Skip to main content

Singapura

Gergasi teknologi Sea sumbang S$50 juta rangsang pembangunan bola sepak SG

Syarikat teknologi Sea akan menyumbang S$50 juta bagi menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura, yang disifatkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai “komitmen korporat terbesar” bagi sukan tersebut di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Gergasi teknologi Sea sumbang S$50 juta rangsang pembangunan bola sepak SG

Lion City Sailors, yang dimiliki oleh Sea, meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala Singapura 2024-25 di Stadium Jalan Besar pada 31 Mei 2025. (Gambar: Facebook/Lion City Sailors Football Club)

Diterbitkan : 01 Apr 2026 09:06AM Dikemas Kini : 01 Apr 2026 09:07AM
SINGAPURA: Syarikat teknologi Sea akan menyumbang S$50 juta bagi menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura, yang disifatkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai “komitmen korporat terbesar” bagi sukan tersebut di sini.

Syarikat tempatan itu, yang mengendalikan platform e-dagang Shopee dan memiliki bank digital MariBank, mengumumkan sumbangan tersebut pada Selasa (31 Mac).

Ia menyatakan bahawa sebanyak S$40 juta akan disalurkan secara berperingkat bagi menyokong "inisiatif-inisiatif bermakna yang dapat memperluaskan penyertaan, mengukuhkan laluan pembangunan, dan menyumbang kepada ekosistem bola sepak yang lebih rancak di Singapura".

Baki S$10 juta telah disumbangkan kepada FAS pada awal 2026, menurut Sea.

Syarikat itu menambah, ia akan bekerjasama rapat dengan pemerintah dan masyarakat bola sepak bagi menyalurkan dana tersebut dengan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Sea Forrest Li, yang juga Presiden FAS, berkata: “Kami percaya bola sepak boleh memainkan peranan besar dalam menyatukan masyarakat, membina perwatakan, dan membuka peluang bagi golongan muda.

"Bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk membina hubungan serta menyemai rasa bangga dan kegembiraan melalui matlamat yang dikongsi bersama.

"Dengan sumbangan S$50 juta daripada Sea, kami berharap dapat menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak di Singapura dan menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan Sea."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, FAS menyatakan ia “berterima kasih” atas sumbangan S$50 juta daripada Sea untuk menyokong pembangunan jangka panjang bola sepak Singapura.

"Sebagai komitmen korporat terbesar terhadap sukan ini di peringkat tempatan, sumbangan tersebut dijangka memberi kesan bermakna merentasi keseluruhan ekosistem bola sepak," tambahnya. "FAS menantikan maklumat lanjut mengenai bagaimana baki sumbangan itu akan disalurkan dan untuk terus menyokong masyarakat yang lebih luas."

Sea, syarikat induk di sebalik platform permainan Garena, telah melabur dalam ekosistem bola sepak Singapura selama lebih sedekad.

Pada 2016, Garena menaja pasukan Young Lions dan pada 2020, Sea mengambil alih pasukan Home United dan menukar namanya kepada Lion City Sailors.

Dua tahun kemudian, Sailors membuka kemudahan latihan bola sepak bersepadu pertama di Singapura di Mattar Road, dengan pusat latihan canggih itu menelan belanja sebanyak S$10 juta untuk dibina.

Pasukan Liga Perdana Singapura itu, dalam pencapaian bersejarahnya, mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC 2 pada tahun lalu sebelum kecundang 2-1 di tangan Sharjah dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada November 2025, Encik Li turut mengumumkan ganjaran S$2 juta untuk pasukan Singa selepas skuad negara layak ke Piala Asia 2027 atas merit buat julung-julung kalinya.

Menurut Sea, sumbangan terkini itu akan mengukuhkan usaha lebih luasnya dalam menyokong masyarakat di Singapura, seperti sumbangan sebanyak S$50 juta kepada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2021.

Sumbangan tersebut disalurkan bagi menyokong penyelidikan dan pendidikan di Sekolah Pengkomputeran NUS.

"Sea yakin terhadap kuasa bola sepak untuk melibatkan masyarakat dengan bermakna; menyatukan individu daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang melalui minat bersama," kata syarikat teknologi itu, sambil menggesa rakan dan penaja “yang sehaluan dalam usaha kebajikan” untuk membantu memacu bola sepak Singapura ke “peringkat seterusnya”.

Berucap di majlis FAS pada Selasa menjelang perlawanan kelayakan akhir Piala Asia AFC 2027 antara Singapura dengan Bangladesh di Stadium Negara, Encik Li berkata sokongan berterusan terhadap bola sepak Singapura penting untuk mengekalkan momentum pasukan negara.

"Pada Januari 2027, Singapura akan bertanding dalam Piala Asia AFC di Arab Saudi," tambahnya. "Ini adalah peluang terbesar untuk pasukan negara kita beraksi di pentas serantau. FAS akan melakukan segala yang termampu untuk mempersiapkan pasukan Singa."

Encik Li turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat insurans MSIG kerana menawarkan tajaan selama tiga tahun kepada FAS bermula April.

"Saya sangat berharap lebih banyak syarikat dan pihak berkepentingan akan tampil untuk membantu bola sepak Singapura. Kami tidak dapat melakukannya tanpa anda."

SportSG sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa sumbangan kepada sektor sukan meningkat daripada S$7.9 juta pada FY2021 kepada S$13 juta pada FY2023.

Namun, jumlah itu merupakan yang terendah antara semua sektor, membentuk kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan sumbangan pada tahun kewangan tersebut.

Biasiswa yang disokong oleh hartawan Singapura Peter Lim telah menyalurkan lebih S$11 juta kepada ribuan atlet tempatan sejak diperkenalkan pada 2010.

Bagaimanapun, tiada data awam tersedia berhubung pecahan keseluruhan antara pembiayaan swasta dan pemerintah bagi sektor sukan di Singapura setakat Ogos 2025.

Mediacorp telah menghubungi Sea dan SportSG untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumbangan S$50 juta itu serta bagaimana dana tersebut akan digunakan untuk merancakkan inisiatif bola sepak di negara ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita