'The Glam Circuit Festival 2024' lebih besar, tawarkan pelbagai elemen baharu sempena F1
SINGAPURA: Acara 'The Glam Circuit Festival' kembali diadakan di Kampong Gelam pada skala yang lebih besar tahun ini.
Ia dianjurkan sempena perlumbaan Formula One di Singapura pada 22 September ini.
Berbeza dengan tahun lalu, festival ini diluaskan ke tiga kawasan - Baghdad Street, Sultan Gate Park dan tempat letak kereta Aliwal Street.
Tahun lalu, ia hanya diadakan di tempat letak kereta Aliwal Street.
Menurut pihak penganjur iaitu One Kampong Gelam (OKG), edisi ketiga acara itu menjanjikan pelbagai elemen baharu.
"Kita mengetengahkan banyak tarikan yang berbeza daripada sebelumnya. Jadi tahun ini yang kita mengetengahkan adalah seperti beberapa kugiran, termasuk juga kita adakan festival muzik. Ada juga 'Talentime', bagi menonjolkan bakat-bakat baharu," kongsi Pengerusi OKG, Zaki Maarof.

Ini termasuk peluang untuk rasakan seolah-olah memandu kereta F1 sendiri dengan simulator perlumbaan di Tempat Letak Kereta Baghdad Street.
80 GERAI BAZAR F1 DI KAMPONG GELAM
Selain itu, pengunjung juga boleh rambang mata dengan tawaran daripada 80 gerai makanan, minuman dan barangan.
Ini juga bagi mendorong peniaga baharu dan muda.
Bergantung kepada saiz gerai, harga sewa adalah antara S$3,000 hingga S$4,000.

"Kita berikan banyak peluang kepada para peniaga yang baru. Yang baiknya di sini, OKG selalu menjaga harga sewa. Yang pertama, ia mesti berpatutan dan berkemampuan. Jadi siapa juga yang ingin mengikut serta, biasanya itu yang dia tanya dululah. Jadi itu satu pengalaman yang kita pelajari daripada sebelum ini. Jadi kita cuba berusaha agar harga sewa bagi gerai-gerai di sini berkemampuan," kata Encik Zaki.
Usaha itu juga untuk menghidupkan lagi suasana dan semarakkan lagi kawasan Kampong Gelam.
"Yang namanya Kampong Glam - ia ada ciri dan 'jiwa' tersendiri. Walaupun tidak ada acara pun, orang tetap akan berkunjung. Jadi dengan ada acara seperti ini, ia akan menarik lebih ramai pelanggan. Jadi dari yang muda-mudi, mahupun yang berkeluarga dan apalagi yang pelancong yang berkunjung dari pagi.
"Kita tengok pelancong sudah berpusu-pusu masuk Kampong Gelam dan biasanya jumlah pelancong yang berkunjung ke Kampong Gelam akan meningkat dengan adanya acara seperti ni. Jadi mudah-mudahan mereka balik ke negeri masing-masing, mereka dapat satu pengalaman yang baiklah," tambah Encik Zaki.
Acara kali ini juga lebih mesra alam.
Keseluruhan bazar itu dijana menggunakan bateri yang dikuasai tenaga suria.
Acara 'The Glam Circuit Festival 2024' dirasmikan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Jumaat lalu (13 Sep).

Ia akan berlangsung setiap hari hingga 22 September, dari jam 2.00 petang hingga 10.00 malam.
Pada hujung minggu pula (Jumaat-Ahad), ia akan dibuka hingga 10.30 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.