Skip to main content

Singapura

Geran Perumahan 'Step-Up' CPF diperluaskan; lebih banyak sokongan bagi penghuni flat sewa

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (7 Mac) mengumumkan beberapa langkah yang akan dijalankan bagi menyokong lebih banyak keluarga berpendapatan rendah yang tinggal dalam perumahan awam. Antaranya termasuk memperluaskan Geran Perumahan 'Step-Up' CPF (SUHG).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Mar 2019 03:08PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 11:51PM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (7 Mac) mengumumkan beberapa langkah yang akan dijalankan bagi menyokong lebih banyak keluarga berpendapatan rendah yang tinggal dalam perumahan awam. Antaranya termasuk memperluaskan Geran Perumahan 'Step-Up' CPF (SUHG).

"Beberapa Anggota Parlimen bertanya jika MND akan melakukan lebih banyak lagi bagi membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki rumah mereka sendiri," kata Encik Wong di Parlimen.

"Kami sudah dan akan terus berbuat demikian, kerana kami percaya pemilikan rumah tetap menjadi tunggak kestabilan dan kemajuan keluarga-keluarga."

Diperkenalkan pada 2013, SUHG bernilai S$15,000 membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang sebelum ini membeli flat dua bilik bersubsidi di estet-estet belum matang agar dapat membeli flat baru tiga bilik di estet-estet belum matang.

Di bawah perubahan-perubahan itu, SUHG akan diperluaskan bagi merangkumi penjualan semula flat tiga bilik di kawasan-kawasan belum matang. Geran tersebut juga akan diperluaskan kepada para pembeli kali kedua yang tinggal di flat-flat sewa awam.

SKIM PERMULAAN AWAL

Peningkatan turut bakal dilaksanakan bagi Skim Perumahan Permulaan Baru, yang bermatlamat untuk membantu para pembeli kali kedua di flat-flat sewa untuk membeli rumah, kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling dalam perbahasan peruntukan kementeriannya.

Di bawah skim tersebut, keluarga-keluarga buat masa ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia bawah 16 tahun.

Sebagai sebahagian daripada peningkatan tersebut, batas usia anak bongsu pemohon akan dinaikkan kepada 18 tahun. Ini bagi membolehkan lebih ramai keluarga meraih manfaat daripada skim ini, kata Cik Sun.

Di samping itu, Program Sokongan Permulaan Baru juga akan menyokong keluarga-keluarga yang ingin memiliki rumah mereka sendiri, kata Cik Sun. Program Sokongan itu akan diselia oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dan dikendalikan seorang penyedia khidmat dengan kepakaran kerja sosial. Ia akan mula dijalankan pada tahun ini.

Beberapa keluarga yang menyerahkan permohonan tetapi tidak memenuhi sesetengah kriteria juga akan diberikan "pertimbangan khas".

Keluarga-keluarga ini akan mendapat lebih banyak sokongan intensif di bawah Program Sokongan, menumpukan perhatian kepada kriteria yang tidak dipenuhi. Mereka juga perlu memenuhi semua kriteria setahun sebelum mendapat kunci.

Sekitar 80 keluarga akan meraih manfaat daripada langkah ini, dalam tempoh tiga tahun akan datang, tambah Cik Sun.

Terdapat juga rancangan untuk menaik taraf flat-flat sewa yang dibina pada tahun 1960-an dan 1970-an, yang mempunyai koridor yang panjang, dan lazimnya tidak banyak cahaya dan pengalihan udara.

Dalam pada itu, para penyewa yang berkongsi ruma sewa satu bilik di bawah Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang (JSS) tidak lama lagi juga akan mempunyai tempat tidur sendiri, dengan HDB memutuskan untuk menyediakan penghadang bagi semua unit JSS.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita