Skip to main content

Singapura

Gerhana matahari separa dapat dilihat dari SG pada 20 Apr

Anggaran Waktu Membaca:
Gerhana matahari separa dapat dilihat dari SG pada 20 Apr

Gambar: AFP//TT News Agency/Jonas Ekstromer

SINGAPURA: Gerhana matahari hibrid yang jarang berlaku di Singapura akan dapat dilihat pada lewat pagi dan awal petang Khamis (20 April) kelak.

"Dalam jenis gerhana matahari yang jarang berlaku ini, beberapa tempat akan menyaksikan gerhana matahari penuh manakala sebahagian lagi akan melihat gerhana matahari cincin," menurut Balai Cerap Pusat Sains Singapura pada Khamis (6 Apr).

"Ini disebabkan orbit bulan dan kelengkungan Bumi semasa gerhana."

Walaupun penduduk di beberapa bahagian dunia, termasuk bandar Exmouth di Australia Barat, akan dapat melihat gerhana penuh, sebilangan lain di tempat-tempat seperti di Singapura, Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea, pula yang berada di luar bayang-bayang penuh bulan, akan menyaksikan gerhana separa.

"Di Singapura, bulan akan hanya menutup 15 peratus cakera matahari pada puncak gerhana," menurut balai cerap tersebut.

Feonomena gerhana itu akan bermula pada 10.54 pagi, berada di kemuncaknya pada 11.55 pagi dan berakhir pada 12.58 tengah hari.

"Gerhana matahari boleh dilihat di kebanyakan tempat di Singapura, kerana ia hampir tepat di atas kepala kita," tambah balai cerap itu.

Pusat Sains Singapura akan menganjurkan sesi melihat gerhana itu di Ecogarden dari 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dengan menggunakan teleskop yang disediakan untuk menikmati fenomena itu.

Penggunaan teleskop adalah percuma dengan setiap tiket masuk ke Pusat Sains Singapura.

Gerhana itu juga akan disiarkan melalui penstriman secara langsung di saluran YouTube Pusat Sains Singapura.

AMARAN KESELAMATAN

Balai Cerap Pusat Sains Singapura menasihati orang ramai supaya melihat gerhana matahari dengan selamat.

"Menyaksikan gerhana dengan mata kasar adalah tidak selamat, dan penggunaan cermin mata hitam serta filem suria lazim di rumah atau kenderaan juga tidak mencukupi," menurut balai cerap itu.

"Demi memastikan perlindungan kepada mata secukupnya, mereka yang menlihatnya mesti menggunakan penapis suria khusus. Mereka yang menggunakan teleskop atau teropong untuk melihat gerhana harus menggunakan penapis suria khas untuk peralatan itu."

Selepas 20 April, penduduk Singapura perlu menunggu sehingga 2 Ogos 2027, untuk melihat satu lagi gerhana matahari.

"Ia akan memaparkan gerhana matahari separa yang berlaku semasa matahari terbenam, yang sukar untuk dilihat," menurut balai cerap itu.

"Selepas itu, satu lagi gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Singapura pada 22 Julai 2028."
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita