Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan peniaga dari rumah gunakan mesin layan diri, kembangkan bisnes

Bukan setakat makanan halal sahaja, mesin-mesin layan diri kini semakin rancak menyediakan pelbagai produk keislaman seperti hijab dan suplemen kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan setakat makanan halal sahaja, mesin-mesin layan diri kini semakin rancak menyediakan pelbagai produk keislaman seperti hijab dan suplemen kesihatan.

Dengan lebih 30 jenama Melayu/Islam kini memanfaatkan kemudahan 'vending machine' sebagai satu lagi saluran menjual produk-produk mereka, jumlah mesin sedemikian juga dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun ini.

Konsep menawarkan hanya barang-barang bersijil halal ataupun yang berunsur Islamik di dalam mesin layan diri itu ditawarkan Vibes Mastery, sebuah akademi perniagaan khusus bagi usahawan pemula serta syarikat kecil dan sederhana (SME).

Mula dilancarkan Oktober tahun lalu di pasar raya Giant Tampines, ia kini mempunyai tiga mesin dengan dua yang terbaru beroperasi di pusat beli-belah Ang Mo Kio Hub.

MESIN-MESIN INTERAKTIF DAN MESRA PELANGGAN

Ia memanfaatkan teknologi dengan kaedah pembayaran tanpa tunai iaitu menerusi sentuhan kad seperti NETS, NETS Flashpay ataupun VISA. Setelah pembelian dibuat, resitnya akan dipaparkan pada skrin di mana pelanggan boleh memilih untuk mendapatkannya menerusi imbasan kod QR ataupun emel.

Berciri interaktif, mesin-mesin ini meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan walaupun tiada khidmat jurujual.

Misalnya, pelanggan boleh melayari skrin menu ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang para peniaga, membaca testimonial mengenai mutu produk yang ingin atau sudah dibeli mahupun melihat video panduan seperti cara-cara memakai hijab.

Lantas, mesin-mesin ini ibarat ejen pemasaran kepada para peniaga online sekali gus membantu mereka menjana kredibiliti lebih tinggi.

SATU ALTERNATIF YANG TIDAK MENELAN KOS TINGGI

"Lagi satu, tidak payah keluarkan kos untuk penghantaran. Tidak perlu juga fikir bila kita hendak pos barang-barang ini semua. Takut pelanggan nanti mengadu lambat ke apa," terang Cik Shaziyah Sidik, pemilik bersama NutriBLAST Singapore.

Bahkan, menurut suami beliau, Encik Johan Eskandar yang juga pemilik bersama NutriBLAST Singapore, mesin ini boleh mengerakkan bisnes mereka.

Ini kerana sebagai rakan kongsi sebuah kedai di Putrajaya, pasangan itu tidak akan berada 100 peratus di Singapura untuk menguruskan penghantaran jualan online mereka.

"Kadang-kadang saya berada di Malaysia, di Indonesia dan sebagainya. Mesin ini banyak membantu dari segi jualan harian di mana saya boleh berada di mana-mana sahaja dan jualan tetap berlaku," kata Encik Johan Eskandar.

Memandangkan perniagaan berjalan serentak dalam dua kaedah - secara online dan juga melalui mesin-mesin Vibes Mastery - dapatlah golongan usahawan yang beroperasi dari rumah ini menikmati keuntungan lebih muai.

"Untuk produk kami selalunya, dalam 500 begitu terjual sebulan. Daripada mesin layan diri ini, Alhamdulillah, ada kenaikan dalam 10 hingga 20%. Nampaknya, dalam 80 botol begitulah," kongsi Cik Shaziyah, seorang pegawai bank privet.

JUMLAH PENGIKUT PENIAGA ONLINE MELONJAK

Pemilik Asya Calista Hijab, Cik Kamariah Mohd Tahir, pula menyaksikan tambahan bilangan pengikut bagi jenamanya sejak produk-produk beliau seperti khimar dan tudung labuh diperkenalkan ke dalam mesin Vibes Mastery.

"Kita mendapat ramai pelanggan. Ada yang tidak mengikuti kami, mereka akan pergi ke pusat membeli-belah ini dapat mengikuti terutama kepada masyarakat bangsa asing yang beragama Islam. Mereka sangat gembira kerana dengan ada mesin ini, mereka dapat membeli dengan cara langsung," ujar Cik Kamariah.

Para peniaga yang menyertai mesin Vibes Mastery diberikan tempoh kontrak tiga bulan untuk 'mencuba nasib'.

Kos menyewa kolum paling kecil bermula serendah $90 sebulan.

Namun, jika peniaga ingin menjual lebih daripada satu jenis produk, ada pilihan untuk meletakkannya dalam satu dulang. Setiap dulang boleh memuatkan sehingga lapan produk berlainan. Kos sewanya pula ialah sehingga $500 sebulan.

WADAH SAMPINGAN BAGI PENIAGA MUSIMAN

"Vibes Mastery bertujuan menjadi sebuah jambatan antara pengguna umum dan juga peniaga-peniaga kecil yang membuat bisnes daripada rumah khususnya. Selalunya mereka ada di pasar lambak, mereka ada di ekspo perniagaan dan sebagainya," kata Cik Aida Amanda Atan, pengasas Vibes Mastery.

"Dengan adanya mesin itu, satunya, mereka dapat boleh dikatakan satu batu loncatan," ujar beliau.

Keseluruhannya, mesin-mesin Vibes Mastery menampilkan lebih 60 produk oleh lebih 30 pemilik jenama Melayu/Islam dari usia semuda 20 tahun hinggalah 59 tahun.

70 peratus daripada mereka merupakan bekas anak didik Cik Aida daripada program penguasaan perniagaan.

Menurut Cik Aida, kira-kira 20 lagi peniaga sudah menyuarakan hasrat untuk menempatkan produk mereka di dalam mesin Vibes Mastery.

Maka itu, ada perancangan untuk melancarkan lebih banyak mesin bagi menampung permintaan tersebut dengan sasaran seterusnya di Pusat Pelayaran Singapura, Bedok Point dan Waterway Point.

Di samping produk-produk sedia ada, Cik Aida mahu membawa masuk barang-barang dapur seperti garam dan gula serta makanan beku ke dalam mesin-mesin Vibes Mastery pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan