Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gigih sumbang kepada masyarakat meskipun derita barah prostat tahap akhir

Untuk menjaga isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang, Encik Suhaimi Masohan terpaksa berhenti kerja sepenuh masa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Untuk menjaga isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang, Encik Suhaimi Masohan terpaksa berhenti kerja sepenuh masa.

Beliau yang kini berusia 70 tahun, perlu menemani isterinya ke pusat dialisis tiga kali setiap minggu.

Isterinya Cik Maryam Mohd Nawir, 72 tahun disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak lapan tahun yang lalu.

"Saya sayang isteri saya. Bukan 1, 2 tahun sudah 50 lebih tahun berumahtangga. Saya bilang “Susah senang bersama".

"Sebagai suami, tugas kita untuk hantar pergi, balik. Kadang-kadang kita pun makan asal boleh, tidak cerewet. Nasi, goreng telur, cili, sudah. Asalkan perut kita kenyang, tidak kelaparan. Ada di luar sana lebih lapar. Jadi itulah prinsip saya," kata Encik Suhaimi, yang pernah bertugas dalam Pasukan Polis Singapura dan seorang penyelam komersil.

(Gambar: Syawal Yusoff)

DIRAMALKAN ADA TIGA TAHUN UNTUK HIDUP

Ibarat jatuh ditimpa tangga, beliau pula disahkan menghidapi barah prostat tahap akhir pada November lalu.

Melihat keadaan kesihatannya, doktor menjangkakan Encik Suhaimi hanya dapat bertahan tiga tahun lagi.

"Sudah buat semua pembedahan, jadi membuat Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), di mana ia mendapati saya ada barah tahap empat. Saya tanya 'Berapa lama saya boleh hidup dalam dunia ini?' Cuma ramalan doktor, saya boleh hidup untuk tiga tahun.

"Mulanya memang tersentak. Terkejut juga. Memang sakit itu sesuatu yang mengerikan tapi apa nak buat," ujar Encik Suhaimi, yang tidak disyorkan doktor untuk jalani rawatan kemoterapi.

Selepas kedua-dua anak mereka berumahtangga, Encik Suhaimi dan isterinya berpindah ke sebuah flat studio dan tinggal berdua.

Meskipun bimbang akan keadaan isterinya, Encik Suhaimi sudah membuat perancangan dengan isteri dan anak-anaknya.

"Andainya saya pergi dulu, saya beritahu (anak-anak) jagalah mak kamu. Kalau boleh, saya beritahu isteri saya, biar saya pergi dulu. Sekurang-kurangnya ada anak-anak yang boleh melihat dia," kata Encik Suhaimi, yang mempunyai tiga orang cucu.

PENYAKIT BUKAN ALASAN HENTI BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT

Meskipun menderita kesakitan, keprihatinan Encik Suhaimi terhadap golongan yang lebih memerlukan mendorongnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Beliau aktif menjadi relawan dalam acara anjuran badan amal Ambulance Wish Singapore (AWS).

"Dia mempunyai semangat kemasyarakatan yang sangat menakjubkan yang sangat boleh diikuti. Dan sangat penting untuk kami mencontohi itu. Kerana inilah apa sebenarnya Ambulance Wish. Melihat lebih dari diri sendiri.

"Tentunya beliau adalah pendorong dan inspirasi untuk semua. Termasuk kami di AWS dan relawan atas apa yang dia lakukan. Dan saya tabik beliau kerana itu," kata Lembaga Pengarah, AWS, Cik Grace Young-Diao.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Untuk menceriakan pesakit-pesakit lain di pusat dialisis isterinya, Encik Suhaimi yang gemar bercucuk tanam juga menghadiahkan sekitar 80 pokok 'money plant' kepada mereka.

"Walaupun kita sakit, saya menderita barah, isteri saya menderita penyakit buah pinggang, kita lakukan. Kalau orang lain boleh, kenapa kita tidak boleh? Selagi tangan diberi kesihatan, tidak mengapa," ujar Encik Suhaimi yang mahu terus menjadi relawan kepada AWS sejak menyertainya pada Mac tahun ini.

AWS INGIN KUMPUL DANA S$210,000 BIAYAI KOS OPERASI; HAJAT LEBIH 100 PESAKIT TENAT

AWS ditubuhkan empat tahun yang lalu dan ia membantu penuhi hajat-hajat terakhir para pesakit yang tenat.

Encik Suhaimi juga menyumbang masa dan tenaga untuk menyokong usaha AWS mengumpul dana dalam acara berbasikal maya 'Cycle of Peace 2023' yang sedang berlangsung kini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

AWS menyasarkan untuk mengumpul lebih S$210,000 untuk membantu sekitar 100 pesakit yang menanggung penyakit yang boleh membawa maut.

Inisiatif yang kembali buat tahun kedua itu berjaya menjangkaui sasarannya sebanyak S$150,000 tahun lalu apabila ia berjaya mengumpul dana S$245,000 secara keseluruhan.

Orang ramai boleh menyokong usaha tersebut sehingga 1 Julai ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan