Golongan tidak divaksinasi sebab alahan harap diberi pengecualian langkah baru COVID-19
Sebilangan orang yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin COVID-19 tidak tergesa-gesa untuk mendapatkannya walaupun peraturan-peraturan baru menghadkan aktiviti sosial mereka, sambil berkata mereka masih belum membuat keputusan.
Sebuah restoran di Marina Bay Sands periksa status pelanggan yang ingin duduk menjamu selera pada 10 Ogos 2021 (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Sebilangan orang yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin COVID-19 tidak tergesa-gesa untuk mendapatkannya walaupun peraturan-peraturan baru menghadkan aktiviti sosial mereka, sambil berkata mereka masih belum membuat keputusan.
Manakala bagi mereka yang tidak dapat menerima suntikan kerana alasan perubatan, mereka berharap sekatan itu tidak akan berkekalan terlalu lama atau mereka mungkin diberi beberapa kelonggaran.
Mulai Selasa (10 Ogos), individu yang sudah lengkap divaksinasi - iaitu setelah dua minggu selepas dos kedua mereka - boleh duduk makan di restoran dan berhimpun dalam kumpulan hingga lima orang atau mengambil bahagian dalam kegiatan sosial berisiko lebih tinggi yang lain seperti sukan atau acara beramai-ramai.
ANGKARA ALAHAN, SITI HAMZAH RASA 'KETINGGALAN' DARI PERHIMPUNAN KELUARGA
Namun bagi pengurus akaun Siti Hamzah, 26 tahun, beliau tidak akan dapat mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan itu.
Kata beliau: “Saya sedih kerana dipinggirkan. Saya rasa sepatutnya ada pengecualian bagi orang yang pernah cuba (untuk mendapatkan vaksin). Hakikatnya, hanya sekumpulan kecil daripada kami yang mengalami kesan buruk."
Cik Siti, yang mendapat suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 28 Julai, mengalami demam panas selama enam hari dan mengalami muntah dan cirit-birit.
Beliau ditahan di hospital, didapati mengalami keradangan dan terpaksa membelanjakan S$7,000 untuk bil hospital. Seorang doktor kemudian mengesahkan Cik Siti sebagai tidak layak untuk dos kedua.
Oleh kerana itu, beliau sedang menunggu vaksin lain yang tidak menggunakan teknologi baru mRNA untuk ditawarkan di sini, seperti vaksin Novavax.
Beliau tidak cenderung mendapat vaksin Sinovac disebabkan kadar keberkesanannya yang rendah, walaupun Pemerintah sudah menyatakan bahawa mereka yang mengalami reaksi alahan setelah menerima dos pertama vaksin mRNA akan dianggap sebagai sudah divaksinasi sepenuhnya setelah mereka mendapat dua suntikan Sinovac.
Apabila berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan untuk makan, Cik Siti dan orang lain yang belum divaksinasi merasa ketinggalan.
Bahkan di pusat penjaja dan kedai kopi, tidak kira ada sama ada seseorang sudah divaksinasi atau belum, hanya dua orang yang boleh duduk makan semeja.
Untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan, perniagaan boleh menyemak status vaksin pelanggan dengan meminta mereka menyentuh token atau aplikasi mudah alih TraceTogether mereka pada aplikasi SafeEntry (Perniagaan) di premis.
Langkah-langkah baru di sini adalah serupa dengan yang diambil beberapa negara dan bandar lain, yang mempunyai sekatan berbeza antara mereka yang sudah mendapatkan vaksinasi dengan yang belum divaksinasi - seperti di Perancis dan New York.
TIDAK TERDORONG DAPATKAN SUNTIKAN
Bagi sebilangan orang yang memutuskan untuk tidak mendapatkan vaksin COVID-19, atau masih belum membuat keputusan, mereka merasakan bahawa peraturan baru itu bersifat diskriminasi.
Mereka berasa seperti disasarkan secara tidak adil dan dipinggirkan daripada kegiatan sosial kerana membuat pilihan peribadi, walaupun usaha vaksinasi nasional tidak wajib.
Mereka menarik perhatian bahawa pada Disember tahun lalu, ketika Pemerintah mula melancarkan usaha vaksinasi nasional, pasukan bertindak COVID-19 berkata bahawa ia tidak akan memaksa orang untuk mengambil vaksin dan akan menghormati pilihan orang ramai. Data jangka panjang dan kesan sampingan juga masih belum diketahui atau dikaji.
Dengan adanya laporan mengenai jangkitan dalam kalangan mereka yang sudah diberi vaksin sepenuhnya di sini dan di tempat-tempat lain, iaitu mereka masih boleh dijangkiti dan menyebarkan koronavirus tanpa gejala atau dengan gejala ringan, mereka yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin berkata bahawa mereka tidak dapat melihat sebab mengapa perlu ada peraturan berbeza.
Seorang lelaki berusia 65 tahun, yang enggan memberikan nama dan pekerjaannya kerana majikannya tidak mengizinkannya bercakap dengan media, berkata: “Mengapa membeza-bezakan antara yang sudah divaksinasi dengan yang belum divaksinasi ketika tidak ada perbezaan dari segi siapa yang boleh menyebarkan virus tersebut?
"Ini secara jelas adalah diskriminasi."
DIPANDANG SEPERTI "PENJENAYAH"
Sebilangan daripada mereka berkata bahawa dengan tekanan yang bertubi-tubi seperti itu, serta pihak-pihak tertentu dalam masyarakat yang melabel mereka sebagai "penjenayah", ia menjadikan mereka lebih keberatan untuk mendapatkan suntikan itu.
Seorang suri rumah tangga yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Loh, 41 tahun, berkata: "Sebagai seseorang yang belum dapatkan vaksin di Singapura, saya merasa teraniaya (kerana) perlunya mempertahankan atau menegakkan mengapa saya tidak diberi vaksin."
Beliau masih belum membuat keputusan tentang sama ada mahu mendapatkan vaksin kerana pengalaman buruk dengan ubat-ubatan farmasi pada masa lalu serta mempunyai keadaan perubatan dan alahannya yang sedia ada.
"Saya tidak menentang vaksin. (Sebilangan) orang telah mengambil vaksin itu untuk dirinya sendiri, tetapi lebih berhati-hati (untuk suntikan) anak-anak mereka ... Kisah setiap orang berbeza. Kita tidak boleh mendiskriminasi orang yang tidak mengambil vaksin," kata Cik Loh.
Suri rumah Daphne Koh, 43 tahun, berkata beliau berharap agar Pemerintah akan mencari cara lain untuk memberi insentif kepada orang-orang agar mendapatkan vaksinasi - seperti memberi pekerja cuti kerja dengan gaji untuk berehat setelah vaksinasi - tanpa menghukum mereka yang tidak berbuat demikian.
Usaha Singapura dalam mengawal jumlah orang yang sakit parah akibat COVID-19 juga membuat beliau memutuskan untuk tidak mengambil vaksin buat masa ini kerana beliau waspada terhadap risiko vaksin yang mempunyai kesan buruk yang teruk pada orang yang sihat seperti dirinya.
Pekerja sosial Joe Chan, 41 tahun, yang tidak selesa mendapat vaksin buat masa ini kerana masih belum yakin terhadap vaksin tersebut, berkata beliau bimbang kerana lama-kelamaan, orang yang tidak diberi vaksin akan dipinggirkan daripada lebih banyak kegiatan.
Ini akan menyebabkan perpecahan yang mendalam antara mereka yang sudah divaksinasi dengan mereka yang tidak mendapatkan vaksin, tambahnya.
"Apakah orang-orang akan dilarang daripada menaiki pengangkutan awam dan memasuki pusat beli-belah? Rasanya kita mungkin akan menuju ke arah itu dan ini akan mendorong perpecahan dan rasa tidak selamat dalam kalangan warga negara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.