Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gesaan wajarkan sebatan rotan bagi perogol usia lebih 50 tahun, undang pelbagai reaksi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gesaan Presiden Halimah Yacob agar perogol berusia 50 tahun dan ke atas tidak dikecualikan daripada dikenakan sebatan rotan, mengundang pelbagai reaksi.

Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), mengemukakan bantahan terhadap hukuman sebatan rotan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Undang-undang Singapura (LawSoc) Adrian Tan menegaskan bahawa mereka yang "cukup cergas untuk merogol sepatutnya cukup cergas untuk dirotan".

Di bawah Kanun Prosedur Jenayah Singapura, hanya lelaki di bawah usia 50 tahun boleh dirotan jika didapati sihat dari segi perubatan.

Dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (19 Dis), Presiden Halimah menyatakan tentang lonjakan dalam kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dirogol oleh saudara lelaki baru-baru ini, sambil menyifatkan kesalahan-kesalahan itu sebagai "amat membimbangkan dan menjelekkan".

Presiden Halimah menggesa agar usaha-usaha dapat dilaksanakan dalam meninjau cara-cara lain untuk membantu kanak-kanak dan menghindari diri mereka daripada menjadi mangsa kepada perogol-perogol sedemikian.

Beliau turut menambah agar pertubuhan-pertubuhan seperti PAVE, boleh bekerja rapat dengan agensi-agensi pemerintah dalam menangani isu tersebut.
"Perogol tidak patut dikecualikan hanya kerana mereka berusia 50 tahun. Adalah ironik mereka dapat terlepas daripada kesakitan akibat dirotan walaupun mereka menyebabkan trauma teruk dan kerosakan yang tidak sekali-kali dapat dipulihkan, terhadap mangsa yang terpaksa melaluinya seumur hidup," tulis Presiden Halimah, menerusi catatan di Facebooknya itu.

PAVE, yang mengendalikan kes keganasan rumah tangga dan perlindungan kanak-kanak, menyatakan ia menyokong sentimen Presiden Halimah.

Tambah organisasi tersebut, trauma penderaan tidak pernah hilang dan lantaran itu, mereka perlu melakukan segalanya yang termampu untuk melindungi mangsa.

AWARE menzahirkan penghargaan kepada Presiden Halimah di atas hantarannya di Facebook yang disifatkan sebagai "empatetik" dan jelas dalam menggariskan sebab-sebab mengapa ia sukar bagi mangsa penderaan seksual kanak-kanak untuk tampil ke hadapan.

AWARE bagaimanapun menyatakan ia tidak bersetuju dengan cadangan Presiden Halimah untuk merotan perogol berumur 50 tahun dan ke atas kerana ia menentang hukuman sebatan rotan, "secara amnya dan sebagai tindak balas terhadap tindakan keganasan khususnya".

"Hukuman sebatan rotan memperkukuh idea yang sememangnya (disifatkan sebagai) ganas bahawa kuasa dan norma perlu diwujudkan melalui penguasaan fizikal," menurut AWARE dalam satu catatan di Facebook pada Selasa (20 Dis).
Menurut AWARE lagi, tiada bukti jelas bahawa hukuman sebatan rotan menghalang penderaan seksual.

Selain itu, tiada bukti sebatan rotan merupakan pilihan yang lebih baik berbanding penjara, program pemulihan atau hukuman tanpa kekerasan.

Malah, AWARE menarik perhatian bahawa mangsa yang terselamat mungkin, lebih keberatan untuk tampil ke hadapan apabila pendera mereka berdepan dengan hukuman yang berat. Ini terutama sekali jika mangsa yang terselamat itu bergantung atau mempunyai hubungan rapat dengan pelaku mereka.

HAD USIA ADALAH "AGEISME SEMATA-MATA"

Presiden LawSoc, Encik Tan menyatakan dalam satu catatan di LinkedIn, bahawa beliau tidak bersetuju bahawa pesalah berusia 50 dan ke atas dikecualikan daripada sebatan rotan.

Rakan kongsi litigasi dan penyelesaian pertikaian di TSMP Law, yang mengambil alih sebagai ketua LawSoc kira-kira setahun yang lalu, berkata beliau merasakan bahawa hukuman sebatan adalah hukuman yang sesuai disebabkan prinsip pencegahannya.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan