Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gillman Barracks akan jalani kerja naik taraf bernilai S$2 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 May 2022 01:25PM Dikemas Kini : 24 May 2022 10:39PM

SINGAPURA: Gillman Barracks akan menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai S$2 juta dan antara tawaran terbarunya termasuk pasar tani dan pilihan makanan dari kebun langsung ke meja. 

Menerusi dua fasa perancangan untuk menyuntik nafas baru kepada Gillman Barracks, Penguasa Tanah Singapura (SLA) hari ini (24 Mei) mengumumkan bahawa ia ingin memperkenalkan lebih banyak kedai dengan konsep "baru" makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup untuk memastikan terdapat pelbagai tawaran berbeza-beza. 

Kerja-kerja naik taraf prasarana Gillman Barracks bernilai S$2 juta akan dijalankan untuk "mempertingkatkan pengalaman pelawat", tambah penguasa tersebut. 

Gillman Barracks merupakan tapak bekas berek tentera pada 1936, dengan 17 bangunan penjajah dan tapak seluas sekitar 6.6 hektar. 

Tapak yang terletak berdekatan dengan Southern Ridges itu, kini menempatkan 10 galeri seni setempat dan antarabangsa, dan akan terus menjadi "kawasan utama" bagi Minggu Seni Singapura, menurut SLA. 

Ketua Eksekutif SLA Colin Low semasa mengumumkan rancangan naik taraf itu, berkata bahawa sejak mengambil alih pengurusan Gillman Barracks pada 2020, penguasa tersebut melibatkan pemain-pemain pasaran di pelbagai sektor untuk mencipta "ruang yang unik". 

"Menerusi rancangan ini, Gillman Barracks akan berubah menjadi ruang gaya hidup yang kreatif, lagi bertenaga," kata Encik Low. 

"Keluarga, penggemar basikal, pendaki, penggemar seni, pencinta alam sekitar dan juga masyarakat pekerja dan penduduk di Alexandra dan Telok Blangah, serta penduduk di Kawasan Pesisiran Selatan pada masa akan datang, boleh menantikan pelbagai tawaran pada waktu-waktu berbeza." 

Hari ini (24 Mei), SLA melancarkan lima tender bagi penggunaan F&B dan gaya hidup, seperti pasar tani, tempat makan dengan muzik, pilihan makanan dari kebun langsung ke meja dan bengkel-bengkel bagi "pelbagai kelompok usia". 

"Ini dilakukan untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi tawaran unik dan ruang terbuka yang interaktif, yang sesuai dengan gaya hidup baru dan berubah-ubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini," menurut SLA. 

Daripada lima blok yang dibuka untuk tender, empat kini disewakan. Pajakannya akan tamat tempoh awal tahun depan, menurut SLA. 

Tender-tender serupa akan ditawarkan bagi blok-blok lain dalam fasa kedua kerja naik taraf, tambahnya. 

Tender-tender tersebut akan dibuka selama lapan minggu mulai Selasa (24 Mei), dan pemohon akan dinilai berdasarkan harga dan mutu. 

Bahagian mutu akan mempertimbangkan sama ada saranan yang diusulkan mengandungi inisiatif-inisiatif mesra alam, iaitu sebahagian daripada usaha SLA untuk menjadikan Gillman Barracks satu kawasan yang mesra alam, menurut SLA. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan