Golongan belia digesa manfaatkan peluang luar negara untuk sumbang kepada ekonomi SG: Dr Maliki
SINGAPURA: Golongan belia perlu lebih memahami potensi diri mereka dan memanfaatkan peluang yang semakin meluas untuk mencapai kejayaan, baik di dalam mahupun di luar negara.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman menegaskan demikian di sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan yang dianjurkan bersama Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) dan M³ pada Ahad (8 Sep).
Sesi dialog yang diadakan di Kelab Masyarakat Siglap itu antara lain membincangkan topik-topik penting mengenai daya saing individu di tempat kerja dan sistem pendidikan secara mendalam.
Acara dua jam itu dihadiri oleh kira-kira 100 belia serta pemimpin masyarakat Melayu/Islam.
Anggota panel AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan AP GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha turut memberikan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa.
Salah satu isu utama yang dibincangkan ialah peluang pekerjaan di luar negara dan bagaimana golongan muda Singapura boleh memanfaatkan peluang tersebut untuk memajukan kerjaya mereka.
"Jika kita lihat apa yang sudah dilakarkan pemerintah, untuk memastikan belia kita melihat suasana luar sana sebagai suasana luas untuk berjaya. Ini cara kita untuk melihat bagaimana untuk mengubah sistem pendidikan kita di mana para belia harus memahami bukan sahaja mereka sebagai individu yang boleh menyumbang tetapi individu yang ada kekuatan masing-masing.
"Mereka juga membuka minda bahawa keupayaan dan peluang ekonomi masa depan bukan terhad kepada SG sahaja, kita akan membuka ekonomi dan di sini peluang ada untuk mereka untuk menyerantau dan melihat apa yang ada di luar sana. Ramai yang akur mereka ingin peluang untuk ke negara jiran tetangga dan menyumbang kepada ekonomi Singapura menerusi penglibatan mereka dalam ekonomi negara-negara lain.," kata Dr Maliki kepada BERITA Mediacorp.
Selain isu pekerjaan, para peserta juga mendapat penjelasan tentang isu-isu kekeluargaan dan kepentingan perpaduan sosial dalam negara.
Salah seorang peserta sesi dialog itu, Enck Muhammad Nizam Osman, 27 tahun berkata: "Perkara penting yang saya dapat daripada dialog ini adalah lebih kepada perihal keluarga, untuk masyarakat muda yang sudah berumahtangga dan diberikan Cuti Ibu Bapa Dipertingkat untuk meluaskan masa mereka bersama anak-anak mereka, mengembangkan ekonomi dan meningkatkan masa depan Singapura."
"Saya memahami kepentingan kompak sosial dan untuk mempertimbangkan keperluan majikan dan pekerja. Kita dapat memahami pandangan berbeza dan kita haruskan fikirkan jalan di mana pemerintah boleh menyokong dan kita boleh membuat yang terbaik," kata salah seorang lagi peserta, Cik Maria Zahid.
"Sesi dialog pasca NDR itu Siglap merupakan yang pertama yang dianjurkan oleh PA MESRA dan M³.
Sesi kedua akan berlangsung di Wisma Geylang Serai pada Khamis, 12 September, dan akan dipimpin oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Anggota Parlimen Encik Saktiandi Supaat dan Cik Mariam Jaafar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.