Golongan muda lebih cenderung sokong usaha pemuliharaan hidupan liar: Tinjauan
Golongan muda Singapura jauh lebih cenderung menyokong pemuliharaan hidupan liar berbanding golongan lebih berusia, menurut satu tinjauan yang dijalankan.
(Gambar fail TODAY)
SINGAPURA: Golongan muda Singapura jauh lebih cenderung menyokong pemuliharaan hidupan liar berbanding golongan lebih berusia, menurut satu tinjauan yang dijalankan.
Tinjauan Pandangan Pemuliharaan, yang diterbitkan pada Khamis (1 Okt), mendapati bahawa separuh daripada responden Generasi Z iaitu mereka yang berusia 16 hingga 24 tahun, menyokong usaha-usaha pemuliharaan - lebih dua kali ganda berbanding 20 peratus daripada responden Generasi X berusia 45 hingga 54 tahun yang berbuat demikian.
Tinjauan itu yang diselenggara oleh Wildlife Reserves Singapore (WRS) dan dijalankan pada Mei tahun ini, meninjau lebih daripada 1,000 rakyat Singapura berusia 16 tahun dan ke atas. Hasil tinjauan itu didedahkan sempena Hari Haiwan Sedunia pada Ahad.
WRS mengendalikan Taman Haiwan Singapura, Night Safari, Taman Burung Jurong dan River Safari.
Para responden Generasi Y yang berusia 25 hingga 34 tahun, adalah kumpulan kedua terbesar (47 peratus) dalam kalangan responden yang menyokong pemuliharaan hidupan liar.
Meskipun responden berusia paling muda merupakan penyokong terbesar bagi pemuliharaan hidupan liar, sekitar 61 peratus berkata kesukaran tidak tahu dari mana untuk bermula adalah halangan utama mereka dalam memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan hidupan liar.
Timbalan ketua pegawai eksekutif WRS Dr Cheng Wen Haur berkata tinjauan itu dijalankan bagi mendapatkan pemahaman lebih baik di sebalik sikap dan dorongan rakyat Singapura berkenaan pemuliharaan hidupan liar.
Berikut adalah antara dapatan utama daripada tinjauan itu:
KES-KES SOSIAL
Meskipun golongan generasi muda lebih cenderung menyokong pemuliharaan hidupan liar, tinjauan itu mendapati bahawa isu itu bukan antara tiga keprihatinan sosial utama dalam mana-mana kumpulan usia, termasuk golongan muda.
Ini adalah isu-isu sosial utama yang disokong oleh Generasi Z, Y dan X.
GENERASI Z
Keluarga berpendapatan rendah (64 peratus)
Jagaan warga emas (56 peratus)
Perubahan Iklim (54 peratus)
GENERASI Y
Keluarga berpendapatan rendah (53 peratus)
Kanak-kanak kurang bernasib baik (49 peratus)
Perubahan Iklim (49 peratus)
GENERASI X
Keluarga berpendapatan rendah (58 peratus)
Kanak-kanak kurang bernasib baik (48 peratus)
Jagaan warga emas (46 peratus)
PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR
Sekitar separuh daripada responden pula tidak pernah menyertai sebarang usaha pemuliharaan seperti menderma atau menjadi sukarelawan bagi program-program yang menyokong hidupan liar, melakukan perubahan gaya hidup atau tingkah laku yang mampan, atau menjadi seorang penyokong pemuliharaan hidupan liar.
PENGETAHUAN TENTANG HIDUPAN LIAR
Tinjauan itu juga menunjukkan masih ada ruang untuk rakyat Singapura mempelajari tentang hidupan liar.
Meskipun para responden boleh mengenal pasti jenama-jenama minuman 'bubble tea' yang popular di Singapura (70 peratus), hanya sekitar 30 peratus rakyat Singapura yang ditinjau dapat menamakan spesies hidupan liar yang berasal dari sini dengan betul.
MENGAPA PEMULIHARAAN PENTING
Dr Cheng berkata manusia meletakkan begitu banyak tekanan terhadap bumi sehingga isu-isu seperti pemuliharaan hidupan liar tidak boleh dipandang mudah lagi.
"Kita perlukan bumi yang berfungsi untuk kita terus bertahan hidup," kata Dr Cheng sambil menambah bahawa taman haiwan akan menggunakan hasil tinjauan itu sebagai pencerahan dalam amalannya mendekati orang awam.
"Bekalan air bersih, udara segar, bekalan makanan yang mencukupi, bebas daripada penyakit - semuanya memerlukan sebuah ekosistem yang berfungsi dengan baik," katanya.
Melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan hidupan liar tidak memerlukan seseorang itu mempunyai banyak wang, kata Dr Cheng. Rakyat Singapura yang berminat boleh mempertimbangkan untuk menjadi sukarelawan dengan WRS, atau menimba pengetahuan dalam bidang itu supaya mereka boleh membuat keputusan gaya hidup lebih berhemah yang akan mempunyai kesan yang kurang terhadap alam sekitar.
"Ya, tujuannya adalah memastikan sebanyak mungkin spesies dapat bertahan hidup supaya kita mempunyai sebuah ekosistem yang berfungsi, namun akhirnya, matlamatnya adalah mutu kehidupan dan penakatan kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.