Skip to main content

Singapura

Gourmetz didakwa atas insiden keracunan makanan Sekolah Rendah River Valley

Syarikat katering Gourmetz didakwa di mahkamah pada Rabu (29 Jul) atas beberapa kesalahan berkaitan keselamatan makanan yang dikaitkan dengan insiden keracunan makanan di Sekolah Rendah River Valley pada Januari lalu yang menyebabkan 60 murid mengalami gastroenteritis.

Anggaran Waktu Membaca:
Gourmetz didakwa atas insiden keracunan makanan Sekolah Rendah River Valley

Sekolah Rendah River Valley. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 02:47PM
  • Syarikat katering Gourmetz didakwa di mahkamah atas enam kesalahan keselamatan makanan selepas insiden keracunan di Sekolah Rendah River Valley pada Januari lalu.
  • Insiden tersebut menyebabkan 60 murid mengalami gastroenteritis, namun tiada yang dimasukkan ke hospital dan kebanyakan telah pulih.
  • Tuduhan melibatkan penyimpanan makanan dalam keadaan kotor, pelabelan palsu, pencemaran bakteria, serta kegagalan menyelenggara premis dengan baik.
  • Kes akan disebut semula pada 19 Ogos, dan Gourmetz berisiko didenda jika didapati bersalah, sementara MOE sedang menyiasat status syarikat itu di sekolah berkenaan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Syarikat katering Gourmetz didakwa di mahkamah pada Rabu (29 Jul) atas beberapa kesalahan berkaitan keselamatan makanan yang dikaitkan dengan insiden keracunan makanan di Sekolah Rendah River Valley pada Januari lalu yang menyebabkan 60 murid mengalami gastroenteritis.

Dalam kenyataan pada 16 Januari lalu, pihak berkuasa memaklumkan sebahagian besar murid yang terjejas sudah kembali ke sekolah, kecuali empat yang pulih di rumah.

Tiada murid dimasukkan ke hospital.

Sekolah Rendah River Valley merupakan antara 13 sekolah yang menyertai model penyediaan makanan menerusi dapur pusat, dengan Gourmetz mengendalikan kantin sekolah tersebut.

Syarikat itu berdepan enam tuduhan membabitkan kesalahan yang dipercayai dilakukan pada 16 dan 28 Januari, termasuk penyimpanan makanan, pelabelan palsu, pencemaran bakteria dan kegagalan menyelenggara premis makanan berlesen.

Menurut dokumen mahkamah, Gourmetz didapati menyimpan sos di dalam bekas terma berwarna biru yang kotor di bilik penyejuk sayur-sayuran diproses pada 16 Januari.

Syarikat itu juga menyimpan ayam diperap di atas troli yang kotor dan mempunyai kesan sisa makanan di bilik penyejuk daging.

Selain itu, Gourmetz gagal memastikan premis makanan berlesennya diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan bersih.

Getah pengedap pada pintu bilik penyejuk daging didapati rosak, manakala siling bilik penyejuk sayur-sayuran diproses pula kotor dengan tompok hitam.

Nasi ayam kukus dan nasi goreng bawang putih siap dimakan yang dihasilkan syarikat itu turut mengandungi bakteria Bacillus cereus pada paras melebihi had yang dibenarkan.

Gourmetz juga dipercayai menggunakan label palsu pada set bento pada 28 Januari.

Makanan itu dilabel sebagai "disediakan pada 8.30 pagi", padahal ia sudah siap dibungkus sekitar 6.48 pagi.

Syarikat itu juga menyimpan ayam mentah diperap di atas palet plastik yang kotor serta menyimpan pastri sejuk beku tanpa penutup di dalam peti sejuk beku bahan mentah.

Mediacorp telah menghubungi Kementerian Pendidikan (MOE) bagi mendapatkan penjelasan sama ada Gourmetz masih mengendalikan kantin Sekolah Rendah River Valley.

Kes itu akan disebut semula di mahkamah pada 19 Ogos.

Jika didapati bersalah, syarikat itu boleh didenda.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita