Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan belia: Lebih banyak perlu dilakukan untuk pupuk keharmonian kaum di S'pura

Ini termasuk bersikap proaktif dalam mengenali dan memahami budaya serta agama kaum lain agar perpaduan kaum tidak hanya nampak harmoni pada luaran sahaja. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perpaduan kaum yang hanya pada permukaan dan masih lagi dibayangi sindiran berbaur perkauman. Insiden sedemikian seolah-olah lumrah sehinggakan individu yang terkesan enggan bersuara menolaknya.

Itulah antara yang dibincangkan para belia berbilang kaum yang merupakan pelajar dan alumni madrasah dan sekolah-sekolah Program Bantuan Khas (SAP), semasa mengupas manfaat dan cabaran hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura.

Sesi dialog anjuran Humanity Matters itu diadakan sempena memperingati ulang tahun ke-20 peristiwa serangan 11 September di Amerika Syarikat.

Sebelum sesi tersebut, para belia sempat bertafakur selama seminit bagi memperingati peristiwa serangan pengganas yang mencetuskan perubahan besar terhadap landskap keselamatan serta kehidupan berbilang kaum dan agama di seluruh dunia.

PERLU LEBIH TERLIBAT DALAM ACARA KEAGAMAAN DAN BUDAYA KAUM LAIN

Mereka turut diajak memikirkan cara untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi.

Mereka kemudian menyarankan bahawa selain memperuntuk lebih banyak masa dalam kurikulum pendidikan untuk mempelajari tentang kaum dan agama lain, golongan muda juga perlu lebih terlibat dalam acara-acara keagamaan dan budaya kaum lain bagi memupuk kefahaman lebih mendalam.

Salah seorang peserta Noor Fithriah Mohd Hashim, 17 tahun dari Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah berpendapat sesi sebegitu memberi peluang baginya untuk mendengar pandangan-pandangan individu dari kaum dan agama yang berbeza daripadanya.

"Saya dapat tahu tentang pendapat-pendapat orang-orang yang terutama sekali bukan dari madrasah, bukan Islam, bukan Melayu dan ia adalah sesuatu perkara yang sangat menarik bagi saya kerana selama ini saya tidak dapat menyertai dalam perbincangan intelektual yang tidak melibatkan orang Islam/Melayu sahaja jadi perspektif-perspektif yang berlainan adalah satu perkara yang sangat menarik bagi saya," kongsi Noor Fithriah.

Bagi Danry Lim Wei Huang, seorang mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang berusia 25 tahun, ruang selamat sedemikian yang membolehkan golongan belia membincangkan perkara-perkara yang penting dalam dunia hari ini adalah sesuatu yang membuka matanya.

"Saya terharu dan ia membuka mata saya melihat terdapat mereka yang mempunyai pemikiran serupa, terutama golongan muda yang bersedia untuk menjadikan Singapura tempat yang lebih baik dari segi sebuah masyarakat yang berbilang kaum," kata Danry.

Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua turut menyertai sesi tersebut.

Beliau menekankan betapa sesi sedemikian penting bagi menyediakan ruang selamat untuk para belia. Ketika serangan 11 September berlaku, mereka mungkin terlalu kecil untuk mengetahui signifikannya, kata beliau.

"Saya fikir pertahanan terbaik adalah cara berbilang kaum kita sendiri, memahami bagaimana ia dilakukan di Singapura, memahami bahawa setiap kaum dan agama, terdapat satu tahap bertolak-ansur.

"Dan di mana kita bercakap tentang konsep hidangan rojak di mana setiap kumpulan membawa perisanya dan ciri-cirinya tersendiri. Dengan cara itulah kita dapat hidup bersama dan dengan cara itu kita membuat kemajuan sebagai rakyat yang bersatu," kata Encik Chua.

Sejajar dengan itu, para belia turut menyertai satu lawatan berpandu ke lapan rumah ibadat termasuk masjid, gereja dan kuil.

Antara tempat-tempat ibadat yang dilawati termasuk Kuil Hindu Sri Krishnan, Kuil Buddha Kwan In Thong Hood Cho, Gereja St Andrew's serta Masjid Bencoolen. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan