Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GIC dan MENDAKI perkenal biasiswa baru khusus untuk pelajar Melayu

Sebuah biasiswa baru khusus untuk pelajar Melayu sahaja dilancarkan oleh perbadanan pelaburan Singapura, GIC, dengan MENDAKI dengan sekurang-kurangnya tiga biasiswa akan dikeluarkan pada tahun pertamanya tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah biasiswa baru khusus untuk pelajar Melayu sahaja dilancarkan oleh perbadanan pelaburan Singapura, GIC, dengan MENDAKI dengan sekurang-kurangnya tiga biasiswa akan dikeluarkan pada tahun pertamanya tahun ini.

Dipanggil Biasiswa GIC-MENDAKI, ia diumumkan oleh Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, di parlimen hari ini (10 Mac).

Menurut beliau biasiswa itu akan diberi kepada para pelajar Melayu yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri kewangan.

“Biasiswa GIC-MENDAKI ini merupakan usaha terkini MENDAKI bekerjasama dengan pihak industri untuk menyediakan batu loncatan untuk para belia kami menceburi kerjaya-kerjaya dalam industri-industri yang pesat berkembang,” kata Encik Zaqy dalam ucapannya itu semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan belanjawan negara.

"GIC akan menawarkan 'internship' tersusun, putaran tugas, rangkaian kerja dan bimbingan mentor bagi para penerima biasiswa. Mereka boleh menjangkakan kerjaya yang menarik dan bermakna dengan GIC selepas lulus nanti."

(Gambar: Yayasan MENDAKI) 

Biasiswa juga dijalankan dengan kerjasama tiga universiti tempatan - Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Penerima biasiswa itu akan menuntut di salah satu universiti berkenaan.

Dalam kenyataannya pula Ketua Pegawai Eksekutif GIC, Lim Chow Kiat berkata: "Kami gembira untuk menjalinkan program biasiswa ini bersama Yayasan MENDAKI kerana kami percaya ini adalah satu platform untuk GIC memupuk lebih banyak minat dan membina keupayaan dalam industri pengurusan aset."

Menurut GIC dan MENDAKI, biasiswa itu kini adalah satu program perintis. Namun ia tidak menetapkan sebarang had bagi bilangan penerima biasiswa itu setiap tahun.

YURAN TUISYEN, ELAUN KEHIDUPAN DIBAYAI BIASISWA GIC-MENDAKI

Pembiayaan yang akan diberi kelihatan lumayan, Selain yuran tuisyen dan wajib, ia juga akan membiayai elaun kehidupan bulanan pelajar, serta penyertaan pelajar dalam program-program pertukaran luar negara dan seminar-seminar berkaitan kewangan. 

Pemegang biasiswa juga akan menjalani 'Bootcamp' Latihan Industri Kewangan sebagai sebahagian daripada Program Profesional GIC (GPP) apabila mereka memulakan kerjaya dengan GIC. 

Biasiswa ini merupakan yang terkini selepas biasiswa-biasiswa lain MENDAKI seperti Biasiswa MENDAKI-MiRXES untuk Sains Hayat dan Bioperubatan serta Biasiswa SIA-MENDAKI. 

Ini bertujuan menyediakan para pelajar dengan peluang utama dalam peluang latihan industri dan menjamin kerja selepas tamat pengajian. 

“MENDAKI akan terus mengembangkan peluang-peluang ini dan saya menggesa semua pelajar Melayu/Islam untuk bekerja keras untuk mengambilnya,” ujar Encik Zaqy. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan