Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan bujang tidak boleh beli flat lokasi utama buat masa ini tapi model akan dipertingkat

Meskipun golongan bujang tidak boleh membeli flat di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH), pihak berkuasa "tidak mengambil langkah ke belakang" dalam dasar perumahan mereka bagi golongan itu, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee hari ini (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan bujang tidak boleh beli flat lokasi utama buat masa ini tapi model akan dipertingkat

Gambar: Calvin Oh

Diterbitkan : 29 Oct 2021 03:40PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 03:42PM

SINGAPURA: Meskipun golongan bujang tidak boleh membeli flat di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH), pihak berkuasa "tidak mengambil langkah ke belakang" dalam dasar perumahan mereka bagi golongan itu, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee hari ini (29 Okt).

Sebaliknya, memandangkan model itu masih baru, pihak berkuasa mahu terlebih dahulu meniliai kesannya dan menimba pengalaman melaluinya, di samping membuat penyesuaian, kata Encik Lee.

Berucap di Sidang Dasar Ekonomi Singapura, Encik Lee menjawab keprihatan yang disuarakan sejak model baru itu didedahkan pada Rabu (27 Okt), termasuk pengecualian golongan bujang daripada kalangan pembeli yang layak.

Di bawah model itu, golongan bujang tidak dibenarkan membeli flat-flat PLH meskipun mereka berusia 35 tahun dan ke atas. Ini berbanding peraturan sekarang ini yang tidak meletakkan sebarang sekatan ke atas golongan bujang yang membeli flat jualan semula sebaik mencecah usia 35 tahun.

"(Sekatan) itu hasil daripada kriteria BTO kita, yang buat masa ini membolehkan golongan bujang untuk membeli flat baru dua bilik di estet bukan matang," kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa memahami keprihatinan golongan tersebut.

"Sesetengah rakyat Singapura kekal bujang atas pelbagai sebab, termasuk tanggungjawab kepada keluarga dan ibu bapa ataupun disebabkan pilihan peribadi atau disebabkan perjalanan hidup - tetapi ramai yang masih mahu dan perlu tempat tinggal sendiri".

"Mereka mungkin berfikir sama ada kami prihatin kepada keperluan perumahan mereka. Kepada rakyat Singapura sedemikian, mari saya beri jaminan kepada anda: Kami prihatin. Kami maklum tentang keperluan anda, aspirasi anda dan pengorbanan anda," kata beliau.

Tambahnya, sebab itulah pihak berkuasa meluaskan lagi pilihan perumahan dan geran bagi golongan bujang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dan kami tidak mengambil langkah ke belakang dalam hal ini. Model perumahan awam lokasi utama masih baru, belum diuji di pasaran...dan kami tidak akan melancarkan banyak flat PLH pada awalnya.

"Oleh itu, buat masa ini, kami mengutamakan mereka dari keluarga lebih besar yang mungkin memerlukan lebih banyak ruang bagi anggota keluarga mereka."

Buat masa ini, golongan bujang masih boleh terus membeli flat jualan semula, termasuk di kebanyakan kawasan utama, kata beliau.

"Bolehkan kami melancarkan program dan dasar ini, menilai kesan langkah-langkah sedia ada dalam mencapai tujuan kami, menimba pengalaman mengendalikan model itu - sedang kami membuat penyesuaian di samping mengambil kira demografi Singapura dan aspirasi rakyat Singapura yang berubah-ubah," kata beliau.

MENGAPA SEKATAN DIKENAKAN?

Encik Lee juga menarik perhatian sekatan kelayakan bagi penjualan semula flat-flat itu "menjadi topik perbahasan hangat" yang dihadapi pihak berkuasa sewaktu mendampingi orang ramai sebelum ini.

"(Orang ramai) bertanya: Mengapa kita mengecualikan sesetengah kumpulan orang daripada flat-flat di lokasi utama meskipun untuk penjualan semula, jika tujuan kita adalah untuk menjadikan lokasi utama bersifat inklusif?
"Mari saya terangkan: Ia bukan niat kita untuk mengecualikan sesiapa daripada lokasi-lokasi utama," kata beliau.

Tetapi tanpa campur tangan, harga flat jualan semula juga kemungkinan besar tidak boleh dimampui kebanyakan rakyat Singapura, lantas mengecualikan mereka, kata Encik Lee.

Pihak berkuasa bersetuju menggunakan semula kriteria kelayakan Bina-Ikut-Tempahan (BTO) sebagai "syarat ujian kemampuan yang objektif yang rakyat Singapura sudah biasa".

Ia juga meliputi jenis meluas keluarga - misalnya had pendapatan S$14,000 merangkumi lebih 8 daripada 10 keluarga penduduk.

"Masih akan terdapat keluarga yang berpendapat lebih tinggi yang tidak layak. Tetapi mereka sepatutnya mampu membeli pilihan perumahan lain di kawasan lokasi utama, seperti flat-flat HDB jualan semula atau perumahan privet."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan