Skip to main content

Singapura

‘Golongan paling memerlukan akan lebih dibantu, tapi tidak bermakna golongan lebih berkemampuan tidak mendapat apa-apa’, tegas Chan Chun Sing

Encik Chan menambah bahawa barang-barang yang digunakan setiap hari, seperti air dan tambang pengangkutan, boleh menyebabkan kesan psikologi yang tidak seimbang meskipun bukan merupakan kesan yang paling ketara. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jul 2018 10:25PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 11:48PM

SINGAPURA: Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (10 Julai) berucap di Parlimen tentang kos sara hidup di Singapura dan langkah-langkah yang diambil Pemerintah untuk mengurangkan kesannya terhadap keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan.

Namun, beliau memberi amaran bahawa pelbagai kumpulan di Singapura juga mempunyai keprihatinan yang berbeza. “Warga tua, para pesara dan keluarga mereka lebih prihatin terhadap tahap kemampuan kos jagaan kesihatan,” kata beliau. “Keluarga-keluarga dengan anak kecil dan bayi mungkin lebih prihatin tentang harga susu tepung dan program-program pendidikan. Sementara itu, ada juga keluarga yang berhasrat untuk membeli rumah atau kereta idaman mereka.

“Tiada satu langkah yang dapat menggambarkan sepenuhnya tekanan ‘kos sara hidup’ seseorang, memandangkan keperluan dan kemahuan juga berbeza, aspirasi yang berubah-ubah dan jurang antara cita-cita dengan kemampuan yang dijangkakan.”

Encik Chan menambah bahawa barang-barang yang digunakan setiap hari, seperti air dan tambang pengangkutan, boleh menyebabkan kesan psikologi yang tidak seimbang meskipun bukan merupakan kesan yang paling ketara.

Beliau kemudian membentangkan strategi serampang lapan mata Pemerintah bagi menangani tekanan kos sara hidup di Singapura: iaitu dengan memastikan ekonomi berdaya saing; mengawal dolar Singapura; mempelbagaikan sumber bekalan; merangsang persaingan, menguruskan kos perniagaan; menumpukan skim bantuan agar ia dapat lebih membantu golongan yang memerlukan; membolehkan para pelanggan untuk membuat pilihan dan memanfaatkan perusahaan sosial.

BUKAN HANYA SETAKAT GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

Menjawab soalan tambahan daripada Anggota Parlimen Liang Eng Hwa, Encik Chan menekankan bahawa bukan golongan berpendapatan rendah sahaja yang menjadi keprihatinan Pemerintah.

“Sudah tentu, sebagai dasar biasa, kami akan cuba untuk melakukan lebih banyak lagi bagi golongan berpendapatan rendah dan mungkin juga para pesara terlebih dulu,” kata beliau.

“Sehubungan itu, Pemerintah sangat prihatin tentang aspirasi dan keperluan golongan pertengahan. Itulah sebabnya kami mengambil beberapa langkah lebih luas yang sudah saya gambarkan untuk membantu semua rakyat.

“Kami cuba membantu semua penduduk di Singapura dengan memastikan agar mereka yang berpendapatan lebih rendah dapat menerima (bantuan) yang lebih besar, tetapi ini tidak bermakna bahawa mereka yang lebih berkemampuan tidak mendapat apa-apa. Ia setakat menyesuaikan pelbagai skim bantuan yang kami sediakan.”

Kata Encik Chan: “Bagi sebahagian besar golongan pertengahan … Kami berusaha sedaya upaya untuk membantu orang tua mereka, bagi meringankan beban keluarga golongan pertengahan yang menjaga ibu bapa yang lanjut usia.

“Kami mahu memastikan agar pendidikan anak-anak mereka kekal dalam kemampuan mereka dan setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk menyerlah dan mencapai potensi masing-masing. Janji kami sebagai Pemerintah adalah, selagi seseorang itu berkebolehan dan komited, mereka tidak seharusnya bimbang tentang kemampuan mereka, keadaan keluarga mereka. Itulah sebabnya kami memberikan banyak biasiswa dan dermasiswa untuk membantu para pelajar meraih kecemerlangan.” 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita