Skip to main content

Singapura

Gim, studio kecergasan semakin rancak dikunjungi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jun 2022 06:59PM Dikemas Kini : 04 Jun 2022 09:50PM

BERITAmediacorp: Gim dan studio kecergasan senaman menyaksikan perniagaan mereka melonjak sehingga 50 peratus sejak para pekerja dibenarkan kembali ke pejabat.

Perniagaan yang rancak itu mendorong dua syarikat yang ditemui BERITAmediacorp untuk menambah jumlah kelas yang diadakan serta menggajikan lebih ramai kakitangan.

PERMINTAAN TINGGI UNTUK KELAS SENAMAN WAKTU PAGI

Dengan lebih ramai pekerja kembali ke pejabat, permintaan untuk kelas-kelas senaman kendalian syarikat kecergasan 1-Habit yang terletak di Jalan Pinang semakin meningkat.

Pengasasnya Cik Aqilah Norazman, berkata: "Kita saksikan peningkatan 50 peratus apabila ramai pekerja kembali bertugas di pejabat, berbanding sewaktu mereka bekerja di rumah dahulu."

"Sebelum ini, hanya ada dua hingga tiga orang sahaja yang menghadiri setiap kelas. Tetapi selepas pengumuman PM Lee, kadar penyertaan untuk kelas-kelas kami melonjak kepada sekitar 80 peratus dan kebanyakan kelas penuh," kata beliau.

Related article image

Menurut Cik Aqilah, trend tersebut tidak mengejutkan kerana semakin ramai yang "lebih bermotivasi" untuk memanfaatkan sepenuhnya masa di luar rumah.

"Apabila mereka kembali ke pejabat, lebih mudah untuk mereka datang ke gim selepas bekerja. Kalau mereka bekerja di rumah, lebih susah atau rasa malas untuk mereka keluar," kata Cik Aqilah.

Menurutnya lagi, 70 peratus kliennya bekerja di kawasan Bugis dan CBD, manakala bakinya adalah pekerja syif dan para ibu atau suri rumah.

"Kadar penyertaan selepas 6.00 petang selalunya penuh atau 80 peratus penuh. Sekiranya kelas itu ada enam slot, kita selalu boleh dapat lima hingga enam orang. Biasanya di antara 9.00 pagi hingga 6.00 petang, hanya satu atau dua orang sahaja yang datang," dedah Cik Aqilah.

Walau bagaimanapun, terdapat permintaan yang bertambah untuk kelas latihan sebelum 9 pagi dan waktu makan tengah hari.

"Sewaktu COVID-19, kita menghentikan kelas-kelas antara 9.00 pagi hingga 6.00 petang kerana tidak ada orang yang datang. Kini, kita ada rancangan untuk mulakan semula kelas pada waktu makan tengah hari. Selain itu lebih ramai orang yang tunjukkan minat untuk menyertai kelas-kelas jasmani kami sebelum mereka pergi bekerja," ujar Cik Aqilah.

AVOYOGA GANDAKAN JUMLAH KELAS DEK PERMINTAAN YANG MENINGKAT

Perniagaan syarikat Avoyoga, studio yoga udara dibuka lewat tahun lalu, juga meningkat.

Pengasas syarikat itu, Raidah Syafiqah Ahmad berkata: "Sebelum pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja, kadar penyertaan dari Isnin hingga Jumaat agak lembab.

Related article image
"Tetapi dalam beberapa minggu ini, slot untuk kelas-kelas pada hari-hari tersebut ditempah dengan begitu cepat. Kita membuka slot untuk ditempah 14 hari sebelum kelas itu, dan selalunya, pada masa itu juga ia sudah ditempah sepenuhnya," kata Cik Raidah.

Lebih sebulan lalu, Cik Raidah hanya menawarkan empat kelas seminggu tetapi jumlahnya ditambah kepada lapan kelas seminggu didorong permintaan yang meningkat.

Menurutnya kelas-kelas dari Isnin hingga Jumaat lebih popular berbanding yang ditawarkan pada hujung minggu.

"Kelas yang diadakan selepas 6.30 petang lebih popular daripada misalnya, 12 tengah hari. Mungkin ada yang ingin datang bersenam pada waktu makan tengah hari, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian kerana mungkin mereka tidak mahu berpeluh apabila kembali ke tempat kerja."

Seiring dengan permintaan yang bertambah, Cik Raidah menghadapi beberapa cabaran seperti menambah jumlah jurulatih dan mengatur lebih banyak kelas.
Related article image
Cik Raidah berkata: "Dengan lebih ramai peserta, mereka inginkan lebih banyak kelas dan slot. Saya perlu mendapatkan pertolongan seorang lagi guru untuk mengajar kelas pada hari Isnin yang khusus bagi golongan yang lebih handal."

"Satu lagi cabaran adalah dari segi memilih jadual waktu kelas kerana saya perlu mengubah suai waktu kelas agar semua orang boleh menyertainya," jelas Cik Raidah.

Cik Raidah merancang untuk menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat privet untuk menawarkan lebih banyak kelas.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita