Gerakan Buruh yang kukuh tetap penting kepada S'pura, kata PM Lee
Gerakan Buruh yang kukuh tetap penting kepada Singapura, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (30 Apr), sedang beliau memuji Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) atas kerja keras dan pencapaiannya sepanjang 50 tahun lalu.
SINGAPURA: Gerakan Buruh yang kukuh tetap penting kepada Singapura, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (30 Apr), sedang beliau memuji Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) atas kerja keras dan pencapaiannya sepanjang 50 tahun lalu.
Dalam Amanat Hari Buruhnya, PM Lee turut menarik perhatian bahawa bagi sebahagian besar negara maju, jumlah anggota kesatuan semakin berkurangan dan kesatuan buruh yang tersusun semakin terpinggir. "Keprihatinan para pekerja tidak ditangani dan mereka kebingungan tanpa pemimpin, mereka tidak berdaya," tambah PM Lee.
"Maka itu, tidak mengejutkan, jika mereka berpaling kepada gerakan yang ekstrem dan perjuangan politik yang meleraikan kebimbangan mereka tetapi sebenarnya tidak menawarkan huraian yang realistik atau kepimpinan yang berupaya memperbaiki kehidupan mereka."
Menurut PM Lee, gerakan buruh Singapura mempunyai alasan yang kukuh untuk merasa bangga atas rekod pencapaiannya sepanjang 50 tahun lalu.
"Di Singapura, kesatuan-kesatuan yang membina dan saling bekerjasama, bekerja rapat dengan para majikan dan pemerintah dan ketiga-tiga pihak berusaha gigih untuk menaikkan gaji para pekerja dan mencapai kemajuan yang mantap bagi Singapura," dedah PM Lee.
"Kita mesti meneruskan usaha ini dan mengukuhkan lagi kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan rakan tiga pihak supaya ketidaktentuan dan cabaran ekonomi global dapat ditangani bersama dan kita dapat terus maju sebagai sebuah negara."
GERAKAN BURUH DI 'SATU LAGI TITIK PERUBAHAN'
Dalam amanatnya, PM Lee turut menyifatkan Seminar Pemodenan gerakan buruh pada 1969 sebagai 'satu titik perubahan penting' yang menandakan keputusannya untuk "beralih dari bersifat konfrontasi kepada usaha menjalin kerjasama'.
Menurut PM Lee lagi, kesatuan-kesatuan berganding bahu dengan pemerintah untuk menyokong undang-undang yang baru diluluskan dan juga institusi-institusi baru. NTUC Income, sama seperti koperatif buruh yang lain, ditubuhkan untuk menawarkan para pekerja dengan keperluan asas dan khidmat yang dimampui.
"Inilah caranya bagaimana NTUC menjadi sebuah pertubuhan yang bertenaga, progresif dan rakan sama penting dalam model tiga pihak yang unik di Singapura," tegas PM Lee.
Sungguhpun demikian, gerakan buruh kini berada di 'satu lagi titik perubahan', dengan persekitaran luar berubah begitu pantas dan banyak pekerjaan baru diwujudkan, sedang industri dan pekerjaan lama menjadi semakin lapuk.
"Masa depan pekerjaan kelihatan sungguh berbeza," kata PM Lee. "NTUC mesti bersiap sedia untuk menempuhi cabaran-cabaran ini dan mempersiapkan kesatuan, para pemimpin kesatuan dan pekerja seawal mungkin sebelum ia menggerunkan kita."
NTUC, menurut PM Lee, sudah memainkan 'peranan utama' dalam menggalak pengambilan semula pekerja lanjut usia seperti membantu untuk mencapai kesepakatan bagi menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula pekerja.
NTUC juga membantu untuk memperjuangkan model gaji progresif, yang bersama dengan Skim Daya Kerja, membawa 'perubahan yang ketara' kepada golongan pekerja berpendapatan rendah.
Melalui kerjasama dengan NTUC, pemerintah berjaya memperkenalkan banyak program latihan dan peningkatan diri di bawah SkillsFuture dan Suai-Maju. "Kita mesti terus mempertingkatkan program-program ini dan menimba pengalaman daripada program-program sedemikian, sedang keperluan baru timbul dari semasa ke semasa," kata PM Lee.
Dengan daya penghasilan buruh tumbuh 3.7 peratus pada tahun lalu, PM Lee menarik perhatian bahawa sebahagian besar peningkatan ini diraih melalui sektor-sektor yang pandang ke luar, khususnya pengilangan dan Singapura masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki daya penghasilannya dalam khidmat domestik seperti runcit dan makanan dan minuman (F&B).
PM Lee juga merujuk kepada kadar pemberhentian pekerja yang terendah dalam tempoh lebih sedekad pada tahun lalu dan usaha Singapura untuk melatih semula para pekerja dan mempersiapkan mereka untuk mendakapi teknologi dan pekerjaan baru ternyata membawa perubahan yang ketara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.