Skip to main content

Singapura

Geran sekali saja S$3,000 bagi anak lahir antara 1 Okt 2020 hingga 30 Sep 2022

Rakyat Singapura yang melahirkan bayi antara 1 Okt tahun ini hingga 30 Sep 2022 bakal menerima tambahan Geran Bantuan Bayi sekali saja bernilai S$3,000.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Oct 2020 08:16PM Dikemas Kini : 10 Oct 2020 12:31AM

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang melahirkan bayi antara 1 Okt tahun ini hingga 30 Sep 2022 bakal menerima tambahan Geran Bantuan Bayi sekali saja bernilai S$3,000.

Ia bagi meringankan beban mengasuh anak di tengah-tengah pandemik dan kelembapan ekonomi sekarang.

Menurut tinjauan yang melibatkan 4,100 rakyat Singapura antara Jun hingga Julai lalu, 30 peratus rakyat Singapura akan menangguhkan rancangan untuk berkahwin atau melahirkan bayi dalam keadaan sekarang.

Sebab-sebab utamanya termasuk ketidaktentuan keadaan kesihatan sekarang serta keadaan ekonomi dan harapan pekerjaan masa depan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah melahirkan harapan agar Geran Bantuan Bayi akan menggalak pasangan-pasangan memulakan keluarga mereka.

Ibu bapa yang layak akan menerima geran itu mulai April tahun depan.

Ia juga tambahan kepada bantuan sedia ada, termasuk bayaran tunai hingga S$10,000 di bawah Skim Bonus Bayi.

Pengumuman itu dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa menyampaikan kenyataan menteri pada awal minggu ini mendedahkan bahawa Pemerintah akan memperkenalkan sokongan tambahan sekali sahaja kepada bayi baru lahir.

Ini setelah menerima maklum balas bahawa pandemik COVID-19 menyebabkan sesetengah pasangan menangguhkan rancangan untuk menimang cahaya mata.

"Menyokong rakyat Singapura dalam merealisasikan rancangan mereka untuk berkahwin dan membina rumah tangga adalah keutamaan negara," menurut kenyataan media itu.

"Pakej Perkahwinan dan Keibubapaan menawarkan langkah-langkah sokongan yang komprehensif, yang sudah dipertingkatkan secara bertahap-tahap sejak 2001.

"Pusingan peningkatan terkini pada 2019/2020 mempertingkatkan kemampuan dan akses prasekolah, memastikan perumahan lebih dimampui bagi golongan yang membeli flat buat pertama kali daripada HDB, dan menyediakan sokongan jagaan kesihatan tambahan bagi kanak-kanak dan pasangan."  

Sumber : CNA/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita