Skip to main content

Singapura

Golongan bujang boleh mohon flat baharu HDB di semua lokasi

Anggaran Waktu Membaca:
 Golongan bujang boleh mohon flat baharu HDB di semua lokasi

Gambar fail flat HDB. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 21 Aug 2023 12:25AM Dikemas Kini : 21 Aug 2023 12:56AM
SINGAPURA: Golongan bujang berusia sekurang-kurangnya 35 tahun tidak lama lagi boleh memohon untuk membeli flat baharu dua bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di mana-mana lokasi.

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada Ahad (20 Ogos).

Buat masa ini, golongan itu hanya boleh memohon bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet belum matang, yang lazimnya terletak jauh dari pusat bandar.

Mulai separuh kedua 2024, HDB tidak lagi menggunakan kategori matang dan belum matang bagi estet-estet perumahan. Sebaliknya, flat yang akan dilancarkan kelak diletakkan di bawah rang kerja perumahan baharu Standard, Plus atau Perdana bergantung kepada lokasi dan ciri-cirinya.

Perubahan kepada klasifikasi itu tidak tertakluk kepada flat-flat sedia ada atau yang sudah dilancarkan.

Sebahagian besar flat HDB adalah flat Standard dengan subsidi dan sekatan sedia ada, termasuk tempoh penginapan minimum lima tahun.

Flat Plus pula, terletak di "lokasi-lokasi pilihan" seperti berhampiran stesen MRT. Ia akan diberikan lebih banyak subsidi dan sekatan yang lebih ketat berbanding flat BTO Standard. Ini termasuk tempoh minimum penginapan lebih panjang selama 10 tahun sebelum penjual boleh menjual flat mereka di pasaran terbuka. Pemerintah juga akan mengenakan syarat jualan semula lebih ketat bagi memastikan ia mampu dimiliki pembeli jualan semula masa hadapan selain mengekalkan campuran sosial yang lebih baik dalam jangka panjang.

Flat Perdana juga dikenakan sekatan sama seperti projek Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH), yang diperkenalkan pada November 2021. Ini termasuk tempoh penginapan minimum 10 tahun dan subsidi yang perlu dibayar balik sekiranya flat dijual semula.

Selain itu, pemilik flat Perdana hanya boleh menjual flat mereka pada masa hadapan kepada pemilik yang memenuhi kriteria kelayakan BTO seperti had pendapatan sedia ada.
Apabila klasifikasi baharu itu dilancarkan, golongan bujang boleh memohon bagi flat BTO dalam mana-mana kategori - Standard, Plus atau Perdana.

Perubahan kepada perumahan awam itu diumumkan PM Lee, yang berkata lebih banyak rakyat Singapura memilih untuk terus membujang dan memiliki rumah sendiri.

PERUBAHAN BAGI ORANG BUJANG YANG BELI FLAT JUALAN SEMULA

Buat masa ini, golongan bujang tidak dibenarkan membeli flat PLH, meskipun dalam pasaran jualan semula. Namun dengan perubahan yang akan dilaksanakan, mereka boleh membeli flat jualan semula dua bilik Flexi Perdana atau flat jualan semula Standard atau Plus tidak kira saiznya.

"Saya pasti golongan bujang mengalu-alukan langkah ini untuk mempunyai lebih banyak pilihan mencari rumah sendiri dan melakar jalan cerita anda sendiri dalam kisah perumahan Singapura," ujar PM Lee.

Ini merupakan langkah terkini dalam beberapa siri perubahan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu untuk meluaskan pilihan perumahan awam bagi golongan bujang.

Sejak 1991, golongan bujang berusia 35 tahun dan ke atas boleh membeli flat HDB dalam pasaran terbuka. Pada mulanya, mereka terbatas hanya kepada flat tiga bilik atau lebih kecil di lokasi tertentu. Namun ia kemudian diluaskan kepada flat jualan semula tidak kira saiz di mana-mana lokasi.

Sekalipun demikian, mereka masih tidak dibenarkan membeli flat baharu HDB sehingga 2013, apabila golongan bujang dibenarkan memohon bagi flat dua bilik HDB di estet belum matang.

Perubahan akan datang ini akan memenuhi keinginan golongan bujang yang mahu memilih flat di estet matang untuk berada lebih dekat dengan ibu bapa mereka.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita