Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan belia digalak rebut peluang tingkatkan kemahiran, raih manfaat skim Belanjawan 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan belia digalak rebut peluang tingkatkan kemahiran, raih manfaat skim Belanjawan 2024

Golongan belia digalak rebut peluang tingkatkan kemahiran, raih manfaat skim Belanjawan 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Peluang pekerjaan untuk golongan belia, SkillsFuture dan Anugerah Kemajuan ITE menjadi antara topik hangat yang dibincangkan dalam Dialog Pasca Belanjawan M³ anjuran Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) pada Khamis malam (7 Mac).

Sesi pertama yang diadakan di Wisma Geylang Serai itu dikendalikan para panel yang terdiri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman serta para Anggota Parlimen Sharael Taha dan Zhulkarnain Abdul Rahim.

Berhubung peluang pekerjaan untuk golongan belia, Encik Sharael menggalak para belia untuk mengenal pasti skim-skim yang ada untuk mereka tingkatkan kemahiran serta mendapatkan pekerjaan di industri-industri yang berkembang.

"Walaupun ada ketidaktentuan di dunia ini apalagi dengan konflik-konflik yang berada di negara-negara lain, terdapat banyak peluang untuk kita mencari dan mendapatkan kemahiran. Belanjawan 2024 memberi tumpuan kepada keperluan masa kini dan juga keperluan dalam jangka pertengahan dan jangka yang panjang dan ia memberi tumpuan untuk membina keupayaan kita supaya ekonomi kita akan terus membangun.

Apa yang penting untuk belia-belia kita mengenal pasti peluang-peluang ini dan menggunakan skim-skim yang ada untuk meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan di industri-industri yang sedang berkembang," kongsi Encik Sharael kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

BELIA DIGALAK CARI PELUANG PEKERJAAN DALAM INDUSTRI BERKEMBANG SEPERTI TEKNOLOGI

Selain itu, keprihatinan tentang kadar inflasi yang tinggi, memupuk masyarakat yang lebih inklusif serta cara untuk mempertingkatkan kemahiran turut diketengahkan.

"Dengan teknologi yang ada kini seperti teknologi kecerdasan buatan, data dan keselamatan siber, ini menjadi peluang baharu untuk belia-belia kita meningkatkan kemahiran mereka supaya mendapat pekerjaan dalam industri-industri ini. Pekerjaan-pekerjaan yang menggunakan kemahiran seperti yang dikatakan tadi adalah pekerjaan baharu yang masih belum lagi ada persaingan dan ini menjadi peluang untuk belia-belia kita untuk cuba mencari pekerjaan dalam industri ini," kata Encik Sharael.

Yang penting tambah beliau adalah bagaimana golongan belia dapat kenal pasti minat mereka dan menyesuaikannya dengan pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan hari ini.

PERLU PERBAIKI DIRI, BERSAING DENGAN PASARAN BURUH GLOBAL

Mengenai kadar inflasi serta persaingan yang sengit pula, Encik Sharael berkongsi bahawa ia merupakan isu-isu yang "wujud", yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia, bukan sahaja di Singapura.

"Untuk mengatasi inflasi dan persaingan sengit, yang penting sekali belia-belia kita meningkatkan kemahiran mereka dalam kemahiran yang diperlukan dalam industri-industri yang berkembang. Selain daripada itu, mereka juga perlu menerapkan minda terus memperbaiki diri. Bagaimana mereka boleh memperbaik diri dan mencari cara untuk memanfaatkan peluang-peluang yang ada." ujar Encik Sharael.

"Kita bukan sahaja bersaing dalam Singapura sahaja, malah kerana Singapura kecil, kita bersaing di seluruh dunia untuk mendapatkan pelaburan dan juga pekerjaan yang terbaik untuk pekerja-pekerja kita. Dengan itu, untuk belia-belia kita, mereka harus mempersiapkan diri untuk bersaing dengan pekerja-pekerja di seluruh dunia dan mereka perlu mencari peluang-peluang terutama sekali di industri-industri yang berkembang supaya mereka akan terus mendapat pekerjaan yang baik," tambahnya.

ANUGERAH KEMAJUAN ITE DIALU-ALUKAN PESERTA

Sekitar 70 peserta hadir untuk sesi dialog itu termasuk para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IHL), pemimpin masyarakat, relawan akar umbi dan pertubuhan-pertubahan Melayu/Islam.

Antaranya ialah Mohammad Shiddiq Johar, 24 tahun.

Beliau amat mengalu-alukan Anugerah Kemajuan ITE yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini.

"Saya ada ramai rakan dan saya juga membuat banyak kerja-kerja sukarelawan untuk budak-budak yang tinggal dalam isi rumah yang kurang berkemampuan. Jadi skim ini pada saya memang bagus, jadi mereka ada permulaan," kongsi Shiddiq, yang juga merupakan bendahari bagi MAEC Bedok.

Di bawah skim ini, para graduan ITE juga akan mendapat tokokan CPF sebanyak S$10,000.

"Jadi daripada ini, CPF mereka akan bertambah dan ini melebihi apa yang zaman saya dapat raih sebelum ini jadi saya rasa ini satu skim yang baik untuk pelajar ITE dan saya boleh menyebarkannya kepada para pelajar dan ibu bapa yang risau tentang ini," tambahnya.

Dialog sebegini juga menurutnya amat penting untuk golongan belia.

"Saya rasa mereka boleh datang mendengar dan juga berbicara dengan menteri-menteri, untuk (berkongsi) pelbagai kerisauan yang ada di minda mereka, bukan sahaja tentang dasar-dasar Singapura malah juga tentang sokongan-sokongan yang sudah ada dalam sistem pemerintah," kongsinya lagi.

DIALOG BERMANFAAT UNTUK GOLONGAN BELIA

Manfaat dialog sebegitu juga turut diraih oleh seorang lagi peserta, Iylia Shukor, 29 tahun.

"Ia telah memberi saya pemahaman tentang apa yang pemerintah adakan untuk remaja kita seperti apa yang ditanyakan tadi tentang tumpuan pemerintah untuk generasi kita," kongsi Iylia, yang merupakan Bendahari MAEC Marine Parade.

Beliau juga berpendapat bahawa dialog sebegini dapat mempersiapkan generasinya untuk masa hadapan.

Antara yang menonjol baginya ialah Program Peningkatan SkillsFuture yang beliau amat alu-alukan dalam Belanjawan kali ini.

"Zaman sekarang, teknologi sudah maju dengan pantas dan kerana itu, jika kita tidak sepantas teknologi, kita akan rugi sebagai satu masyarakat, lebih-lebih lagi di negara yang memberi tumpuan kepada teknologi," ujar Iylia.

Lagi satu dialog akan diadakan pada Ahad (10 Mac) nanti.

Lebih 300 peserta yang terdiri daripada relawan M3@Bandar, relawan akar umbi, pemimpin agama dan masyarakat serta para belia Melayu/Islam dijangka mengambil bahagian dalam kedua-dua sesi itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan