Geran bagi pengencas EV di kediaman privet dilanjutkan hingga akhir 2026
Geran untuk membiayai bersama pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) di kediaman privet seperti kondominium dilanjutkan selama setahun lagi, kata Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Dr Amy Khor pada Rabu (5 Mac).

Pengecas kenderaan EV di Singapura. (Gambar fail: iStock/taikrixel)
Geran pengecas EV biasa juga akan diperluaskan untuk membiayai bersama 3,500 pengecas, naik daripada had sebelumnya iaitu 2,000, kata Dr Khor semasa beliau membentangkan perancangan perbelanjaan Kementerian Pengangkutan bagi 2025 di Parlimen.
Geran tersebut, yang diperkenalkan pada 2021 untuk menggalak pemasangan pengecas di kondominium, sudah membiayai secara bersama pemasangan sekitar 1,700 pengecas di lebih 500 pembangunan kediaman setakat ini, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan.
Dengan pelanjutan tersebut, geran itu akan terus menampung 50 peratus daripada kos komponen pengecas pintar, walaupun dengan had yang dikurangkan kepada S$3,000 bagi setiap pengecas untuk tambahan 1,500 pengecas, turun daripada S$4,000. Kondominium boleh memohon pembiayaan sehingga 1 peratus daripada jumlah tempat letak kereta yang mereka ada.
Geran tersebut, yang sepatutnya tamat pada 31 Disember 2025, kini akan tersedia sehingga akhir 2026, atau sehingga 3,500 pengecas diluluskan untuk pembiayaan bersama, yang mana berlaku terlebih dahulu.
Pelanjutan tersebut adalah berikutan peningkatan yang ketara dalam penggunaan EV. Pada 2024, EV merangkumi kira-kira satu pertiga daripada semua kereta baharu yang didaftarkan, meningkat daripada 18 peratus pada tahun 2023. Sekitar separuh daripada pendaftaran kenderaan barangan ringan baharu juga adalah EV.
Sehingga akhir 2024, kereta elektrik dan kenderaan barangan ringan menyumbang masing-masing 4 peratus dan 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan.
Rangkaian pengecas EV juga terus berkembang, kata Dr Khor, dengan lebih 19,000 tempat mengecas di seluruh negara, hampir separuh daripadanya boleh diakses orang awam.
Lebih 60 peratus daripada tempat letak kereta HDB dilengkapi dengan pengecas EV, tambah beliau.
"Kami telah menunjukkan kemajuan yang baik, dan akan memastikan semua penduduk HDB yang memiliki atau ingin memiliki EV mempunyai akses yang mudah kepada pengecas berhampiran rumah mereka," kata Dr Khor.
Sebagai sebahagian daripada matlamat pengangkutan mesra alam sekitar jangka panjang Singapura, semua pendaftaran kereta baharu mesti bermodel tenaga bersih bermula 2030.
SKIM BAHARU SOKONG HAPUS KARBON KENDERAAN BERAT
Dr Khor mengatakan bahawa terdapat model elektrik yang sedia ada untuk beberapa lori dan bas.
"Ini adalah satu bidang di mana kita boleh lakukan lebih banyak untuk mempercepatkan penerimaan dalam fasa pengurangan karbon seterusnya bagi pengangkutan darat," katanya.
Untuk mempercepatkan peralihan kepada EV, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan melancarkan dua skim baharu untuk mengurangkan jurang kos pemilikan antara kenderaan berat elektrik dan enjin pembakaran dalaman.
Di bawah Skim Kenderaan Berat Sifar Karbon, pemilik yang mendaftar kenderaan berat atau bas sifar karbon ekzos – yang merangkumi kenderaan muatan atau penumpang dengan berat beban maksimum melebihi 3,500kg – akan menerima insentif sebanyak S$40,000.
Berat beban maksimum kenderaan merujuk kepada jumlah berat kenderaan dan muatannya apabila ia siap untuk bergerak.
Insentif tersebut akan diberikan secara automatik selama tiga tahun – S$13,000 selepas pendaftaran kenderaan, S$13,000 pada ulang tahun pertama dan S$14,000 pada ulang tahun kedua.
Skim kedua, Geran Pengecas Kenderaan Berat Elektrik, bertujuan untuk memperbaiki rangkaian pengecas kenderaan berat elektrik.
Geran itu akan menampung sehingga 50 peratus kos pemasangan, dengan had S$30,000 bagi setiap pengecas. Ia boleh digunakan untuk 500 pengecas pertama, dengan had tiga pengecas bagi setiap tapak.
Syarikat perlu membeli sekurang-kurangnya satu kenderaan berat elektrik bagi setiap pengecas, dan pengecas tersebut mesti mempunyai rating kuasa minimum 50kW serta dipasang di tempat perniagaan pemilik, di kawasan letak lori atau bas yang ditetapkan.
Kedua-dua skim akan bermula pada 1 Januari 2026, dan tersedia selama tiga tahun sehingga 31 Disember 2028.
"Langkah-langkah ini akan mengecilkan jurang kos kitaran hayat antara kenderaan berat elektrik dan enjin pembakaran dalaman serta mendorong penerimaan kenderaan berat elektrik," kata Dr Khor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.