Skip to main content

Singapura

Ghazali Abdul Wahab diiktiraf dengan Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
Ghazali Abdul Wahab diiktiraf dengan Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI

Ghazali Abdul Wahab menerima pengiktirafan Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI (MTP) tahun ini. (Gambar: Yayasan Mendaki).

Diterbitkan : 23 Nov 2024 09:50PM Dikemas Kini : 24 Nov 2024 05:32PM

SINGAPURA: Ghazali Abdul Wahab menerima pengiktirafan Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI (MTP) tahun ini.

Encik Ghazali, 50 tahun, merupakan antara sekitar 150 sukarelawan daripada KelasMateMatika (KMM), iaitu program pementoran #amPowered, Program Tuisyen MENDAKI (MTP) dan Mendaki Club, yang diiktiraf dalam satu sesi jamuan teh pada Sabtu (23 Nov), di Grand Hyatt Singapore.

Encik Ghazali, yang merupakan pendidik kanan di Kementerian Pendidikan (MOE), telah berkhidmat sebagai Penyelia Pusat MTP di Sekolah Menengah Canberra sejak tiga tahun lalu.

Beliau bekerja rapat dengan Ketua Tutor dalam memastikan program tersebut berjalan dengan lancar, membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi pelajar dan guru tutor.

Selain mendampingi para pelajar, Encik Ghazali juga aktif mengendalikan bengkel bagi ibu bapa, yang bertujuan untuk memperkasa mereka dengan kemahiran untuk menyokong pendidikan serta kebajikan emosi sebagai penjaga.

Misalnya, di sebuah acara yang berjudul, "MENDAKI Pathways to Success: Supporting Your Child's Future" yang berlangsung pada 16 November, beliau menjalankan sesi "parallel" mengenai membesarkan anak yang kukuh secara emosi ("Raising Emotionally Strong Kids").

Sesi kendaliannya itu, bermatlamat untuk memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan psikologi positif untuk mengemudi dan mengharungi cabaran dan tekanan yang dihadapi mereka.

Yayasan Mendaki turut menyifatkan usaha Encik Ghazali "yang menyeluruh dan konsisten, sebagai penting dalam menjayakan program tersebut".

Ditanya mengenai perasaannya menjadi satu-satunya yang menerima pengiktirafan tersebut, Encik Ghazali berkata: "Saya berasa sangat teruja dan berbesar hati untuk menerima Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI (MTP).

"Untuk memperkasa masyarakat, saya menggesa lebih ramai untuk tampil ke hadapan, menyumbang kembali, dan lakukan kerja sukarelawan."

Selain penyampaian Anugerah Sumbangan Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI dan Anugerah Perkhidmatan (Long Service Award), Anugerah Tutor Cemerlang MENDAKI turut disampaikan kepada seramai 48 tutor MTP.

Gambar: Yayasan Mendaki
Untuk dipilih menerima pengiktirafan tersebut, tutor MTP itu telah dicalonkan oleh Ketua Tutor dan melalui cadangan oleh Pegawai Daerah masing-masing, di samping dipantau teliti prestasi keseluruhan mereka sepanjang tahun akademik tersebut.
Gambar: Yayasan Mendaki
Majlis itu turut menyanjung sumbangan 14 rakan kongsi korporat mereka, yang telah memberi pementoran kepada belia dalam program #amPowered dan menyediakan sokongan sebagai 'human library' dan penceramah.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita