Skip to main content

Singapura

Golongan asatizah, masjid rancak sokong vaksinasi COVID-19

Golongan asatizah di Singapura adalah antara mereka yang sedang menunggu giliran mendapatkan vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan asatizah di Singapura adalah antara mereka yang sedang menunggu giliran mendapatkan vaksin COVID-19.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp MUIS menyatakan 20 peratus daripada lebih 4,938 asatizah atau 952 asatizah sudahpun didekati demi menggalak mereka menjalani suntikan vaksinasi COVID-19.

Menerusi sesi-sesi penjelasan yang dijalankan MUIS sejauh ini - dalam bahasa Melayu dan Inggeris - para asatizah mendapat penjelasan menyeluruh dari sudut pandangan Islam dan perspektif perubatan mengenai vaksinasi.

MASJID AL-ISTIGHFAR BANTU JEMAAH BUAT PENDAFTARAN VAKSINASI

Sementara itu, masjid juga kini dijadikan tempat pendaftaran bagi vaksin COVID-19.

Di Masjid Al-Istighfar misalnya, perkarangan masjid diubah menjadi pusat pendaftaran bagi pendaftaran vaksinasi COVID-19 selepas selesai solat Jumaat (12 Mac).

Setelah tiga jam, sekitar 50 jemaah berusia 60 tahun ke atas membuat tempahan vaksinasi masing-masing di masjid yang terletak di Pasir Ris itu.

V for Vaccination at Masjid Al-Istighfar. Covid-19 Vaccination booking at Al-Istighfar mosque on Fridays. Thank you to the mosque committee and volunteers!����

Posted by Sharael Taha on  Friday, 12 March 2021

Anggota Parlimen Pasir Ris-Punggol Sharael Taha juga tampil untuk meninjau sesi pendaftaran ini, di mana jemaah juga dapat bertanyakan sebarang kemusykilan tentang vaksinasi atau pendaftarannya.

Dua lagi sesi seperti itu akan dijalankan pada 19 dan 26 Mac, dari 12 tengah hari hingga 3 petang.

Mengulas bagaimana usaha itu dapat membantu warga emas di kawasannya, Encik Sharael berkata: "Ada yang mungkin tidak tahu cara membuat janji temu online atau ada yang merasa khuatir tentang vaksinasi atau memerlukan lebih banyak maklumat mengenai proses vaksinasi."

Related article image
(Gambar: Sharael Taha)

Ditanya sama ada masjid mungkin dijadikan pusat vaksinasi, ini jawapannya...

"Di Pasir Ris, kami ada pusat vaksinasi di poliklinik Pasir Ris dan juga di kelab masyarakat Pasir Ris Elias. Jadi pada waktu ini, kaunter di masjid akan menjadi pendaftaran tambahan sahaja."

Usaha itu tambah Encik Sharael merupakan inisiatif di bawah rangkaian M³, kelab-kelab masyarakat, masjid dan para relawan.

MESKI SEMPUT, PENJELASAN PAKAR BERI KEYAKINAN BUAT USTAZAH ASLINDA AMBIL VAKSIN

Antara asatizah yang sudahpun mendapat suntikan vaksin ialah Ustazah Aslinda Ahamad, 56 tahun.

Guru ngaji dari rumah ke rumah yang juga jururawat privet itu pada mulanya ragu-ragu sama ada selamat mendapatkan vaksin kerana berpenyakit semput.

Related article image
(Gambar: Syawal Yusoff)

"Pada mulanya saya rasa gerun, takut sebab saya dengar banyak 'viral' menyatakan vaksin ini boleh membawa mati. Terutama sekali saya ini seorang pesakit semput dan memakai ubat yang dinamakan 'Seretide'," kata Ustazah Aslinda yang sudah lebih 10 tahun berpengalaman sebagai jururawat privet.

Untuk mendapatkan kepastian, Ustazah Aslinda merujuk ke internet untuk mendapatkan lebih maklumat tentang kesan-kesan sampingan serta mendapatkan keterangan dari Irsyad yang dikeluarkan MUIS.

Beliau akhirnya merujuk kepada seorang pakar paru-paru untuk mendapatkan nasihat melalui WhatsApp.

"Bila dia menyatakan 'sangat digalakkan' pada saya, jadi dari situ saya pun membuat keputusan untuk mengambil vaksin ini. Tanpa ada ragu-ragu," jelas Ustazah Aslinda.

Berkongsi dengan BERITAmediacorp, Ustazah Aslinda berkata jadual mengajarnya bermula awal pagi. Apabila diperlukan di hospital, beliau akan mengambil syif sebelah malam pula. Oleh itu, beliau pastikan kesihatan dan keselamatan beliau dan orang di sekeliling terjaga.

"Kalau kita tidak melindungi diri kita, kita tidak akan dapat melindungi orang-orang di sekeliling kita dan juga orang-orang yang tersayang," ujar Ustazah Aslinda.

AMBIL VAKSIN KERANA TIDAK MAHU 'BERHENTI SEPARUH JALAN'

Ustaz Maaroof Mohamad, 70 tahun pula memang amat menanti-nantikan peluang untuk mendapatkan vaksin COVID-19, meskipun menghidap kencing manis.

Related article image

Beliau yang mempunyai dua cucu itu bertambah yakin selepas didorong isterinya, seorang pembantu klinik.

"Saya dah banyak dengar baik daripada dalam negeri, luar negeri tentang perkembangan vaksin ini, dan saya yakin dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah. Tak mungkin pemerintah nak lakukan hal-hal yang boleh membahayakan rakyat," ujar Ustaz Maaroof.

Sebagai kadi dan pendakwah di masjid, Ustaz Maaroof akur beliau mudah terdedah kepada COVID-19. Beliau berharap masyarakat dapat bersikap positif tentang vaksin tersebut.

"Ini suatu perkara yang mustahak dan kita tidak terima satu perkara itu secara bulat-bulat. Kita juga berfikir. Dan bagi saya kerana pemerintah sudah sarankan dan kita sudah ikut yang dikatakan, peraturan pakai pelitup, jaga jarak, kita sudah separuh jalan. Tapi kenapa kita mesti berhenti di separuh jalan, kita tak mahu teruskan sampai vaksinasi?" tambah Ustaz Maaroof lagi.

Awal minggu lalu, pemerintah mengumumkan 150,000 pekerja sektor pendidikan dijadualkan mendapat vaksin koronavirus.

MUIS menyatakan, senarai nama kakitangan dan guru-guru madrasah juga sudahpun diberikan kepada Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menerima suntikan vaksin.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita