Singapura eksklusif
GISBH DI S'PURA (BHG 1): Individu kongsi pengalaman tinggal serumah dengan anggota GISBH di Jalan Pari Dedap
SINGAPURA: Syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa pernah mengendalikan sebuah ‘rumah tamu’ di Singapura.
Wartawan Nurhelmy Hakim bertemu empat mata dengan tiga individu yang berkongsi pengalaman mereka melihat atau terlibat sendiri dalam kegiatan GISBH di Singapura.
Dalam bahagian pertama laporan ini, kami menyingkap pengalaman Cik Zainab Ash Shughra yang pernah tinggal serumah dengan para anggota GISBH di 'rumah tamu' mereka di Jalan Pari Dedap berdekatan Upper Changi Road.
BUKAN JEMAAH IKHWAN, HANYA SEWA BILIK DALAM 'RUMAH TAMU' GISBH
Cik Zainab berkata beliau bukan merupakan jemaah atau anggota kumpulan itu dan hanya sekadar menyewa bilik di rumah tamu tersebut pada 2011.
"Saya bukan bekas jemaah Ikhwan. Seingat saya, saya hanya menyewa bilik di rumah itu untuk 2 atau 3 bulan sebelum saya keluar. Saya tahu mereka gerakan adalah jemaah gerakan Ikhwan yang sebelumnya dinamakan Rufaqa," kongsi Cik Zainab kepada wartawan Nurhelmy Hakim.
Beliau mendapat tahu daripada kawannya bahawa terdapat sebuah bilik sewa di rumah itu.
"Waktu saya datang untuk menyewa itu, saya tidak nampak apa-apa kelainan. Bila menyewa saya serahkan duit $800 pada hari pertama dan segalanya seperti biasa," tambahnya.
SIAPA PENGHUNI RUMAH TAMU GISBH DI SG?
Bila beliau berpindah ke rumah tiga tingkat itu, Cik Zainab berkata sudah terdapat sekitar 25 remaja dan kanak-kanak perempuan yang menetap di situ.
"Saya tidak tahu sudah berapa tahun atau bulan mereka sudah berada di situ. Yang saya ingat saya serahkan duit bulanan kepada seorang wanita ini. Dia adalah Ketua Bahagian Zon Singapura. Dia adalah jemaah Ikhwan, dia bukan pemilik rumah itu."
"Rumah itu untuk golongan wanita. Ini termasuk remaja, kanak-kanak, juga ada isteri yang dalam pantang ataupun si isteri yang datang sekejap. Mereka berusia antara 2 tahun sehingga kira-kira 16 tahun. Kalau ada lelaki pun, kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun ke bawah. Kalau suami atau lelaki yang datang ke rumah itu adalah waktu perayaan Maulud ataupun waktu ada keramaian," jelas Cik Zainab.
Sepanjang sekitar tiga bulan menetap di situ, beliau juga melihat ada beberapa jemaah kumpulan itu dari luar negara yang tumpang tinggal di situ.
"Fungsi 'rumah tamu' sebagai penempatan jemaah-jemaah Ikhwan di Singapura ataupun jemaah-jemaah Ikhwan di seluruh negara yang datang ke Singapura. Mereka tidak perlu sewa hotel dan boleh tinggal di rumah tamu Singapura," kata Cik Zainab.
DAKWA ANAK-ANAK JEMAAH GISBH TIDAK TERIMA PENDIDIKAN FORMAL
Sepanjang tempoh menyewa bilik di rumah tersebut, Cik Zainab tidak melihat kanak-kanak atau remaja yang menetap di rumah tersebut ke sekolah atau mengikuti mata pelajaran pendidikan formal.
"Saya boleh cakap kalau belajar, bukan hari-hari belajar ini. Bila hari saya tidak bekerja, saya nampak mereka tidak ada pendidikan formal. Misalnya subjek Geografi dan lain-lain, semua tak ada," kata beliau.
"Tak ada yang pergi ke (pusat) penjagaan kanak-kanak atau ke sekolah rendah, semua tak ada. Pendidikan madrasah atau akademi memang langsung tak ada,” tambah Cik Zainab.
Apa yang dilihat Cik Zainab ialah mereka lebih banyak belajar tentang Abuya iaitu pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad.
(Pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad)
(Logo Al-Arqam)
Pendidikan mereka hanya tentang Abuya. Akhlak Abuya, keistimewaan Abuya tempat kelahiran Abuya. Bagi saya, kalau pendidikan madrasah pentingnya al-Quran, tetapi mereka tidak belajar tentang Al-Quran. Mereka ada kitab kitab mereka."
(Gambar: Facebook/PUKAS)
Al-Arqam difatwakan sesat pada 1994.
RUTIN SELEPAS SOLAT - PENCAK SILAT PERANG NAFSU, BERDOA KEPADA ABUYA?
Sepanjang tempoh menyewa bilik di 'rumah tamu' itu, Cik Zainab juga pernah diajak untuk menyertai sesi-sesi 'keagamaan' para jemaah.
"Saya diundang. Kita sebagai penyewa, apabila diundang takkan kita nak elakkan diri? Bila diajak ke tazkirah - baru-baru saya ikuti. Dah orang ajak cara baik tapi lama-lama saya rasa macam benda tak betul," kongsi Cik Zainab.
Beliau juga menceritakan beberapa kejadian yang membuatkan beliau mula rasa curiga.
"Pertama kali saya disuruh buat Pencak Silat perang nafsu selepas solat. Ada yang sampai lompat-lompat. Para jemaah selepas solat jemaah mereka akan berikan ruang. Mereka masing-masing lakukan bersendirian."
"Mereka ada 'tumbuk-tumbuk Yahudi' sekali. Jadi, bila tumbuk mereka memang perlu menumbuk. Saya rasa tidak masuk akal," jelas Cik Zainab.
Beliau juga menambah bahawa para jemaah juga akan berdoa langsung kepada 'Abuya'.
"Bila berdoa tetapi tidak meminta kepada Allah. Kalau berdoa pada Abuya - itu makhluk sama macam kita. Jadi bila berdoa minta (pada Abuya), pada saya dah rasa salah."
"Mereka akan pegang kepala dan berdoa 'Wahai Abuya, Islamkan roh kami, Wahai Abuya, Islamkan nafsu kami'" kata Cik Zainab.
Selain kelas yang diajar di situ, para jemaah di 'rumah tamu' itu juga menurut Cik Zainab, mengikuti kelas secara online.
"Setiap hari selepas solat Zohor ataupun Isyak, mereka akan adakan penstriman secara langsung antara Malaysia, Singapura, Indonesia dengan Makkah dan Madinah. Mereka akan dakwah tentang Abuya, ada yang tanyakan kemas kini di setiap negara juga," kata beliau.
"Saya dengar suara Ummu Jah (isteri Abuya) berbicara tentang 'jemaah kebenaran', tentang bagaimana beliau menepis fitnah ataupun dakwaan bekas jemaah. Waktu itu ada bekas jemaah Ikhwan yang menentang Ummu Jah dan pada mereka, sesiapa yang menentang mereka dan bekas Ikhwan adalah musuh Islam," tambah beliau lagi.
(Khadijah Aam, lebih dikenali sebagai Ummu Jah; isteri kedua Abuya)
BEKERJA TAPI TAK DIBAYAR; APA ITU 'BANTU DIBANTU'?
Mengimbau kembali pengalamannya selama sekitar tiga bulan di rumah tamu itu, Cik Zainab mengatakan bahawa ada dalam kalangan remaja di 'rumah tamu' itu yang bekerja, namun tidak dibayar gaji.
Beliau diberitahu salah seorang remaja di situ bahawa mereka bekerja di sebuah kafe di Arab Street.
Pada ketika itu, remaja itu berusia kira-kira 16 tahun dan selainnya, ada lagi sekitar 10 remaja lain yang turut bekerja di tempat itu.
"Dia bekerja 10 jam di kafe, kadang-kadang 12 jam sebab kalau macam Jumaat, Sabtu, Ahad ramai pelanggankan," kata Cik Zainab.
"Ketua mereka ajarkan, kalau kerja jangan mengharap duit. Kenapa nak mengharap balasan? Bantu dibantu - nanti Abuya akan bantu dari segi rezeki, dari segi anak ramai, dari segi dapat suami soleh. Itulah bantu dibantu. Maksudnya kita bekerja akan dibalas tetapi bukan berupa wang," jelas beliau.
Melihat sendiri perkara-perkara sebegitu, Cik Zainab berasa tidak selesa dan akhirnya membuat keputusan untuk berpindah keluar daripada 'rumah tamu' itu.
Semasa kunjungan BERITA Mediacorp ke kawasan sekitar rumah tersebut bersama Cik Zainab baru-baru ini, tiada lagi anggota atau pengikut GISBH kelihatan menetap di situ.
Wartawan Nurhelmy Hakim juga dimaklumkan bahawa rumah di Jalan Pari Dedap itu kini disewa sebuah keluarga asal Denmark.
Mereka menyewa rumah itu daripada syarikat Far East Organisation.
Hal itu disahkan menerusi laman syarikat itu.
Dalam wawancara bersama satu lagi individu yang merupakan bekas jemaah GISBH, dia juga mengesahkan bahawa rumah yang dikenal pasti itu juga merupakan ‘rumah tamu’ GISBH di Singapura.
Individu itu pernah terlibat dalam kegiatan-kegiatan di ‘rumah tamu’ itu sebelum tahun 2011.
Di Malaysia, lebih 540 kanak-kanak kini sudah ditempatkan di tempat perlindungan sementara berikutan serbuan polis ke 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengendalikan siasatan ke atas GISBH dengan telus.
PM Anwar turut memohon ahli dan para pendukung GISBH di Malaysia dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa.
Sebelum ini, Restoran Mihrimah yang terletak di 742 North Bridge Road dikaitkan dengan syarikat GISBH.
Kekeliruan timbul apabila logo syarikat GISBH tertera pada papan nama restoran itu.
(Gambar pada17 Sep 2024)
Namun, pihak restoran itu mengeluarkan kenyataan media untuk menyangkal sebarang dakwaan dan menegaskan bahawa GISBH hanya berperanan sebagai penasihat perniagaan sahaja.
Pihak restoran itu sudah menukar logo kedainya menurut pemantauan BERITAmediacorp
Logo syarikat GISBH tidak lagi tertera.
(Gambar pada 4 Okt 2024)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.