Giant, Sheng Siong diskaun sehingga S$1 harga sedulang 30 biji telur
Sekurang-kurangnya tiga rantaian pasar raya sudahpun menurunkan harga telur masing-masing pada minggu ini. Satu daripadanya bahkan menurunkan harga sebanyak S$1 untuk sedulang 30 biji telur.

Sedang harga telur meningkat, beberapa pasar raya tempatan mula menawarkan diskaun kepada pelanggan untuk membantu mengurangkan kesannya terhadap mereka. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya tiga rantaian pasar raya sudahpun menurunkan harga telur masing-masing pada minggu ini. Satu daripadanya bahkan menurunkan harga sebanyak S$1 untuk sedulang 30 biji telur.
NTUC FairPrice pada Rabu (20 Apr) menyatakan ia akan menurunkan harga bagi satu dulang berisi 30 biji telur jenama Pasar kepada S$6.95 selama seminggu sehingga 27 April.
Ini adalah diskaun 55 sen daripada harga asalnya S$7.50 untuk setiap dulang telur. FairPrice menyatakan ia akan "menyerap kos" pemotongan harga itu.
Promosi itu ditawarkan di semua cawangan runcit pasar raya FairPrice, termasuk FairPrice Online, dengan setiap pelanggan dihadkan kepada dua dulang telur.
Begitu juga dengan pasar raya Giant, ia sudah memotong harga telur jenamanya sendiri sehingga Hari Raya Puasa pada 3 Mei.
Selepas diskaun S$1, satu dulang berisi 30 biji telur kini berharga S$6.50, berbanding S$7.50 sebelum itu.
"Giant melakukan ini (pemotongan harga) seiring dengan semangat memberi tatkala Hari Raya kerana kami memahami bahawa sekarang ini adalah masa-masa sukar dan telur satu makanan ruji bagi kebanyakan keluarga," jelas jurucakap kumpulan runcit DFI, yang menguruskan pasar raya-pasar raya Giant.
Menurut jurucakap itu, tekanan meningkat terhadap kos barangan dan pembekal selain keadaan pandemik yang masih berlarutan serta konflik-konflik sejagat menyumbang kepada lonjakan harga telur.
Harga telur di Cold Storage - yang juga diuruskan oleh kumpulan runcit DFI bagaimanapun kekal tidak berubah.
Ini kerana pasar raya itu tidak menawarkan telur segar dari ladang keluaran jenama Giant, jelas jurucakap berkenaan.
"Kami sedang bekerja keras untuk melihat bagaimana kami boleh memberikan nilai lebih tinggi kepada para pelanggan kami di Cold Storage juga," tambah beliau.
Mengulas tentang sama ada Giant akan terus mengekalkan harga lebih rendah bagi telur segar dari ladang di bawah jenamanya, pasar raya itu menyatakan ia akan mempertimbangkan "tindak balas pelanggan dan keadaan pasaran" sebelum membuat keputusan tersebut, kata jurucakapnya.
Pemeriksaan oleh Mediacorp menunjukkan pasar raya Sheng Siong juga sudah memberi potongan harga bagi sedulang 30 biji telur dari S$7.50 kepada S$6.90.
TAWARAN DISKAUN DI TENGAH-TENGAH HARGA TELUR LEBIH TINGGI
Sebelum ini, pasar raya-pasar raya memberitahu Mediacrop harga telur meningkat secara amnya dek pengeluaran, kos buruh serta penghantaran dan semua itu diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga menaikkan harga makanan. Ukraine adalah antara pengimport terbesar bijirin iaitu bahan utama yang dimakan oleh ayam. Lantas, ini menjadikannya lebih mahal untuk menternak ayam sekali gus menaikkan harga telur.
Kadar inflasi teras Singapura, yang mengukur perubahan purata pada harga bagi barangan seperti makanan, elektrik dan gas, mencatatkan 2.2 peratus pada Februari lalu berbanding setahun sebelumnya. Bagi makanan sahaja, kadar inflasi pada bulan tersebut mencatatkan 2.3 peratus.
Berdasarkan pemeriksaan Mediacorp pada bulan lalu, harga sedulang 30 biji telur segar Pasar adalah S$6.15 di NTUC FairPrice pada Februari. Harga itu melonjak dari S$4.75 pada Februari 2021.
Telur segar dari Sheng Siong pula menyaksikan kenaikan serupa dari S$4.65 untuk 30 biji telur pada Februari 2021 kepada S$6.15 pada bulan yang sama tahun ini.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, harga telur meningkat kepada sekitar S$7.50 di pasar raya-pasar raya Giant, NTUC FairPrice dan Sheng Siong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.