuk wang tunai di lebih 500 mesin ATM OCBC di serata negara. Mereka tidak perlu mempunyai akaun bank OCBC untuk melanggani khidmat GovCash.

Bayaran Pemerintah termasuk Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja, Bayaran Khas Daya Kerja dan Anugerah Komitmen Latihan.

"GovCash direka untuk digunakan dengan mudah dan mengikut gerak hati," tambah Lembaga CPF.

Sebelum ini, penerima cek perlu memasukkan cek atau menukarkannya kepada wang tunai di kaunter bank.

Dengan GovCash, mereka boleh menerima bayaran di ATM dengan serta-merta pada bila-bila masa, tanpa dibatasi waktu operasi bank.

Mereka yang ingin mendapatkan bantuan untuk mengeluarkan wang boleh mengunjungi mesin ATM yang ditempatkan di cawangan-cawangan OCBC semasa waktu operasi, di mana duta perbankan digital bersedia untuk membimbing mereka.

GovCash juga membolehkan para penerima untuk menggunakan fungsi imbas dan bayar serta pilihan pemindahan PayNow melalui aplikasi mudah alih LifeSG.

“Lembaga CPF akan terus meneroka pilihan-pilihan lain untuk menyediakan khidmat yang lebih memudahkan serta selamat kepada para pelanggan kami," menurutnya.

Lembaga itu menambah ia juga bersedia untuk bekerjasama dengan bank-bank lain sekiranya mereka berminat untuk menyertai sistem tersebut.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita