Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gimik kotak $50 cetus suasana berebut-rebut di Raffles Place

"Datang ke Raffles Place pada pukul 12.00 tengah hari dan masukkan $3 ke dalam sebuah kotak untuk menerima wang $50".

Anggaran Waktu Membaca:
Gimik kotak $50 cetus suasana berebut-rebut di Raffles Place

Ratusan orang berpusu-pusu ke Raffles Place untuk mendapatkan duit $50. (Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 28 Feb 2018 05:05PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 05:09PM

SINGAPURA: "Datang ke Raffles Place pada pukul 12.00 tengah hari dan masukkan $3 ke dalam sebuah kotak untuk menerima wang $50".

Mesej itulah yang membuat ratusan orang berebut-rebut mencuba sebuah 'kotak duit' yang diletakkan di Raffles Place hari ini (28 Feb).

Namun keghairahan orang ramai tengah hari tadi berakhir selepas sejam kemudian, kerana ratusan orang berpusu-pusu ke lokasi itu dengan harapan untuk mendapatkan wang 'percuma'. Ini menyebabkan pihak penganjur terpaksa menghentikan program promosi itu.

Orang ramai yang berada di sana, dilihat berebut-rebut, malah saling tolak-menolak antara satu sama lain. Mereka diminta bersurai pada pukul 12.45 tengah hari oleh pihak penganjur, yang sebelum itu dilihat bercakap dengan dua pegawai polis selama 10 minit.

Pihak penganjur mendakwa beliau diarahkan oleh polis supaya menghentikan kegiatan tersebut.

"Saya minta maaf. Oleh kerana polis sudah berada di sini, kami terpaksa menghentikannya. Agak mendukacitakan kerana kami tidak dapat meneruskannya. Jadi, demi keselamatan anda, harap anda perlahan-lahan bersurai dari lokasi ini," pihak penganjur memberitahu orang ramai yang kelihatan kecewa.

Pada pukul 11.30 pagi lagi, kira-kira 300 orang dilihat beratur di depan sebuah kotak yang mengeluarkan wang tunai. Kotak itu dipanggil #3dollarballer dan ditempatkan di luar Chevron House.

Pada pukul 11.45 pagi, pihak penganjur memindahkan kotak tersebut ke laluan pejalan kaki di Battery Road - menyebabkan orang ramai berpusu-pusu turut ikut kotak itu.

Pada pukul 12.00 tengah hari pula, kotak itu sekali lagi dipindahkan ke kawasan berumput di depan Chevron House di mana lebih ramai orang berhimpun.

Individu pertama yang berjaya memasukkan $3 ke dalam kotak 'ajaib' itu untuk mendapatkan $50 adalah Kate Koh, 30 tahun.

"Saya bertugas di kawasan ini dan rakan saya memberitahu saya tentang acara ini. Saya bernasib baik kerana saya sedang berdiri berdekatan lokasi di mana kotak itu dipindahkan," kata beliau.

Mediacorp melihat seramai enam orang yang berjaya meraih wang $50 daripada kotak itu.

Seorang lagi individu yang bernasib baik ialah Encik Jeffrey Yao, 74 tahun.

"Saya cuma lalu di kawasan itu, jadi saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya beratur sekitar 20 minit untuk mendapatkan $50," kata Encik Yao.

Sebahagian yang lain bagaimanapun tidak senasib. Seorang remaja, June Yeo, berkata beliau beratur selama sejam.

"Agak sedih kerana saya tidak mendapat (wang itu). Namun saya berasa acara ini agak menarik kerana siapa yang tidak mahukan wang percuma?" kata belia berusia 16 tahun itu.

Promosi itu, yang berjaya menarik perhatian ramai di media sosial, dijadual diadakan sekali lagi di 313@Somerset petang ini, menurut laman 3dollarballer.

Namun, ia dibatalkan kerana semua wang $50 sudah habis, tambah laman itu.

Di dalam kotak tersebut sebenarnya terdapat seorang lelaki yang mengeluarkan wang $50 setiap kali seseorang memasukkan $3 ke dalamnya.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan