Skip to main content

Singapura

Golongan 1% terkaya di SG miliki 14% daripada keseluruhan kekayaan negara, setanding ekonomi maju lain

Isi rumah dalam golongan 1% terkaya di Singapura memegang sekitar 14 peratus daripada keseluruhan kekayaan isi rumah di Singapura - iaitu "secara umumnya" setanding dengan ekonomi-ekonomi maju dengan tahap ketidaksamaan kekayaan yang serupa, kata Menteri Negara Kanan Kewangan Jeffrey Siow pada Rabu (25 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2026 01:24PM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 06:09PM
SINGAPURA: Isi rumah dalam golongan 1% terkaya di Singapura memegang sekitar 14 peratus daripada keseluruhan kekayaan isi rumah di Singapura - iaitu "secara umumnya" setanding dengan ekonomi-ekonomi maju dengan tahap ketidaksamaan kekayaan yang serupa, kata Menteri Negara Kanan Kewangan Jeffrey Siow pada Rabu (25 Feb).

Golongan 5 peratus teratas di Singapura memiliki 33 peratus daripada kekayaan isi rumah negara, katanya dalam respons kepada soalan parlimen mengnai data terkini Kementerian Kewangan (MOF) mengenai ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan.

"Anggaran itu perlu ditafsirkan dengan berhati-hati, disebabkan oleh keterbatasan saiz sampel dan potensi berlaku kurang pelaporan dalam respons tinjauan di kedua-dua belah spektrum," katanya.

Menurut data yang diterbitkan pada 2024 oleh firma perunding McKinsey, golongan yang membentuk 1 peratus isi rumah teratas dari ekonomi-ekonomi utama termasuk Australia, Jepun dan Korea Selatan, memegang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kekayaan negara.

Di Amerika Syarikat, perangkaan itu adalah 35 peratus.

Dalam semua ekonomi maju, jurang kekayaan adalah lebih besar berbanding jurang pendapatan, memandangkan kekayaan dikumpulkan sepanjang hayat individu itu, kata Encik Siow.

Sebahagian besar daripada kekayaan isi rumah di Singapura disimpan dalam bentuk perumahan yang didiami sendiri dan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, tambah beliau.

“Dasar perumahan dan CPF kami membolehkan ramai rakyat Singapura membina aset dari semasa ke semasa. Pemilikan aset yang meluas ini membantu menyederhanakan ketidaksamaan sambil mengukuhkan jaminan jangka panjang dan kestabilan sosial.”

Ketidaksamaan kekayaan di Singapura melebihi ketidaksamaan pendapatan, dan secara umum sejajar dengan ekonomi-ekonomi maju lain, menurut dapatan baharu oleh Kementerian Kewangan pada awal bulan ini.

Koefisien ketidaksamaan kekayaan Singapura berada pada 0.55, setanding dengan anggaran bagi ekonomi maju lain seperti Britain, Jepun dan Jerman, yang berkisar antara 0.6 hingga 0.7.

Ini merupakan kali pertama Singapura menerbitkan data kekayaan.

Encik Siow mengakui pada Rabu bahawa kekayaan “amat sukar untuk diukur”, khususnya bagi data-data berkaitan aset luar negara atau aset yang tidak tersenarai.

“Setakat mana kekayaan di bahagian teratas agihan kurang dilaporkan, ketidaksamaan kekayaan yang diukur akan dilihat sebagai lebih rendah daripada keadaan sebenar,” menurut kementerian itu ketika pengumuman tersebut dibuat.

Seperti ekonomi-ekonomi maju lain, Singapura bergantung terutamanya kepada pendekatan berasaskan tinjauan untuk mengumpulkan data ini, kata Encik Siow.

“Kami tidak mempunyai rancangan buat masa ini untuk mendapatkan kuasa perundangan atau pentadbiran tambahan bagi mewajibkan pendedahan aset yang lebih terperinci semata-mata bagi tujuan pengukuran ketidaksamaan,” kata beliau.

Singapura berhasrat menjejaki ketidaksamaan kekayaan dari semasa ke semasa, dan kitaran seterusnya bagi tinjauan perbelanjaan isi rumah dirancang pada 2028, tambah beliau.

Menjawab soalan sama ada pemerintah mempertimbangkan bentuk cukai kekayaan lain selain cukai hartanah, Encik Siow berkata pendekatan Singapura adalah untuk mengenakan cukai kekayaan menerusi cara-cara yang kurang terdedah kepada pergerakan rentas sempadan dan perancangan cukai.

“Itulah sebabnya kami memberi tumpuan kepada aset-aset yang tidak begitu mudah untuk dialihkan seperti hartanah dan kenderaan bermotor,” tambah beliau.

“Kami mengambil kira keseimbangan antara generasi. Isi rumah muda yang sedang mengumpul aset tidak seharusnya dibebankan secara tidak wajar. Pada masa yang sama, pemilik-pemilik hartanah bernilai tinggi perlu memberi lebih sumbangan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita