Skip to main content

Singapura

Google DeepMind buka makmal penyelidikan AI di SG, pertama di Asia Tenggara

Google DeepMind membuka sebuah makmal penyelidikan kecerdasan buatan (AI) baharu di Singapura, dengan tumpuan kepada kerjasama bersama pemerintah, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan institut-institut akademik di rantau ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Google DeepMind buka makmal penyelidikan AI di SG, pertama di Asia Tenggara
Makmal Google DeepMind terletak di pejabat Google Singapura di Mapletree Business City. (Gambar: CNA/Erin Liam)
SINGAPURA: Google DeepMind membuka sebuah makmal penyelidikan kecerdasan buatan (AI) baharu di Singapura, dengan tumpuan kepada kerjasama bersama pemerintah, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan institut-institut akademik di rantau ini.

Pasukan di Singapura akan terdiri daripada saintis penyelidik, jurutera sofwe, tenaga operasi dan pakar impak AI, menurut makmal di bawah naungan Google itu pada Rabu (19 Nov).

Operasi sudah bermula dan pengambilan pekerja sedang dijalankan, tambah syarikat teknologi tersebut.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan media, Google tidak menyatakan jumlah pekerja yang dirancang untuk diambil atau jumlah pelaburan bagi makmal penyelidikan tersebut.

Mengumumkan tentang makmal baharu itu di pejabat Google Singapura di Mapletree Business Park pada Rabu, Ketua Pegawai Operasi Google DeepMind, Lila Ibrahim, berkata pendekatan Singapura yang berpandangan jauh menjadikannya “tempat yang ideal” bagi makmal tersebut.

Beliau menambah bahawa meskipun agenda penyelidikan mereka masih diperhalusi, antara bidang kajian yang diberi tumpuan termasuk pendidikan, pembelajaran dan penjagaan kesihatan.

Acara pengumuman tersebut dihadiri media dan rakan-rakan kongsi, termasuk wakil daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan AI Singapore.

DeepMind ditubuhkan di Britain pada 2010 dan diambil alih oleh Google pada 2014. Selain London, tempat di mana ia beribu pejabat, syarikat itu juga mempunyai pejabat di India dan Jepun. Singapura merupakan pejabat pertamanya di Asia Tenggara.

Antara kejayaan utama makmal tersebut termasuk pembangunan AlphaGo, program komputer pertama yang mengalahkan juara dunia bagi permainan Go.

Google DeepMind juga membangunkan Gemini, keluarga model AI Google yang boleh memahami dan menjana teks, kod, gambar, audio dan video.

STRATEGI AI KEBANGSAAN

Pengarah urusan EDB, Jermaine Loy, berkata kerjasama itu akan mewujudkan peluang baharu untuk bakat tempatan dan masyarakat penyelidikan Singapura.

Ia juga akan memberi mereka akses kepada “alat AI bertaraf dunia” untuk tujuan penyelidikan dan penemuan saintifik.

Semakan Mediacorp di portal pekerjaan seperti MyCareersFuture menunjukkan bahawa makmal tersebut sedang mengambil pekerja untuk jawatan seperti saintis penyelidik bagi AI generatif multimodal dan jurutera sofwe dalam AI perubatan.

Bercakap mengenai barisan bakat pada pelancaran itu, naib presiden eksekutif EDB, Chan Ih-Ming, menambah bahawa banyak syarikat berbilang negara dapat meraih manfaat daripada pengambilan pelajar universiti tempatan.

“Sebahagian besarnya juga akan melibatkan masyarakat global, dan saya fikir kita terus bersikap terbuka kepada mereka yang sudah berada pada tahap tertinggi dalam bidang masing-masing,” kata beliau.

Pengarah kanan Produk AI di AI Singapore, Dr Leslie Teo, berkata kepakaran pasukan tersebut akan mempercepatkan usaha mereka membangunkan model bahasa besar (LLM) yang lebih mencerminkan konteks rantau ini.

Google sudah pun bekerjasama dengan AI Singapore dalam membangunkan SEA-LION, sebuah LLM berbilang bahasa.

Pelancaran makmal AI baharu itu dibuat sedang Singapura meningkatkan pelaburan dalam bidang tersebut.

Satu laporan oleh Google, Temasek, serta Bain and Company baru-baru ini mendapati pembiayaan AI swasta di Singapura melonjak 55 peratus dari separuh kedua 2024 hingga separuh pertama 2025.

Mediacorp sudah menghubungi EDB untuk mendapatkan maklum balas mengenai bagaimana langkah yang diambil Google ini sejajar dengan strategi AI Singapura.

Singapura melancarkan Strategi AI Kebangsaan (NAIS) 2.0 pada Disember 2023, dengan matlamat untuk melipatgandakan jumlah pengamal AI di negara ini kepada 15,000 orang.

NAIS 2.0 menggariskan aspirasi Singapura untuk menjadi peneraju global dalam “bidang AI terpilih yang memberi impak ekonomi dan berkhidmat untuk kebaikan awam”.

Sejak itu, negara menarik syarikat-syarikat teknologi seperti pengeluar ChatGPT, OpenAI, untuk membuka pejabat di sini pada 2024.

Firma lain seperti syarikat automasi AI Workato dan Microsoft juga turut melancarkan makmal AI di Singapura pada tahun ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita