Gout, alahan hidung, hepatitis B kronik akan disenaraikan di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik
SINGAPURA: Penyakit gout, alahan pada bahagian hidung dan hepatitis B kronik akan ditambahkan dalam senarai Program Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP) mulai 1 Julai tahun ini, dedah Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Rabu (9 Mac).
Lebih 134,000 individu akan meraih manfaat kerana mereka kini boleh menggunakan subsidi MediSave dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) untuk penyakit-penyakit tersebut, kata Dr Koh semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH).
Sebanyak 23 penyakit kronik kini disenaraikan di bawah CDMP dengan tambahan baru tersebut, menurut MOH dalam satu kenyataan media berasingan. Penyakit-penyakit lain termasuk tekanan darah tinggi, keresahan dan demensia.
Dengan tambahan itu, lebih 60 peratus pesakit kronik di poliklinik akan dilindungi di bawah CDMP, menurut MOH.
"MOH akan terus menyemak senarai penyakit di bawah CDMP untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura dengan lebih baik lagi," tambah MOH.
POLIKLINIK BARU DI TAMAN JURONG
Sebuah poliklinik baru akan dibuka di Taman Jurong menjelang 2028, menurut MOH.
Bersama poliklinik Pioneer dan Jurong, poliklinik itu akan memenuhi keperluaan penduduk di daerah Jurong, tambah MOH.
Poliklinik Queenstown juga akan dibangunkan semula di tapak yang baru menjelang hujung dekad ini. Poliklinik yang sedia ada sekarang akan terus memenuhi keperluaan penduduk di daerah tersebut sehingga tarikh itu.
Poliklinik Taman Jurong dan Queenstown akan menyediakan khidmat jagaan utama seperti rawatan perubatan untuk penyakit akut, pengurusan penyakit kronik, khidmat kesihatan wanita dan kanak-kanak, khidmat kesihatan serta khidmat farmasi, makmal dan radiologi.
Kedua-dua poliklinik itu akan mempunyai ciri-ciri mesra warga emas serta ciri-ciri baru agar "bersedia untuk pandemik", menurut MOH, sambil menambah bahawa maklumat lanjut akan diumumkan kelak.
"Buat masa ini, terdapat 23 poliklinik, dan sasaran kami sebanyak 32 poliklinik akan dicapai setelah menggabungkan Poliklinik Bukit Merah dan Poliklinik Outram untuk dijadikan poliklinik baru yang lebih besar di Tiong Bahru menjelang 2030," tambah MOH.
Poliklinik lain yang sedang dibangunkan termasuk: Poliklinik Sembawang, yang akan dibuka lewat tahun ini; enam poliklinik di Kaki Bukit, Khatib, Serangoon, Tampines North, Tengah dan Yew Tee yang akan siap dibina menjelang 2026; tiga poliklinik di Bidadari, Bishan dan Taman Jurong yang akan disiap menjelang 2030.
Poliklinik Pasir Ris dan Clementi pula masing-masing akan dibangunkan semula pada 2026 dan 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.