Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura eksklusif

GISBH DI S'PURA (BHG 3): Wanita ini kongsi pengalaman bekerja di dua kafe GISBH di Kampong Gelam, tidak dibayar gaji

Anggaran Waktu Membaca:
GISBH DI S'PURA (BHG 3): Wanita ini kongsi pengalaman bekerja di dua kafe GISBH di Kampong Gelam, tidak dibayar gaji

(Gambar: Hakim Irwan)

SINGAPURA: Selama setahun setengah sejak 2010, Ummu Shofiyah Muhammad Amin, kini 27 tahun, pernah menjadi antara penghuni di 'rumah tamu' kendalian syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang terletak di Jalan Pari Dedap.

Shofiyah merupakan salah satu daripada tiga individu yang berkongsi tentang pengalaman mereka berkaitan dengan GISBH dengan BERITA Mediacorp.

Shofiyah merupakan anak sulung kepada Cik Yuwana Muhammad Ehwan, yang juga diwawancara wartawan Nurhelmy Hakim.

'

Dia dan tiga lagi adik perempuannya, pernah dihantar ke asrama-asrama GISBH.

Shofiyah juga pernah bekerja di dua kafe GISBH di Kampong Gelam dan menurutnya, tidak dibayar gaji.

PENGALAMAN DIHANTAR KE ASRAMA GISBH DI MALAYSIA BERMULA PADA 2010...

Dalam perkongsiannya itu, Shofiyah mengimbau kembali kenangan sewaktu beliau mula-mula dihantar ke asrama GISBH pada 2010.

"Pada waktu itu, saya berusia kira-kira 13 tahun, baru habis peperiksaan PSLE. Pada bulan Disember, saya perlu ambil satu ujian (oleh GISBH). Pada bulan Januari, saya masuk ke asrama di salah satu Bandar Country Homes di Rawang, Selangor, Malaysia."

'
(Contoh Bandar Country Homes di Rawang)


"Saya tanya ibu saya mengapa saya perlu ke sana sebab keputusan PSLE saya juga agak baik tetapi ibu saya mengatakan bahawa asrama itu pun akan ajar kandungan yang saya akan belajar di Singapura. Saya pergi ke sana dengan hati yang berat sebab saya rasa saya akan membazir masa," kata Shofiyah.

Menurut Shofiyah, dia tinggal di asrama tersebut untuk sekitar sebulan sahaja.

"Di asrama itu, semuanya orang Singapura. Kita tinggal di bilik yang kecil bersama lapan lagi pelajar. Asrama itu di dalam satu rumah teres tetapi kami hanya mendapat satu bilik sahaja," jelas Shofiyah kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Shofiyah mendakwa bahawa dia tidak pernah belajar atau menerima pendidikan di sana.

"Saya hanya perlu masak, jika mereka suruh kita masak. Kita juga kemas rumah. Kita tidak belajar," tegas Shofiyah.

Beliau kemudian mengadu kepada ibunya apabila pulang ke Singapura.

Shofiyah menjelaskan bahawa memandangkan para pelajar Singapura yang terbabit juga tidak mempunyai visa, mereka perlu pulang ke Singapura sebulan sekali.

"Apabila saya pulang ke Singapura, saya memberitahu ibu saya bahawa saya tidak ke sekolah yang dijanjikan beliau. Saya rasa seperti ditipu. Saya beritahu ibu saya yang saya tidak belajar, tidak buat apa-apa. Jadi kenapa saya perlu tinggal di asrama itu lagi," jelas Shofiyah.

Disebabkan aduannya itu, Shofiyah dipindahkan dan dihantar ke asrama yang dijanjikan.

Dia tinggal di asrama itu selama lima bulan lagi.

"Semasa di asrama itu, saya tidak merasakan sebarang perkara yang pelik sebab kita belajar mengikut bahan-bahan sekolah madrasah di Malaysia. Buku-buku yang digunakan pun bukan sepenuhnya buku-buku tentang Abuya. Ada juga buku-buku dari luar. Mereka juga mengajar asas seperti tauhid, fardu ain, tajwid," tambahnya.

Namun beberapa bulan kemudian, mereka berhenti belajar sama sekali.

"Waktu itu, Abuya sudah meninggal dunia. Selepas itu, anaknya yang juga pengetua asrama itu pun meninggal dunia, dan ada perkara pelik yang mula berlaku. Kita tidak belajar lagi," dakwa Shofiyah.

'
(Pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad lebih dikenali sebagai Abuya)


Tidak lama kemudian, Shofiyah dibawa pulang oleh ibunya ke Singapura dan dihantarkan ke 'rumah amal' kendalian GISBH di Jalan Pari Dedap.

TIDAK ADA PENDIDIKAN DI RUMAH TAMU JALAN PARI DEDAP

Seingat Shofiyah, dia tinggal di 'rumah amal' di Jalan Pari Dedap selama sekitar setahun setengah dari tahun 2010 .

'

Di sana, beliau sekali lagi mengaku tidak pernah belajar.

"Kalau ibu saya tidak datang ke rumah itu, kita tidak akan belajar. Kita melepak sahaja dengan kawan-kawan lain," kata Shofiyah.

Menurutnya, ada kurang daripada 20 remaja wanita berusia antara 13 tahun hingga 20 tahun yang tinggal bersamanya pada waktu itu.

Shofuyah berkata: "Di sana, kami akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Jadi setiap minggu kami ada tugas. Minggu ini, kita perlu lakukan satu tugas. Minggu lain, kita perlu lakukan tugas rumah yang lain pula. Itu rutin harian kami."

"Yang bagusnya, kita tetap solat berjemaah. Setengah jam sebelum solat, kita sudah bersedia duduk di dalam saf, berselawat," tambahnya.

WALAUPUN TIDAK DIBAYAR GAJI, KENA SUMBANG KEPADA 'TABUNG TAKWA'

Beberapa perkara yang diajar pula menurut Shofiyah, agak mencurigakan selepas Abuya meninggal dunia.

Abuya adalah nama panggilan bagi pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

'

"Mereka ada mengajar tentang 'Seks Suci Islam' di mana para wanita perlu berpakaian secara seksi untuk suami mereka. Pada waktu itu, saya masih muda, terlalu muda untuk memahami subjek itu."

"Ummu Jah (isteri kedua Abuya) juga pernah mengatakan bahawa dia boleh bersetubuh dengan Abuya di dalam alam roh. Pada saya, agak mencurigakan. Bagaimana orang yang masih hidup boleh masuk ke alam roh? Saya tahu yang dia adalah isteri kepada Abuya jadi apa yang dia katakan, kita seakan-akan perlu percaya bahawa ia datangnya dari Abuya," kata Shofiyah.

'
(Khadijah Aam lebih dikenali sebagai Ummu Jah; isteri kedua Abuya)


Satu lagi perkara yang menimbulkan kemusykilan dalam dirinya ketika itu adalah amalan 'tabung takwa'.

"Setiap bulan kita perlu menyumbang kepada tabung ini. Mereka mengatakan bahawa tahap takwa kita bergantung kepada berapa banyak yang kita sumbang. Pada waktu itu saya baru berusia 13 tahun. Saya pun tidak menerima banyak duit saku."

"Jadi kadang-kadang saya hanya ada S$3. Saya perlu berikan duit itu tetapi setiap hari saya akan solat tahajjud, solat tepat pada waktu, berselawat tetapi taqwa saya hanya bernilai S$3? Ia membuat saya terfikir kerana mereka juga mengatakan bahawa orang yang bukan jemaah Ikhwan tidak akan masuk ke syurga. Bagaimana pula dengan saudara-mara saya yang saya tahu ibadah mereka lebih banyak daripada saya. Maksudnya mereka tidak akan masuk ke syurga kerana mereka tidak menyumbang kepada tabung takwa?" jelas Shofiyah.

PERLU BEKERJA DI DUA KAFE, TIDAK DIBAYAR

Shofiyah juga berkongsi tentang pengalamannya bekerja di dua kafe kendalian GISBH.

Pengalaman pertamanya pada sekitar tahun 2013.

"Yang pertama, adalah sebuah kedai menjual lauk-lauk Melayu bersebelahan Kampong Glam Cafe. Saya datang setiap pagi untuk menolong. Saya 'bekerja' di situ bersama adik perempuan saya. Jadi saya akan silih berganti hari untuk bekerja. Misalnya hari Isnin saya bekerja, hari Selasa dia pula bekerja. Kita perlu berada di kedai itu dari 10 pagi hingga 10 malam. Setiap minggu, kita akan bekerja kira-kira tiga atau empat hari," kata Shofiyah.

Semasa tempoh tersebut, Shofiyah mendakwa dia tidak pernah dibayar gaji.

Pada tahun 2015, Shofiyah juga bekerja di satu lagi kafe kendalian GISBH di kawasan Kampong Gelam.

Nama kedai tersebut menurut ibu Shofiyah, Cik Yuwana Muhammad Ehwan, adalah Mat'ma Ikhwan. 

Menurut beberapa lelaman, syarikat itu ditubuhkan pada 2012. 
'
(Gambar: Laman companies.sg)


MEMBUKA LEMBARAN BARU, INGIN LUPAKAN MEMORI LAMA

Pada 2016, Shofiyah nekad meninggalkan GISBH.

Pada waktu itu, dia mula menghadiri kelas-kelas Al-Quran bersama ibunya.

Namun, dia disifatkan sebagai tidak komited kepada GISBH.

"Mereka katakan saya tidak meluangkan masa di kafe. Saya dikatakan selalu keluar. Mereka selalu tanya, kenapa perlu belajar di luar? Kenapa tidak fokus kepada jemaah (GISBH)?"

Sejak itu, Shofiyah mengikuti beberapa kursus dan kelas untuk meningkatkan kemahirannya.

"Saya mula menjalani tuisyen dengan datuk saudara saya. Saya juga sudah mengambil kursus Literasi dan Numerasi Tempat Kerja (WPLN). Saya juga mendaftarkan diri untuk pra-diploma di Andalus, sambil mengambil peperiksaan peringkat 'N'," jelasnya.

Sebelum 2019, Shofiyah berjaya lulus peperiksaan peringkat 'O' sambil menjalani pengajian Diploma Syariah di Kolej Islam Muhammadiyah.

Beliau juga sudah lima tahun bertugas sebagai seorang guru pendidikan awal.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan