Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gereja Methodist, Masjid Ba'alwie saling berbalas surat perkukuh kerjasama susuli kes ISA remaja 16 tahun

Gereja The Methodist Church in Singapore mengukuhkan lagi hubungan yang mesra dan muhibah dengan Masjid Ba'alwie menerusi sepucuk surat Bishop Dr Gordon Wong kepada Imam Habib Hassan pada Rabu (27 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Gereja Methodist, Masjid Ba'alwie saling berbalas surat perkukuh kerjasama susuli kes ISA remaja 16 tahun

Gereja Methodist dan Masjid Ba'alwie saling berbalas surat demi memperkukuh kerjasama. (Gambar: Masjid Ba'alwie/FB)

BERITAMediacorp: Gereja The Methodist Church in Singapore mengukuhkan lagi hubungan yang mesra dan muhibah dengan Masjid Ba'alwie menerusi sepucuk surat Bishop Dr Gordon Wong kepada Imam Habib Hassan pada Rabu (27 Jan).

Ini selepas Singapura digemparkan dengan kes seorang remaja yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini kerana merancang untuk menyerang dua buah masjid di Singapura.

"Sebagai penganut Kristian, kami tidak menerima sama sekali dan mengutuk kebencian dan propaganda di sebalik rancangan yang kejam ini. Kami menolak dengan sekeras-kerasnya dan tidak mengiktiraf sebarang rancangan untuk menimbulkan bahaya atau menghasut perbuatan atau hasrat untuk melakukan keganasan ke atas umat Islam," tulis Bishop Wong dalam suratnya yang kandungannya dimuat naik ke laman Facebook Masjid Ba'alwie pada hari yang sama.

"Selama bertahun-tahun menerusi usaha padu anda, kami telah menikmati hubungan yang muhibah dan menjalin persahabatan yang akrab, selain hubungan yang mendalam dengan anda dan masyarakat. Inilah semangat persaudaraan yang tidak boleh dilupakan," tambah beliau.

Bishop Dr Gordon Wong berharap berita yang mengejutkan itu akan mendorong para pemimpin agama supaya terus memelihara dan mempertahankan keamanan dan kedamaian yang dinikmati negara ini sejak sekian lama. Beliau juga berharap kasih sayang dan sikap saling hormat-menghormati dapat terus dipupuk dalam kalangan penganut Kristian dan umat Islam sedang mereka bekerjasama demi kebaikan semua penduduk.

Menjawab surat itu pada keesokan harinya, Imam Masjid Ba'alwie Syed Hassan Al-Attas mengucapkan terima kasih atas sokongan dan semangat perpaduan yang diluahkan dalam surat Bishop Wong.

Habib Hassan berkata insiden mengenai remaja berusia 16 tahun yang merancang untuk menyerang dua buah masjid di sini menunjukkan betapa mudahnya fahaman pelampau yang songsang boleh disebarkan kepada masyarakat lebih luas melalui wadah-wadah digital.

INSIDEN TERKINI PERINGATAN BETAPA PENTINGNYA KERJASAMA SILANG AGAMA

Singapura, kata Habib Hassan, juga tidak terkecuali daripada ancaman global ini dan ia menjadi satu lagi peringatan kepada semua pihak tentang betapa pentingnya untuk mengukuhkan perpaduan berbilang agama dan kaum di sini.

"Kami berbesar hati dengan kesediaan anda untuk mendampingi rakan-rakan Muslim anda dan bersatu hati dalam mengutuk pengaruh sesat seumpama itu yang menyumbang kepada radikalisme. Institusi-institusi agama di Singapura sentiasa bertindak dengan cara yang tenang, bijaksana dan berhemah untuk membimbing para penganut masing-masing di tengah-tengah cabaran pengganasan ini.

"Memang, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami memperingati kegiatan silang agama yang dijalankan bersama, menyaksikan hubungan yang muhibah daripada penganut Kristian dan mengadakan perbincangan yang bermakna. Hubungan yang terbina sejak sekian lama ini menjadi bukti usaha anda dan masyarakat untuk memupuk fahaman dan mengadakan dialog silang agama," kata Habib Hassan yang mengiktiraf usaha Bishop Wong.

Habib Hassan berkata pihaknya juga berharap untuk mengadakan perbincangan dan program seumpamanya pada masa akan datang dan turut komited untuk saling menyokong antara satu sama lain dalam keadaan seumpama ini dan berdiri teguh bersama.

Pada Disember 2020, Habib Hassan juga menerima surat yang dikirimkan oleh Archbishop Singapura Reverend William Goh dan Vikar Agung (Hubungan Silang Agama) OFM John-Paul Tan pada 21 Dis menjelang sambutan Krismas.

Mengulas tentang krisis COVID-19 yang melanda dunia sepanjang tahun lalu, Reverend Goh dan Encik Tan berkata untuk mengatasi krisis tersebut, masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura mesti berdiri teguh sebagai satu negara tidak kira kaum, bahasa, agama atau latar belakang. Mereka juga berkata masyarakat perlu bersikap murah hati di tengah-tengah cabaran yang dihadapi untuk saling membantu antara satu sama lain.

"Kita diingatkan bahawa kita semua serupa apabila berdepan dengan kehidupan dan kematian. Maka itu, dalam menghadapi kegusaran, satu-satu caranya untuk meneruskan kehidupan adalah dengan sama-sama menjaga kesejahteraan jiran-jiran kita, " kata Reverend Goh dan Encik Tan.

"Saya amat berterima kasih dengan semangat perpaduan dan doa nda dan masyarakat anda sepanjang tahun yang tidak dijangka ini," kata Reverend Goh dan Encik Tan.

Kedua-dua tokoh agama itu juga berharap agar penganut Kristian dan umat Islam dapat terus mempergiatkan dan mengekalkan usaha sedia ada untuk mengukuhkan hubungan yang saling hormat-menghormati ini bagi memelihara keharmonian dan kerjasama dalam kalangan penganut agama yang berbeza di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan