Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura eksklusif

GISBH DI S'PURA (BHG 2): Bekas pengikut kongsi dugaan & pengalaman pahit sehingga tekad meninggalkan GISBH pada 2015

Daripada pertubuhan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994, hingga bertukar kepada Rufaqa', dan kini dilabel pula sebagai Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Daripada pertubuhan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994, hingga bertukar kepada Rufaqa', dan kini dilabel pula sebagai Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Kesemuanya pernah dianggotai seorang warga Singapura, Cik Yuwana Muhammad Ehwan.

Dalam bahagian kedua laporan ini, beliau berkongsi dengan wartawan Nurhelmy Hakim, pengalaman menjadi pengikut dalam kesemua cabang pertubuhan tersebut.

Cik Yuwana ialah salah satu daripada tiga individu yang tampil ke BERITAmediacorp untuk berkongsi tentang pengalaman mereka berkaitan GISBH.

Bahkan, bukan dirinya sahaja, seluruh anggota keluarganya juga pernah terlibat dalam kegiatan-kegiatan GISBH.

JADI PENGIKUT AL-ARQAM SEJAK USIA 12 TAHUN HINGGA IA DIBUBARKAN PADA 1994

Wanita berusia 49 tahun itu membuka cerita bahawa beliau pernah bersekolah dan duduk di asrama Al-Arqam sejak 1980-an lagi.


Waktu itu, Cik Yuwana baru berusia 12 tahun.

"Selepas peperiksaan PSLE, saya pergi ke Pahang bersama makcik saya. Di 'sekolah' Al-Arqam di sana, ia seperti biasa. Kita solat tahajud, solat berjemaah, makan berdulang. Ia terletak di Kampung Sepadan. Dalam Al-Arqam, buku-buku yang digunakan pun sama seperti buku madrasah Malaysia."

"

"Daripada situ, saya mendapat tahu mereka juga ada mengadakan kelas-kelas di Singapura, termasuk maulid ataupun kelas fardu ain. Jadi saya pun mengikutinya di Singapura juga," jelas Cik Yuwana.

Setelah dua tahun mengikutinya, Cik Yuwana dakwa ada beberapa perkara yang dilakukan yang agak musykil.

"Kita perlu melakukan 'yakaza'. Saya tidak begitu memahaminya kerana pada waktu itu saya baru berusia 14 tahun. Mereka akan meletakkan kita dalam barisan dan mereka akan memberitahu kami dosa-dosa kami, satu persatu. Misalnya, "awak masuk saf lambat, awak tak solat tahajud." Saya tidak pernah melihat 'yakaza' ini dilakukan di Singapura," jelas Cik Yuwana.

Cik Yuwana dedah sempat menghadiri Al-Arqam yang lain di Negeri Sembilan dan Perak.

"Semasa di Al-Arqam, ia lebih kepada menjaga adab, akhlak. Mereka mengamalkan Aurad Muhammadiah, kekalkan keyakinan kita pada siapa Imam Mahdi dan dia sebagai Pemuda Bani Tamim," dakwa beliau.

Beliau kekal sebagai pengikut kumpulan itu sehingga Al-Arqam diharamkan pada 1994.

Waktu itu, beliau berusia 19 tahun.

Dalam fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa MUIS pada 1991, ia memutuskan terdapat beberapa bahagian dalam ajaran Al-Arqam menerusi Aurad Muhammadiah boleh menimbulkan kekeliruan.

SAMBUNG IKUTI PROGRAM DI RUFAQA', CABANG SELEPAS AL-ARQAM

Selepas Al-Arqam diharamkan, Cik Yuwana mula menjadi 'agak aktif' dalam pertubuhan Rufaqa' pula.

"

"Sebelum itu, saya sudah mula berkeluarga. Jadi saya agak sibuk tetapi, saya mula berjumpa kawan-kawan lama," kata beliau.

Rufaqa' merupakan sebuah badan perniagaan dan ekonomi yang ditubuhkan oleh bekas pengikut Al-Arqam untuk cuba mengembangkan kembali ajarannya.

"Di Rufaqa' pegawai pengurusannya di Singapura tidak terlalu memaksa kita untuk berkhidmat. Kita boleh berkhidmat untuk menjadi relawan dalam acara seperti Maulid, atau perjumpaan. Kita juga adakan kuliah pada waktu itu, di mana mereka akan sampaikan kata-kata daripada Abuya," kata Cik Yuwana.

"Kalau zaman Rufaqa', kita guna rumah kawan-kawan untuk kendalikan program. Anda boleh bayangkan sebuah rumah lima bilik yang penuh dengan para ahli. Semasa waktu Rufaqa', pernah mereka sewa kedai di Tampines untuk adakan mesyuarat di sana. Pernah juga ada unit gedung di Eunos. Sama juga kalau GISBH, mereka ada rumah amal di Jalan Pari Dedap dan sekarang ada restoran," dakwa Cik Yuwana.

"

Pada 2006, pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan serbuan terhadap Rufaqa’ di sebuah premis di Shah Alam, Selangor.

Lebih 100 orang termasuk empat pemimpin utama syarikat itu ditahan dalam serbuan berkenaan atas dakwaan cuba menghidupkan semula ajaran al-Arqam.

Sejak itu, Rufaqa' di Singapura juga mula menjadi sepi.

Dalam tempoh antara penutupan Rufaqa' dan pembukaan GISBH pada 2008, Cik Yuwana mengatakan bahawa beliau perlu menjalani 'kuarantin'.

"Peralihan daripada Rufaqa' ke GISBH, ada satu tahun itu di mana kita perlu menjalani kuarantin, untuk 'menghilangkan' amalan-amalan yang salah. Waktu itu, orang dalamnya tetap sama, mereka hanya menukar nama sahaja," dakwa Cik Yuwana.

Pada 2008, GISBH pula diasaskan sebagai pertubuhan perniagaan berasaskan agama.

"

Cik Yuwana melibatkan dirinya sekali lagi dengan pertubuhan itu.

"Saya tidak begitu aktif. Ia lebih kepada berjumpa dengan kawan-kawan, seperti perjumpaan kembali bersama. Kalau mereka jemput untuk ke tahlil, mungkin saya akan pergi. Sebagai pengikut program, saya tidak terlalu aktif," jelas beliau.

Ajaran-ajaran yang dikongsikan dalam GISBH disifatkan Cik Yuwana sebagai mengelirukan.

Ia terutama sekali selepas Abuya meninggal dunia pada 2010.
"

(Pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, lebih dikenali sebagai Abuya)

"Kita dapat rasa, kenapa ini berlaku? Ada ajaran tentang mengambil kuasa Kaabah," kata Cik Yuwana.

Ada juga beberapa perkara lain termasuk ajaran tentang Seks Suci Islam yang tidak sehaluan dengan pemikiran Cik Yuwana.

SUAMI JADI KETUA PASUKAN GISBH S'PURA, 'DIPAKSA' BERPOLIGAMI

Beliau juga mendakwa bahawa ada amalan dalam kalangan jemaah GISBH di mana para jemaah hanya boleh berkahwin dengan pengikut kumpulan itu sahaja.

Bagi dirinya pula, beliau berkahwin dengan 'orang luar' pada 1996, dua tahun selepas Al-Arqam difatwakan haram.

"Perkahwinan saya diboikot. Mereka tidak bersetuju. Mereka cuba carikan pasangan di kalangan jemaah," dedah Cik Yuwana.

Menurut Cik Yuwana, suaminya mula menjadi serius sebagai jemaah GISBH sekitar tahun 2006.

"Waktu itu, saya dihantarkan untuk ke kuarantin, untuk 'membersihkan dosa' di Malaysia. Orang jemaah katakan bahawa kalau isteri dikuarantin tetapi suami tidak dikuarantin, mereka tidak boleh kekal bersama. Sebab itu, dia pun pergi untuk dikuarantin juga, saya tak pasti kenapa tetapi mungkin sebab dia ingin menjaga keluarga," kata Cik Yuwana.

Cik Yuwana mendakwa bahawa 'kuarantin' itu dilakukan kepada para pengikut yang "mendatangkan masalah kepada para jemaah lain".

Sebagai seorang pengikut, Cik Yuwana mengatakan bahawa suaminya telah melakukan beberapa perkara untuk menyumbang kepada pertubuhan itu.

Ia termasuk membantu dalam projek-projek membangunkan rumah-rumah amal di Malaysia secara sukarela.

'

(Bandar Country Homes di Rawang, Selangor)

Suami beliau juga telah beberapa kali menyumbang wang kepada GISBH.

Atas sebab-sebab tersebut kata Cik Yuwana, suaminya telah dilantik menjadi 'Ketua Pasukan' Singapura, sesuatu yang agak mengejutkan buat beliau.

"Sebagai seorang Ketua Pasukan, dia juga diberi lebih banyak tanggungjawab. Dia perlu menghadiri lebih banyak mesyuarat. Dia juga perlu menjaga operasi di kafe," jelas beliau.

Yang lagi mengejutkan buat pasangan itu, suami Cik Yuwana didakwa disuruh untuk berpoligami pada 2013.

Sehingga hari ini, mereka tidak tahu sebab mengapa hal itu terjadi.

"Satu hari, secara tiba-tiba, suami saya mendapat mesej daripada CEO GISBH, Nasiruddin Mohd Ali - menerusi salah satu pegawai - diarahkan untuk berpoligami. Tentunya dia perlu lakukannya sebab kalau dia tidak melaksanakannya, dia tidak akan tahu saya akan dihantarkan ke mana. Selalunya begitu. Apabila sang suami tidak ingin melakukan sesuatu, mereka akan mengatakan bahawa dia sudah 'dikawal oleh isteri' tetapi sebab dia ingin menjaga keluarga, dia tetap melakukannya."

''

(CEO GISBH, Nasiruddin Mohd Ali)

"Pernikahan dalam GISBH, selalunya dilakukan antara mereka sahaja. Bapa perempuan yang dinikahkan kepadanya pula berada di Makkah, jadi pernikahan itu diadakan menerusi online. Saya pula disuruh untuk duduk di depan. Cucu Abuya pada waktu itu ada di situ. Dia sendiri terkejut kerana tidak pernah melihat isteri pertama perlu menghadiri di hadapan majlis pernikahan itu," kongsi Cik Yuwana.

Walaupun beliau akur dengan arahan itu, pernikahan kedua suaminya itu menyebabkan beliau mengalami kemurungan dan pulang ke rumahnya sendiri.

KENAPA TERUSKAN TERLIBAT DALAM PERTUBUHAN-PERTUBUHAN INI?

Meskipun dengan ajaran yang menyeleweng dan poligami 'paksaan' terhadap suaminya, Cik Yuwana merasakan bukan mudah untuk meninggalkan pertubuhan itu.

"Motif mereka adalah untuk selamatkan diri pada akhir zaman. Bila zaman Dajjal turun - mereka nak selamatkan ummah - mereka pembela ummah. Siapa yang nak masuk neraka kan? Jadi kita hanya ingin berada dalam sekitaran yang selamat. Pada waktu itu, internet kurang canggih. Kalau nak mencari guru-guru agama pun kita perlu mencari mereka secara fizikal. Itulah sebabnya saya cuba kekal sebagai jemaah," jelas Cik Yuwana.

Beliau juga memikirkan tentang keselamatan dan kebajikan anak-anaknya.



Cik Yuwana mendakwa bahawa anak-anak jemaah GISBH diwajibkan untuk menghantarkan anak-anak mereka yang berusia 13 tahun ke atas ke asrama kendalian mereka.

Semasa menjadi pengikut GISBH, Cik Yuwana telah menghantar empat anak perempuannya ke asrama-asrama di Singapura dan Johor Bahru.

"Pendidikan anak-anak bukan satu keutamaan dalam GISBH. Mereka tidak mengajar anak-anak saya. Jadi saya kekal sebagai pengikut sebab saya ingin memperjuangkan untuk pendidikan anak-anak saya. Kalau saya cuba keluarkan anak-anak saya dari asrama-asrama ini, saya akan digertak. Bila kita sudah dewasa pun, kita inginkan keselamatan untuk anak-anak di akhir zaman," kata Cik Yuwana.

TEKAD TINGGALKAN GISBH PADA 2015

Apabila menyedari semakin banyak ajaran yang bercanggah dengan pendirian dan pemahamannya tentang Islam serta pengalaman pahit yang berlaku pada dirinya, Cik Yuwana tekad untuk berhenti menjadi pengikut GISBH pada 2015.

Setahun kemudian, suami Cik Yuwana menceraikan isteri keduanya.

Anak-anak beliau juga tidak terlibat lagi dalam asrama GISBH.
"
Wartawan Nurhelmy Hakim mendapatkan perkongsian salah seorang anak Cik Yuwana dalam bahagian ketiga laporan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan