Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan bapa pelajari cara untuk main peranan lebih aktif dalam pendidikan anak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan bapa perlu memainkan peranan aktif dalam proses pembesaran anak-anak, lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang sentiasa berubah. 

Demikian ditekankan oleh Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman semasa menyampaikan ucapannya di acara Forum Bapa mengenai Pendidikan pagi tadi (18 Sep). 

Acara tersebut dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH) sempena Bulan Kebapaan. 

A, B, C DALAM KEIBUBAPAAN DAN PROSES MEMBESARKAN ANAK-ANAK

Dalam ucapannya, Dr Maliki membentangkan 'A, B, C' dalam proses keibubapaan kepada lebih 80 peserta yang hadir. 

Dr Maliki berkata: "A adalah untuk Bapa yang Aktif. Dalam dunia moden yang dipenuhi dengan internet dan media sosial, anak-anak muda didedahkan kepada pelbagai rangkaian maklumat dan anasir-anasir, dan ini menjadikan proses membesarkan anak-anak lebih kompleks. 

Beliau memberi contoh tentang risiko pembulian siber serta risiko anak-anak menyaksikan kandungan-kandungan yang tidak menyenangkan secara online yang makin berleluasa. 

"Sebagai seorang bapa, kita perlu secara aktif mendampingi anak-anak kita dari awal lagi agar dapat membantu mereka mengemudi dalam dunia yang luas dan sentiasa berubah ini." 

"Menjadi bapa yang aktif bermakna kita mesti sentiasa berjaga-jaga dengan kandungan yang didedahkan kepada anak-anak kita dan kita perlu mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam bahaya. Kita perlu berusaha untuk menjadi sebahagian dalam kehidupan anak-anak kita sedang mereka membesar dan menjadi matang," jelas Dr Maliki. 

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

Bagi huruf 'B' (Balanced Parenting Roles) pula, beliau menekankan tentang keseimbangan dalam peranan ibu bapa. 

Dr Maliki menarik perhatian kepada Kertas Putih yang dibentangkan Pemerintah pada Mac lalu tentang Pembangunan Wanita dan bagaimana ia menekankan aspirasi negara untuk mencapai kesaksamaan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat yang inklusif dan adil. 

Beliau menjelaskan bahawa golongan ibu boleh menyediakan keperluan kewangan keluarga dan membina kerjaya mereka sendiri jika mahu dan golongan bapa juga boleh memainkan peranan lebih besar dalam mengasuh anak-anak seandainya itu menjadi pilihan mereka. 

"Adalah menyenangkan untuk melihat lebih ramai bapa-bapa muda yang lebih suka duduk di rumah dan selesa membuat kerja rumah dan memberi anak mereka makan di tempat awam," kata Dr Maliki. 

"Proses membesarkan anak-anak adalah dan patut menjadi satu usaha berpasukan. Kepada warga lelaki yang hadir hari ini, saya galakkan anda untuk menjadi pasangan yang lebih aktif dan saksama kepada isteri anda. Kedua-dua bapa dan ibu boleh saling melengkapi dalam kehidupan dan proses membesar anak-anak mereka," tambah beliau. 

Ini membawa kepada faktor seterusnya iaitu 'C' (Community of Parents). 

Beliau menegaskan peri pentingnya mempunyai sebuah masyarakat ibu bapa yang kukuh dan dapat bekerjasama bagi mewujudkan generasi anak-anak muda yang sihat dan bahagia. 

"Keluarga akan terus menjadi institusi penting dan fabrik sosial kita. Kita akan terus berusaha untuk memperkukuhkan ikatan keluarga dan memastikan bahawa anak-anak kita akan membesar menjadi dewasa yang yakin dan berdaya bingkas," kata Dr Maliki. 

BAGAIMANA UNTUK PASTIKAN ANAK-ANAK BERJAYA DALAM PEMBELAJARAN?

Selama hampir tiga jam, forum itu membincangkan beberapa strategi untuk membangunkan anak-anak yang berjaya dalam pembelajaran, peranan bapa dalam kehidupan anak-anak serta tanggungjawab bapa dalam mengawal penggunaan media sosial oleh anak-anak mereka. 

Panel forum itu dianggotai Timbalan Mufti Dr Hannan Hassan, pakar psikologi klinikal Encik Md Haikal Jamil, pendidik Jailani Abu Talib dan penggiat media sosial Sofian Rosla.  

Forum tersebut bertujuan untuk memberikan penekanan terhadap peri penting pelibatan secara berkesan golongan bapa dalam pendidikan anak-anak mereka. 

Encik Mustaffa Osman, relawan dan pembimbing bersekutu Bapa Sepanjang Hayat berkata: "Kami cuba menekankan kepentingan bapa perlu dalam peningkatan pendidikan anak-anak. Bukan sahaja membiayai dari segi kewangan tetapi dalam kehadiran mereka, bagaimana mereka dapat memupuk sifat ingin tahu." 

"Sering kali kita kaum bapa, mungkin bukan semua tetapi kebanyakan  merasakan pendidikan ini adalah satu yang lumrah dan tidak perlu untuk saya lebih melibatkan diri."

Menurut Encik Mustaffa, pendekatan untuk meningkatkan jurang pendidikan pada masa sekarang agak ketara. 

"Anak-anak kita lebih terdedah pada media sosial dan juga anasir-anasir lain. Jadi bagaimana bapa dapat mempertingkatkan kesedaran dalam melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak," ujar Encik Mustaffa.  

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

Lebih 80 hadirin, sebahagian besarnya golongan bapa, menghadiri forum itu di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (ILL). 

Para peserta yang ditemui juga gembira dapat meluangkan pagi Ahad mereka untuk belajar dan dapat tip untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya.

"Untuk saya ada perkongsian dari Dr Maliki mengenai meluangkan masa berkualiti. Beliau berkongsi meski sibuk dengan peranan masing-masing, kita perlu mencari masa yang berkualiti," kata salah seorang peserta, Encik Md Ridwan Sarmidi

"Misalnya, Dr Maliki meluangkan masa setiap pagi untuk menghantar anaknya dan menggunakan masa tersebut untuk mengambil tahu tentang kerja atau sekolah dan itulah antara tip yang saya boleh amalkan," tambah beliau. 

Rakannya, Encik Abdussalam Muhamad Ekhsan pula berkata: "Forum itu memberikan manfaat untuk kita semua, bapa muda di mana dengan cabaran semasa dan media sosial, anak-anak kita terdedah dengan pelbagai cabaran." 

"Kita sebagai bapa boleh membantu dan menyokong anak-anak kita dari segi emosi dan memberikan pendidikan yang baik dan memberikan masa untuk mereka," tambah beliau.

PAMERAN STEM UNTUK IBU BAPA TINJAU MINAT ANAK-ANAK MEREKA

Selain perkongsian mengenai peranan bapa dalam pendidikan anak-anak, Forum Bapa mengenai Pendidikan juga menampilkan pameran Teknologi, Kejuruteraan, Sains, Matematik (STEM). 

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

Di pameran itu, para ibu bapa berpeluang untuk memahami apakah antara bidang yang diminati anak-anak mereka, menerusi 15 penawar khidmat.

Antara pameran yang disenaraikan termasuk kegiatan bapa dengan anak untuk membina dan menguji kereta lumba serta penggunaan cetakan 3D dan pena 3D. 

Antara peserta yang mengunjungi pameran tersebut, Encik Fakhirin Mohd Noor berkata: "Pameran ini sangat informatif untuk anak-anak saya. Kita pun tidak selalu keluar sangat, jadi kita lihat di sini ada khidmat seperti akademi bola sepak, simulasi kapal terbang. Jadi agak menghiburkan untuk mereka mempelajari perkara-perkara ini." 

"Pameran sebegini bagus sebab kita pun ingin tahu kegiatan-kegiatan yang tersedia di Singapura, jadi selain daripada subjek-subjek seperti Matematik atau bahasa Inggeris, kita boleh mencari kegiatan untuk membangunkan anak-anak kita untuk masa depan," kata Encik Fakhirin. 

Selain acara ini, Bapa Sepanjang Hayat juga menganjurkan banyak lagi kegiatan sempena Bulan Kebapaan termasuk sesi berjalan bersama golongan bapa di kawasan Esplanade yang akan diadakan pada Ahad depan (25 Sep). 

(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan