Golongan muda Melayu/Islam digalak mulakan perancangan harta lebih awal
SINGAPURA: Lebih ramai golongan muda Melayu/Islam digalak untuk mula melakukan perancangan legasi Islam mereka lebih awal.
Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam, Zhulkarnain Abdul Rahim berkata ia tidak hanya dilakukan bagi mereka yang sudah lanjut usia.
Encik Zhulkarnain yang juga merupakan Menteri Negara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga memberi peringatan itu kepada para peserta acara Perkampungan Perancangan Legasi Islam @ Kejiranan (Selatan) pada Sabtu (9 Mei).
Buat pertama kalinya, acara sedemikian diperluaskan ke kawasan kejiranan bagi menjangkaui lebih ramai penduduk dan memudahkan akses kepada ilmu dan pengetahuan tentang perancangan legasi Islam.
Acara yang berlangsung di Taman Warisan Melayu itu bertujuan membawa khidmat dan panduan berkaitan perancangan legasi Islam lebih dekat kepada masyarakat menerusi pendekatan di kawasan kejiranan.
Encik Zhulkarnain berkata: “Jadi banyak kekhuatiran, kebimbangan dan kemaslahatan masyarakat kita yang kita telah leraikan atau memberi pencerahan pada hari ini terutamanya apakah itu wasiat dan apakah itu waris yang boleh mewarisi melalui faraid dan apa manfaatnya mengadakan perancangan legasi."
Mengulas lanjut, beliau berkata masih terdapat tanggapan bahawa perancangan legasi hanya relevan bagi golongan warga emas atau mereka yang berharta.
"Perancangan ini bukan saja untuk warga senja kita tetapi orang-orang muda kita, pasangan muda yang ada anak-anak kecil, anak-anak istimewa," tambah Encik Zhulkarnain.
Justeru, lebih banyak inisiatif akan dijalankan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan panduan berkaitan perancangan legasi Islam.
Usaha tersebut turut melibatkan kerjasama bersama peguam, karyawan kewangan dan asatizah bagi membantu masyarakat memahami aspek agama, kewangan dan perundangan berkaitan perancangan legasi.
Selain sesi penerangan, masyarakat juga digalakkan mengambil langkah praktikal seperti membuat wasiat, pencalonan CPF dan insurans, Surat Kuasa Berkekalan (LPA) serta Perancangan Jagaan Lanjut.
“Golongan-golongan ini yang ingin kita dekati dan beri kesedaran serta ilmu yang bermanfaat, supaya mereka memahami bahawa perancangan legasi Islam bukan sahaja untuk ketenangan diri sendiri tetapi juga demi ketenangan insan yang ditinggalkan,” tambahnya lagi.
Perkampungan Perancangan Legasi Islam pertama kali diperkenalkan pada 2024.
Turut menghadiri acara itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim serta Penasihat Akar Umbi GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal.
Dr Faishal turut menyeru masyarakat supaya mendapatkan maklumat dan mula mengadakan perbincangan lebih awal.
“Apabila kita merancang lebih awal, kita sebenarnya melindungi keluarga kita dan memastikan apa yang telah kita usahakan dapat dipelihara dengan cara yang selaras dengan nilai dan pegangan agama kita," katanya.
Acara anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bersama REACH itu dihadiri sekitar 250 peserta.
Antara mereka ialah Encik Noor Hakim Sulaiman, 27 tahun yang menyambut baik usaha tersebut.
Beliau berkata sesi tersebut memberinya peluang untuk lebih memahami tentang perancangan legasi Islam.
"Selepas menghadiri sesi ini, saya rasa lebih yakin untuk membantu ibu bapa saya dan mendalami lagi perkara berkaitan perancangan legasi Islam," ujar beliau yang menghadiri sesi tersebut bersama ibu bapanya.
Dengan bekalan ilmu ini, Encik Noor Hakim berkata beliau juga berkongsi bersama sanak saudara atau rakan-rakannya.
Antara isu lain yang turut dibincangkan semasa sesi panel termasuk persoalan berkaitan pembahagian harta, akaun bank bersama, pewaris flat HDB, pencalonan CPF serta perancangan bagi anak bawah umur atau tanggungan berkeperluan khas.
Turut diadakan ialah reruai terbuka kepada orang ramai yang menawarkan pelbagai khidmat berkaitan perancangan legasi Islam.
Ini termasuk ruang bagi mendapatkan maklumat berkaitan perancangan legasi, melakukan urusan seperti nominasi CPF dan insurans serta pensijilan LPA, selain mendapatkan panduan peribadi yang patuh Syariah daripada para asatizah dan profesional berkaitan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.