Golongan kurang upaya, penjaga gesa sokongan jagaan kesihatan dan pekerjaan dipertingkat
Apabila anak lelaki Encik Phua Wee Seng yang berusia enam tahun disahkan menghidap penyakit genetik yang jarang berlaku, keluarganya hanya mempunyai tempoh beberapa minggu sahaja untuk memutuskan sama ada untuk melakukan pemindahan sel tunjang atau sebaliknya.
Seorang penjaga menolak seorang wanita berkerusi roda di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)
- Keluarga Encik Phua Wee Seng menghadapi cabaran kewangan besar untuk rawatan penyakit genetik anaknya, walaupun mendapat subsidi kerajaan Singapura.
- Pasukan bertindak pemerintah mengadakan sesi libat urus, mendapati isu utama ialah kos rawatan, pekerjaan, dan sokongan komuniti untuk golongan kurang upaya.
- Encik William Tan membantu keluarga lain menubuhkan perniagaan mesin layan diri, memberi peluang pekerjaan yang disesuaikan untuk anak kurang upaya.
- Cadangan seperti kad jagaan kesihatan dan sokongan pembiayaan permulaan diharap dapat mengurangkan beban keluarga, dengan saranan rasmi dijangka diumumkan hujung tahun ini.
Kos rawatan itu dianggarkan sekitar S$400,000. Walaupun selepas menerima subsidi pemerintah, keluarganya dimaklumkan mereka perlu mendapatkan jaminan kewangan sebanyak S$100,000 sebelum prosedur itu boleh diteruskan.
"Saya faham keperluan untuk berkongsi risiko," kata Encik Phua kepada Mediacorp.
"Tetapi apabila ada syarat yang menetapkan had tertentu semata-mata kerana terdapatnya keperluan dari segi peraturan, tanpa mengambil kira cabaran kewangan yang dihadapi keluarga serta keadaan yang mendesak untuk memulakan rawatan... saya rasa perlu ada lebih empati dan pemahaman terhadap setiap situasi."
Bagi Encik Phua, pengalaman itu menyerlahkan situasi kewangan tidak menentu yang dihadapi banyak keluarga dalam menjaga insan tersayang yang kurang upaya.
Kebimbangan tersebut turut disuarakan para peserta dalam 31 sesi libat urus yang dijalankan oleh pasukan bertindak pemerintah untuk menyokong golongan kurang upaya.
Pasukan bertindak pemerintah itu mendapati antara kebimbangan utama yang dibangkitkan golongan kurang upaya dan penjaga mereka adalah untuk mengekalkan pekerjaan, memperluaskan khidmat jagaan kesihatan dan sokongan masyarakat, serta mengurangkan perbelanjaan sendiri bagi keperluan berkaitan ketidakupayaan.
SOKONGAN PENJAGAAN KESIHATAN YANG LEBIH BAIK
Encik Phua, yang juga pengarah eksekutif Rare Disorders Society Singapore, berkata situasi kewangan yang tidak terjamin merupakan antara kebimbangan utama bagi kira-kira 280 keluarga yang disokong badan amal tersebut.
Walaupun MediShield Hayat menyediakan perlindungan asas sejagat, banyak keluarga turut mendapatkan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu swasta bagi mengurangkan perbelanjaan sendiri untuk penyakit-penyakit yang serius.
Namun, menurut Encik Phua, ada kanak-kanak yang menghidap penyakit yang jarang berlaku didiagnosis di tengah-tengah tempoh menunggu bagi perlindungan insurans atau didapati tidak layak kerana mempunyai penyakit sedia ada.
Beliau juga berharap agar keluarga-keluarga yang sedang berdepan dengan keadaan kesihatan yang rumit dapat menikmati penyelarasan penjagaan yang lebih baik.
Bagi banyak keluarga, beban kewangan tidak terhad kepada kos rawatan di hospital.
Menghidap penyakit neurologi yang jarang berlaku, kencing manis dan pernah menjalani amputasi, Sheldon Humphries, 56 tahun, berkata perbelanjaan terbesar yang ditanggungnya selalunya melibatkan keperluan harian, bukan bil hospital. Barangan asas seperti lampin dan bekalan bagi tujuan pembersihan menelan belanja sekitar S$200 setiap bulan.
Walaupun badan amal dan skim bantuan menyediakan sedikit sokongan, kebanyakannya bersifat sementara atau tertakluk kepada semakan berkala.
"Ia agak mencabar... (ada kalanya) bantuan kewangan dikurangkan kerana anda mempunyai pekerjaan sementara. Tetapi walaupun mempunyai pekerjaan sementara, ia masih tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan," kata beliau kepada Mediacorp.
Encik Humphries turut berkata sokongan kesihatan mental perlu dipertingkatkan bagi golongan kurang upaya, yang sering berdepan tekanan emosi dan psikologi tambahan dalam menguruskan keadaan kesihatan sepanjang hayat.
"Akses kepada sokongan kesihatan mental sangat terhad," kata beliau.
"Selalunya kami (dirujuk) ke Institut Kesihatan Mental (IMH), sedangkan kami tidak mahu berdepan stigma itu hanya kerana kami sedang melalui tempoh yang sukar. Ada kalanya, kami hanya memerlukan sokongan pada ketika itu, dan akses kepada pelbagai rakan kerjasama atau penyedia khidmat yang boleh membantu meningkatkan mutu kehidupan kami," tambah beliau.
Antara idea yang dibincangkan semasa sesi libat urus pasukan bertindak itu termasuk usaha memperkenalkan kad jagaan kesihatan bagi golongan kurang upaya, seumpama Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
Encik Humphries berkata skim sedemikian boleh membantu dengan menyediakan lebih banyak subsidi bagi keperluan-keperluan jagaan kesihatan harian, termasuk lawatan ke doktor keluarga dan untuk mendapatkan sokongan bagi kesihatan mental, sekali gus memudahkan golongan tersebut mendapatkan rawatan sebelum keadaan mereka menjadi lebih serius.
PENGAMBILAN PEKERJA YANG LEBIH INKLUSIF
Pekerjaan turut menjadi antara isu utama yang dibangkitkan semasa sesi perundingan tersebut, dengan para majikan dan penjaga sama-sama menggesa agar sokongan diperkukuhkan bagi membantu golongan kurang upaya membina kerjaya yang bermakna dan mampan.
Perniagaan warisan Kim Choo Kueh Chang mula mengambil pekerja secara inklusif pada 2009 selepas berdepan kekurangan tenaga kerja. Kini, syarikat itu menggajikan para pekerja kurang upaya di bahagian pengeluaran dan operasi runcitnya.
Pemilik syarikat itu, Edmond Wong, berkata beliau percaya majikan memerlukan lebih banyak sokongan untuk memperluaskan pengambilan pekerja secara inklusif. Antara cadangannya termasuk menempatkan jurulatih pekerjaan yang dikongsi bersama dalam kelompok perusahaan kecil dan sederhana (SME).
"Seorang jurulatih boleh menyelia seluruh kawasan. (Ini) dapat menjimatkan banyak sumber dan mungkin juga membolehkan agensi-agensi kami menawarkan pakej pekerjaan yang lebih baik kepada kakitangan mereka sendiri kerana jumlahnya lebih besar," kata beliau.
Keluarga-keluarga turut berpandangan bahawa peluang pekerjaan yang bermakna tidak seharusnya terhad kepada peranan vokasional yang tradisional.
Konsultan pendidikan William Tan membuat kesimpulan tersebut ketika merancang masa depan anak lelakinya yang mengalami autisme. Anaknya pernah mencuba beberapa pekerjaan seperti menghantar surat khabar, menyusun barangan di pasar raya dan berkebun, namun tiada satu pun yang benar-benar sesuai dengannya.
Lantaran itu, Encik Tan mempelajari cara untuk mengendalikan perniagaan mesin layan diri dan mewujudkan peranan yang disesuaikan dengan kekuatan anaknya, iaitu menyusun barangan. Tugas tersebut melibatkan pengisian semula dan penyusunan produk di dalam mesin, dengan interaksi yang minimum dengan pelanggan.
"Kalau kedai tidak mahu menggajikannya, saya perlu mewujudkan sebuah kedai untuknya... supaya dia dapat mengendalikan perniagaannya sendiri," kata beliau, sambil menambah bahawa pekerjaan yang diminati itu memberikan anaknya tujuan hidup dan semangat kekitaan yang lebih tinggi.
"Para penduduk kini tidak lagi melihatnya sebagai seseorang yang mempunyai keperluan khas. Mereka melihatnya sebagai seseorang yang boleh menyediakan khidmat. Mereka melayannya secara berbeza, memberi galakan kepadanya, dan keyakinan dirinya juga semakin meningkat."
Didorong hasil yang memberangsangkan itu, Encik Tan kini mengendalikan sebuah program yang membantu keluarga lain untuk memulakan perniagaan yang serupa.
Keluarga yang menyertainya membayar sebanyak S$3,900 bagi mendapatkan latihan selama enam bulan, selain sokongan untuk menubuhkan perniagaan, diikuti dengan enam bulan penyewaan mesin layan diri serta bimbingan operasi.
Mesin-mesin tersebut kebanyakannya menjual makanan ringan dan minuman, dengan setiap keluarga menentukan sendiri produk-produk yang ingin dijual serta sumber bekalannya. Golongan kurang upaya diberi tanggungjawab untuk mengisi semula dan menyusun produk, manakala para penjaga pula menguruskan tugas seperti mendapatkan pembekal, lokasi dan mengendalikan perniagaan.
Pada akhir program tersebut, mereka boleh memilih untuk membeli mesin tersebut dan meneruskan operasi secara berdikari, atau memulangkannya jika perniagaan itu didapati tidak bersesuaian dengan keperluan mereka.
Setakat ini, Encik Tan sudah membantu sebanyak lima keluarga menubuhkan perniagaan mesin layan diri di seluruh Singapura, dengan lebih banyak lagi dirancang.
Inisiatif itu bekerjasama dengan beberapa pertubuhan termasuk kelab masyarakat, gereja dan CapitaLand, yang menyediakan lokasi bersubsidi kepada keluarga-keluarga yang mengambil bahagian.
Namun, menurut Encik Tan, kadar sewa premis komersial yang tinggi serta modal permulaan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan masih menjadi cabaran utama.
Beliau berharap lebih banyak pembiayaan permulaan dan bimbingan perniagaan dapat disediakan bagi membantu keluarga-keluarga membangunkan perniagaan mikro yang mampan buat insan tersayang yang kurang upaya.
Pasukan bertindak pemerintah itu dijangka mengumumkan saranannya menjelang akhir tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.